Saturday, June 14, 2008

Bunga Lalang

Sewaktu kita menyangka-nyangka secubit harapan boleh diletakkan di atas bahu lelaki calon presiden Amerika itu, hanya kerana terselit “Hussein” di celah-celah namanya, kita pada waktu itu barangkali telah menjadi terlalu optimis, sehingga kita bakal tersungkur kecewa pada satu hari nanti apabila mengetahui hakikat sebenar betapa benih harapan yang tumbuh itu rupanya berbunga lalang.

Biasanya memang begitu. Kita menjadi cepat cair dengan aura yang terpancar tanpa cenderung bertangguh sebentar untuk meneroka lebih jauh ke dalam dan melihat dengan lebih tajam. Sekumpulan kelompok agama di Indonesia bahkan mengisytiharkan sokongan tidak berbelah-bahagi mereka kepada senator Illnois ini sewaktu persaingan merebut tempat dengan Hillary Clinton sebagai calon presiden sedang rancak berlangsung; satu tindakan buru-buru yang sangat tidak perlu.

Kini selepas "lelaki harapan" ini bersikap tidak adil dengan memilih pendatang-pendatang haram Israel dan membuang ke tepi perjuangan rakyat Palestin, adakah kita mahu mengalih sokongan kepada John McCain pula? Senyumlah sesinisnya kepada sikap gegabah kita sendiri.

No comments: