Wednesday, December 12, 2007

Berjumpa Dahrie

Jumaat lepas saya berkesempatan lagi ke Rumah Pena. Selepas acara Maskara 5 pada 1 Disember lalu, saya ke sana untuk program “pengakuan penyair” pula. Di sana saya temui nama-nama yang sudah terkenal dalam dunia kepenyairan dan penulisan seperti Khalid Salleh, Nawawee Muhammad, SM Zakir, Shamsuddin Othman, Rahmad Salleh, Nazmi Yaakob dan lain-lain tetapi saya tidak mengambil inisiatif untuk menegur mereka. Saya hanya mahu merasai udara dunia penyair ini dahulu. Nantilah. Satu hari nanti mungkin saya akan berasa layak untuk berbual-bual dengan mereka.

Acara malam itu sebenarnya turut “dipinjam” oleh satu kumpulan penggambaran drama yang diadaptasi dari novel “Tangisan Bulan Madu” tulisan seorang novelis wanita yang ada pada malam itu tetapi saya lupa namanya. Maka pada malam itu saya turut dapat melihat Rita Rudaini, Ezany dan Zarina Zainuddin. Ezany berlakon mendeklamasi sajak pada malam itu.

Saya sedang menonton Dato’ Hashim Yaakob mendeklamasi sajak apabila terlihat Dahrie dari hujung sana sedang menuju ke arah saya. Saya mahu menegurnya dan memperkenalkan diri tetapi dia telah terlebih dahulu menegur saya. Rupa-rupanya dia masih ingat pertemuan kami di Hotel Singgahsana semasa Hescom 2005 dulu. Sewaktu saya berasa rendah diri di majlis itu, datang Dahrie sebagai teman berbual saya sekurang-kurangnya untuk mententeramkan saya sebentar. Kami berbual tentang esastera terutama Hescom yang bakal menjelang.

No comments: