Kita selalu kata, “dulu lebih baik daripada sekarang”. Ungkapan ini nyaris-nyaris konsensus, diakui dan dipersetujui semua. Baik di kalangan orang tua, malah di kalangan orang muda pun. Perbandingan yang dibuat itu hampir sahaja melibatkan semua aspek kehidupan; kualiti hidup, harga barang, cuaca, akhlak anak-anak, lagu dan seni budaya, kesihatan, bola sepak kebangsaan dan lain-lain lagi. “Kini” telah kita anggap sebagai lebih teruk daripada dahulu. Malang sungguh.
Untuk mengukur keterukan sekarang berbanding dulu, jika kita kita letak satu titik rujukan pada satu satah masa “dulu”, kita namai x1, dan satu titik rujukan pada satu satah masa “kini”, x2, dan kita sambungkan kedua-dua titik itu, garis lurus yang akan kita perolehi ialah garisan condong menaik. Dalam graf, persamaannya ialah y=mx dengan nilai m lebih besar daripada sifar. Dengan menggrafkan keterukan melawan masa, kita boleh meramal keterukan pada masa akan datang, dengan mengambil kira nilai m, iaitu darjah keterukan.
Nilai keterukan pada x1 kita plotkan sebagai y1 dan nilai keterukan pada x2 ialah y2. Dari graf garis lurus yang baru kita bina, kita dapati nilai y2 lebih besar daripada nilai y1. Dari pedoman ini kita boleh memanjangkan garisan itu dan kita boleh meramal nilai keterukan pada masa akan datang, katakan x3, sebagai y3. Dan y3 itu walau apa pun nilainya, kita bakal tahu ia lebih besar daripada y2, iaitu nilai keterukan pada masa kini.
Kuncinya ialah pada nilai m. Jika nilai m dapat diubah, nilai y3 pada masa x3, pasti akan turut dapat diubah. Dan m itu ialah minyak.
No comments:
Post a Comment