Tuesday, December 18, 2007

Selamat Hari Jadi, En. Annuar!



Kakak saya menelefon semalam memberitahu tentang hari ulangtahun kelahiran En. Annuar sekaligus meminta saya mengarang sajak untuk beliau. Rupa-rupanya kakak saya ada menyediakan kad harijadi berisi ucapan-ucapan selamat dari anak-anak buah saya untuk diberi kepada En. Annuar. Antaranya dari Nadiah, Muhammad, Aishah, Nafisah dan ada juga dari Bang Zainal dan Kak Lang, katanya. Saya tidak pula diminta seperti itu dan tidak diberitahu tentang hari jadi En. Annuar. Cuma setelah dia melihat muka hadapan kad tersebut kelihatan kosong dan perlu diisi sesuatu supaya tidak kelihatan tidak kena barulah dia menelefon meminta saya mengisi sesuatu di dalamnya. "Sajak ke, apa-apalah!"

Alhamdulillah, saya dapat menghasilkan sajak kepada En. Annuar yang saya hormati dan telah banyak menolong saya dan keluarga saya. Di sini saya turunkan sajak tersebut.


Sajak Penawar Untuk En. Annuar
(Semoga dapat mengelap keringat yang berjujuran di jalan dakwah)


Sebenarnya terlalu payah
untuk mencari kata-kata indah, menterjemah
sosok dan tampang dirimu yang telah lewat separuh usia
namun gelora dalam jiwa yang tersorok di tenang wajah
kami percaya
ia tidak pernah tua biar sesaat cuma
kerana gigih perit-jerih yang lahir dari fikir
dan tindak laku getir darimu
tidak akan sempat jadi sejarah
melainkan terus bergerak, menjarak dan menjarah
kepalsuan dan ketidakbetulan yang melata.

Barangkali kami belum sempat menduga
atau tidak pernah mengira
helai-helai putih di rambutmu
atau garis-garis pedih di mukamu
adakah sudah bertambah
kerana yang sering kautunjukkan kepada kami
hanyalah rangkaian pengajaran dan pengalaman
yang segar dan membakar
berterusan dan tidak jemu
biar terkadang kami culas dan cuba mencari alasan.

Terima kasih di atas cerita-cerita
yang kausampaikan terkadang persis Pawang Ana
pencerita Awang Sulung Merah Muda
dari diari merahmu yang sering runcing
dengan idealisme penyedar
untuk kami jadikan landas semasa bertatih
dan tempat bersandar semasa letih.

Sebenarnya terlalu payah, Encik Annuar!
Untuk mencari cara menghargai
kerana penghargaan itu sendiri di dalam dirimu sudah menyebati.




17 Disember 2007
Pelabuhan Utara

1 comment:

Anonymous said...

Putra Baginda,

Maaflah, bukan niat mengkesampingkan dirimu. Cuma, tertinggal. Namun, sajak Putra Baginda itu sangat mengesankan.

Percayalah, ketika dibacakan oleh Azizi kepada semua, beliau mengangguk-angguk tanda setuju dan terharu sambil berkata "Haizir memang mempunyai bakat semulajadi dalam penulissan".

Terima kasih untuk tulisan tentang Pak Hussein Umar juga.