Sebelum pilihanraya, kita sering bercakap tentang harapan. Syukur Alhamdulillah, selepas pilihanraya, harapan itu tampak semakin bersinar. Fajar sudah separuh menunjukkan muka. Terangnya sudah ada. Gelap-gelap sudah sedikit-sedikit lari. Kepada yang tidur, hari sudah siang, fajar sudah menyinsing. Bangunlah cepat. Atau mahu disimbah air?
Masa depan memang sukar diterka. Tapi apa yang pasti, ia ditentukan oleh pelakuan kita hari ini. Maka usahlah meramal jauh-jauh. Yang dekat, ada di depan mata ini, kita kerjakanlah dahulu. Insya-Allah, masa depan akan secerah matahari.
Perubahan yang besar bermula dengan perubahan yang kecil-kecil. Kemenangan besar lalu mungkin bermula dengan kerajinan seorang pemuda mengekalkan rutin bacaan Al-Ma’thurat sejak 20 tahun yang lalu. Mungkin bermula dengan senyum mesra kepada rakan Cina kita. Mungkin bermula dengan kejujuran seorang pemuda memulangkan semula wang lebih yang terlebih kira oleh seorang pekedai runcit. Mungkin bermula dengan kesabaran seorang isteri menunggu suaminya yang pulang lewat dari kerja untuk makan malam bersama-sama. Mungkin.
No comments:
Post a Comment