Hari ini hari kedua saya ke tempat kerja dengan tidak bermotosikal. Tidak juga saya berkereta, bahkan. Saya “berkeretapi” ke tempat kerja.
Memberikan motosikal kepada isteri untuk digunakannya ke sekolah baru kira-kira 1 kilometer dari rumah, saya tidak mempunyai motosikal kedua untuk saya gunakan.
Menyahut seruan kerajaan “mengubah gaya hidup” selepas kenaikan harga minyak di pasaran dunia selain menginsafi keadaan kewangan diri sendiri, saya tidak menggunakan kereta juga.
Maka saya pun “berkeretapi” dari Teluk Gadong, Klang ke Setia Jaya.
Syukurlah stesen keretapi tidak begitu jauh dari rumah. Hanya kira-kira sepuluh minit berjalan kaki. Namun jika hujan turun seperti pagi ini, jaraknya terasa sedikit lebih jauh.
Rasanya, menaiki keretapi lebih menenangkan. Tiada kesesakan jalanraya. Tiada asap kenderaan. Tiada maki hamun pemandu. Tidak dengar hon. Tidak kena hujan. Boleh lihat pemandangan di luar tingkap. Boleh baca buku. Boleh lihat ragam orang. Cuma kalau keretapi datang lewat daripada jadual asal, pening juga kepala hendak beritahu bos.
Tapi, saya juga tahu. Bukan semua orang bernasib baik seperti saya boleh “mengubah gaya hidup” seperti ini. Ada yang terpaksa meneruskan apa yang biasa dilakukan walaupun tahu beban yang kini ditanggung bukan lagi seperti dulu.
Kepada anda yang tidak dapat “mengubah gaya hidup”, anda tidak bersalah kepada kerajaan.
Kerajaan yang bersalah kepada anda.
No comments:
Post a Comment