Terima kasih kepada Ku Seman Ku Hussein kerana sudi menyiarkan karya saya “Tangan-tangan Kasar” di ruangan sastera Mingguan Malaysia pada hari Ahad lalu. Inilah karya pertama saya yang tersiar di media cetak. Alhamdulillah. Semoga selepas ini peluang sebegini makin terbuka luas.
Tangan-tangan Kasar
Risau keluar dari kami
Tentang esok
Adakah boleh duduk lagi di sini
Bumi ini kami tarah dengan tulang
Siram dengan peluh
Baja dengan darah
Sewaktu tanah ini masih kasar
Tiada tempat teduh sewaktu matahari membakar
Kami datang menghalau anjing
Apabila tiang-tiang dicacak
Daerah harapan kami di sini
Menganyam mimpi
Hidup sehingga seribu tahun lagi
Kakak-kakak melahirkan anak
Yang membesar bermain pasir di atas bukit
Tempat tangan mereka jadi kasar
Cuma untuk melihat dengan lebih jelas dari sana
Jentolak yang macam raksasa
Perlahan-lahan menuju ke mari
Lapan belas tahun dan hari ini
Kami diajak bermula kembali
Ke daerah baru yang asing
Untuk kami pugar
Dengan tangan-tangan kami yang kasar
Lalu meninggalkan mimpi-mimpi permai
Hanyut ke dalam sungai
Lapan belas tahun dan hari ini
Kami diminta keluar segera
Dari tanah tempat darah tertumpah
Tempat menyeka lelah
Pembangunan agaknya sudah lupa
Kami juga pernah berjasa
Nanti,
Di depan jentolak kemajuan itu
Apabila kami keluarkan
Tangan-tangan kami yang kasar
Kami akan berkata
Dengan tangan ini
Dengan tangan ini, setinggan ini
Akan kami robohkan sendiri
Mingguan Malaysia
23 Mac 2008
3 comments:
Tahniah di ucapkan. Semoga terus tekun berkarya. Tapi sayang, sekarang zaman memboikot media arus perdana, jadi tidak terbaca.
Along
Putra Baginda,
Tahniah adinda! Saya selaku kekanda awak sangat berbangga. Teruskan usaha. Teruskan berkarya. Bakat yang ada jangan disia-siakan. Mudah-mudahan sumbangan EJ dalam penulisan dapat mengubah minda masyarakat.
Mata pena lagi tajam dari pedang.
Sedih nyer..Rindu nyer..
Tempat jatuh lagi dikenang,inikan pulak tempat tidur..=)
Tapi,bangga gak sebab keluar surat khabar.Tahniah yer.Nenek kata nanti boleh jadi macam A.Samad Said tau.Doa tue..
Post a Comment