Pulang dari kehangatan minggu lepas, di mana secara tiba-tiba semua orang menjadi sangat pandai berbicara soal politik, minggu ini dan seterusnya badan kita seharusnya sudah menyesuaikan diri menghirup udara baru yang lebih segar dan bersih. Biasalah, sementara perubahan itu berlaku, batuk, selsema, muntah-muntah, mual, loya tekak akan kerap datang tapi nanti, baiklah ia. Harapan kedua kita saya fikir ialah melihat persepakatan yang betul-betul kukuh antara tiga parti Barisan Rakyat (gelarnya saja sudah sangat memikat, harap-harap ia benar-benar beraspirasi rakyat, ah.., harap lagi!). Sangat menarik apabila Gerakan telah mengorak gerak mencadangkan betapa Barisan Nasional kini perlu meroboh sempadan kaum demi terus relevan. Nah, nampak gayanya kesan selepas tsunami kini sudah mula kelihatan. Senyum. :)
Kerajaan baru Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengumumkan penggunaan percuma bekalan air untuk 20 meter padu pertama kepada semua penduduk Selangor. Rancangan ini akan dilaksanakan kira-kira pada 1 April depan selepas selesai pelantikan exco-exco kerajaan negeri. Hanya baru minggu lepas sewaktu bekas MB, Datuk Seri Khir Toyo mencabar akan meminta rakyat negeri itu menghantar bil-bil mereka ke rumah exco jika janji penurunan bil-bil tidak dilaksanakan, kini cabaran itu telah dijawab dengan begitu yakin. Aduh, kalaulah saya ini saudara-mara atau kroni Datuk Seri Khir, pasti muka saya ini mencari-cari tempat sunyi untuk bersembunyi.
Dengarnya Lim Guan Eng tidak mahu tinggal di kediaman rasmi Ketua Menteri kerana tidak mahu menggunakan kira-kira RM 100,000 peruntukan kerajaan untuk kos pembaikan kediaman tersebut. Wah, bukankah ini rahmat buat penduduk Pulau Pinang mempunyai Ketua Menteri sebegini? Selain arahan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali kepada semua ADUN PAS Selangor agar memotong sejumlah peratus daripada elaun mereka untuk maslahah rakyat, saya harap dapat mendengar lagi berita-berita baik sebegini setiap hari. Senyum lagi. :)
No comments:
Post a Comment