Thursday, December 06, 2007

Hujan, Itik dan Masa Lalu

Sehari-dua yang lalu cuaca panas terik. Hanya sebentar selepas itu hujan turun lebat. Mencurah-curah. Dan hari ini akhbar melaporkan Kota Tinggi, Johor dinaiki air.

Aku yang ke pejabat bermotosikal kebasahan disiram hujan renyai-renyai. Tidak tersangka olehku hujan akan turun selepas telah lama cuaca panas. Suhu jadi sejuk yang amat. Di pejabat, seorang pengurus kami membelikan beberapa bungkus nasi lemak untuk kami bersarapan pagi. Di rumah tadi isteriku telah menyediakan cucur kodok. Hujan-hujan begini perut memang cepat terasa lapar dan kerap juga ke bilik air buang air kecil.

Semasa kecil dulu pada waktu-waktu hujan begini, seperti kebiasaan kanak-kanak lain aku akan bermain hujan dan lecak di halaman rumah. Biasanya pada waktu petang sebelum hari mula gelap. Dengan berseluar pendek dan berkaki ayam aku akan menendang-nendang air lecak tinggi-tinggi dan sekuat-kuat hati seperti aku sedang menendang bola pula lagaknya. Aku berasa cukup puas melakukan perkara yang demikian.

Malah aku berasa cukup dengki kepada itik peliharaan ayah yang seronok bermain lecak besar, seperti berenang di dalam kolam pula lagaknya. Lalu rasa dengki itu akan aku puasi dengan mengambil kayu untuk membaling itik itu atau jika kayu tidak kujumpai aku akan kejar dan sergah sahaja si itik malang itu agar ia tidak seronok lagi. Apa yang aku rasai selepas itu ialah satu lagi kepuasan kerana aku dapat melihat itik itu lari dan terbang dengan sangat jauh seperti terbang seekor burung pula lagaknya. Selepas itu aku menjadi dengki lagi melihatnya yang boleh terbang sejauh itu walaupun ia hanyalah seekor itik.

Lalu selepas itu aku mencari sebatang kayu.

1 comment:

Max J. Potter said...

nani suke main hujan.. hm, tp tak boleh terbang bile maak dah kejar suruh masuk. *^^*