Wednesday, June 26, 2019

Orang Asli Batek Kuala Koh mangsa projek 'gajah putih' BN?


Oleh AINOR MAZIYYAH

Pengabaian projek bekalan air di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ketika zaman BN 'membinasakan' Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh sehingga mengorbankan belasan nyawa.

Wujud unsur penyelewengan dalam projek sumber bekalan air domestik yang dibina bagi menyalurkan sumber air mentah berjumlah RM2 juta dengan setiap satu tong air bernilai RM40,000 dibina di sekitar kawasan Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan. 

Projek bekalan air itu dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) yang ketika itu bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) zaman pentadbiran terdahulu, kini terbengkalai dan tidak beroperasi berikutan ketiadaan kerja-kerja penyelenggaraan.

Untuk rekod, JAKOA kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bermula pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai langkah awal membela nasib Orang Asal dalam negara. 

Mendedahkan situasi dihadapi Orang Asli Batek, Presiden NGO Sahabat Jariah, Johan Halid berkata projek bekalan air yang dilaksanakan di kawasan Kuala Koh hanya berjalan selama dua minggu sebelum terabai.


Tong RM40,000 tak berfungsi

"Ia kemudian rosak, tiada siapa baiki. Setiap tong bernilai RM40,000. Kontraktor hantar masuk dan 'claim' duit, namun projek tak berjalan. Orang Asli diabai. Banyak projek dihantar kerajaan (terdahulu) tapi tak diambil peduli. Selenggara tiada, tiada siapa buat aduan dan peduli. Mereka jadi mangsa," luahnya kepada Suara Keadilan.

Tambahnya, terdapat papan tanda di sekitar kawasan projek bekalan air berkenaan yang jelas memaparkan nama projek, syarikat terbabit dan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab.

Menzahirkan simpati buat penduduk setempat yang terpaksa menerima akibat pengabaian projek bekalan air berskala besar itu, Johan berkata jelas wujud unsur penyelewengan apabila projek dibiarkan terbengkalai begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan. 

"Salah satu punca sistem projek tidak berfungsi adalah pencemaran air. Kalau bekalan air yang terlalu kotor masuk ke sistem itu, ia akan rosak," jelasnya yang mendakwa pencemaran disebabkan aktiviti perlombongan dan perladangan di kawasan berhampiran. 

Malah menurut Johan, rumah disediakan kerajaan terdahulu lima tahun lalu juga tidak dapat diduduki komuniti setempat berikutan ketiadaan bekalan air bersih. Tegasnya, krisis kesihatan di sana bukan perkara baru sebaliknya merupakan kesan ‘kerakusan’ pihak tertentu ke atas kawasan penempatan Orang Asli Batek menerusi kegiatan perlombongan dan perladangan yang terkumpul sejak 10 tahun lalu. 

Sejak 2009, kawasan sekitar Kuala Koh digondolkan sehingga 10,000 dan 20,000 hektar bagi perladangan kelapa sawit yang akhirnya mengakibatkan kerosakan alam sekitar secara kekal, jelasnya.

"Kelapa sawit dibubuh baja dan racun, semakin bertambah saban tahun.  Sudah 10 tahun, bayangkan baja, racun banyak mana, semua itu mengalir ke sungai mereka,” katanya.

Situasi itu sekaligus katanya, mengganggu persekitaran, kesihatan dan pemakanan khususnya golongan wanita dan anak-anak menyebabkan berlaku kekurangan zat makanan dan mempunyai tahap imuniti rendah terhadap penyakit.

“Segala yang berlaku bukan secara tiba-tiba. Wabak campak ini datang dari mana kalau bukan dari pencemaran yang berlaku selama ini? Bila ramai mati, baru dapat perhatian. Kalau tidak, tiada siapa pandang Kuala Koh," ujarnya, kesal.

Beliau yang giat menyalurkan bantuan dengan mewujudkan telaga tiub bekalan air dan mengagih makanan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara, Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Masyarakat menyifatkan kematian 15 Orang Asli Batek sebagai satu pengorbanan bermakna buat generasi Orang Asli akan datang.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dipetik berkata seramai 15 Orang Asli Suku Batek terkorban dengan mangsa terbaru membabitkan kanak-anak berusia 2 tahun enam bulan.

Pihaknya turut mengesahkan, Orang Asli suku berkenaan dijangkiti wabak 'measles' atau demam campak dengan jumlah kes yang direkodkan sehingga 17 Jun lalu, meningkat kepada 113 kes.


Negeri perlu akur keputusan mahkamah

Mengesahkan projek bekalan air JAKOA di Kuala Koh bawah pentadbiran terdahulu sudah dihentikan statusnya, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Kabinet.

Katanya, projek melibatkan dana besar tidak beroperasi itu merupakan satu kerugian yang tidak wajar diulangi khususnya dalam melaksanakan projek luar bandar. Beliau walau bagaimanapun tidak memaklumkan tindakan lanjut berhubung projek bekalan air berkenaan.

"'Projek 'Gajah Putih' itu projek JAKOA dengan perbelanjaan besar, namun sekarang tidak beroperasi dan terbiar. Itu memang kerugian," katanya ketika ditemui.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu turut mengesahkan projek terbengkalai berkenaan hanya tinggal fasiliti yang tidak beroperasi seperti penjana dan tangki di sekitar Kuala Koh. 

Mengulas kematian dan wabak penyakit yang melanda Kuala Koh, Dr Xavier berkata, sudah tiba masanya kerajaan menerusi JAKOA membantu Orang Asli dari perspektif berbeza dengan  mengkaji semula situasi melanda Kuala Koh selain merancang bantuan Orang Asli di seluruh negara dengan lebih efektif.

“Ini satu mesej untuk kita kaji semula kedudukan Orang Asal, tanah adat mereka, cara kehidupan, kehendak, dan bagaimana kita boleh bantu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy berkata kerajaan sedang merangka pelan tindakan Orang Asal, hasil dapatan Konferens Orang Asal yang berlangsung 22 April lalu.

Bercakap dalam satu program televisyen, katanya konferens yang diadakan buat pertama kali itu menitik beratkan dua isu besar iaitu tanah, dan pendidikan. Tambahnya, mengikut perundangan, keputusan konsisten di beberapa peringkat seperti Mahkamah Tinggi, Persekutuan dan Rayuan sudah memberi pengiktirafan hak tanah Orang Asal suku kaum Batek khususnya di Kuala Koh, Gua Musang.

Kerajaan sedang mengkaji penyelesaian yang boleh dilaksanakan, termasuk melibatkan Jabatan Peguam Negara dan Badan Majlis Peguam sebagai usaha mencapai pencapaian holistik bagi Orang Asli Batek di Kuala Koh secara khusus, katanya.

Justeru katanya, kerajaan negeri Kelantan harus mengambil kira dan mengikuti keputusan mahkamah walaupun pada awalnya mereka tidak iktiraf keputusan tersebut.

Beliau turut membayangkan proses rombakan besar JAKOA, dengan seorang Ketua Pengarah baru telah dilantik yang merupakan pensyarah universiti dan pengkaji isu-isu Orang Asli, selain mendapatkan penjawat awam dari kalangan Orang Asli untuk menyelesaikan isu berbangkit. 


 *Disiar di Suara Keadilan 420

No comments: