Saya membiarkan sahaja peti televisyen terbuka sambil tumpuan saya sebenarnya kepada suratkhabar di depan mata. Entah apa yang dibeberkan Razif Hashim dalam slot 8TV Quickie, saya tidak cakna. Berita kegagalan Perancis dalam kejohanan Euro 2008 lebih menarik perhatian dan kekecewaan saya daripada bebelan Razif dalam bahasa asing itu. Sehinggalah Razif bercakap tentang bolasepak, pengakuannya betapa dia sebenarnya tidak begitu teruja dengan kehangatan Euro yang sedang berlangsung berbanding kebanyakan orang, dan eksperimen ringkas yang cuba dilakukannya untuk melihat seberapa ramai rakyat Malaysia yang “gila” bola, perhatian saya mula dipancingnya.
Razif menjalankan eksperimen dengan membuat satu panggilan telefon secara rambang dan akan bertanya kepada “bahan eksperimennya” itu - walau siapa pun dia, pasukan manakah yang disokong dalam kejohanan Euro dan apa-apa sahaja yang bersangkutan dengan Euro 2008. Diringkaskan bebelan Razif, nombor telefon yang didail penerbit, diangkat seorang lelaki berbangsa India yang ya, merupakan peminat bolasepak Eropah – membuktikan secara rambang rakyat Malaysia memang meminati bolasepak Eropah, tetapi di sebaliknya langsung tidak kisahkan butir dialog Razif yang begitu pekat slanga bahasa Inggerisnya bahkan bercakap di kaca TV dalam bahasa Tamil dengan begitu yakin dan bersemangat. Sewaktu Razif berulang kali menyebut, “I don’t speak your language” sambil terus bertanya soalan-soalan, lelaki itu terus sahaja berbahasa Tamil dengan Razif sambil sekali-sekala menjeritkan, “Germany! Germany!”.
Apa yang menghairankan saya ialah mengapa Razif terus-terusan berbahasa Inggeris dengan lelaki India itu walaupun sudah mengetahui lelaki itu tidak membalas perbualannya dengan bahasa yang sama? Tidak bolehkah Razif cuba berbahasa Melayu dengan lelaki India itu selepas apa yang berlaku? Saya yakin lelaki India itu boleh berbahasa Melayu dan lebih menguasai bahasa kebangsaan berbanding bahasa Inggeris. Kalau pun tidak mahu berbahasa Melayu dalam keseluruhan slot, sekurang-kurangnya gunakanlah ia pada masa itu sahaja, untuk menyelesaikan masalah komunikasi yang berlaku pada ketika itu. Nampak di situ seperti Razif sudah terlalu ghairah dengan bahasa Inggeris dan terlupa yang dia mempunyai bahasa kebangsaan, yang boleh menjadi penyelesai masalah komunikasi merentas kaum, yang juga bahasa ibundanya sendiri. Malang sungguh.
2 comments:
dr dulu smpi skrg cukup marah org tak guna bahasa melayu..
bagus la masuk ukm tu..
sesuai sgt :)
"Aku memang pencinta Bahasa Melayu.., namun ku bukan buaya..,"
(Nyanyi ikut gaya Irwanshah)
Post a Comment