Saturday, December 29, 2007

Fragmen Melankoli

Salleh tidak menyangka pertemuannya dengan Zakri, bekas rakan sekolahnya itu akan membangkitkan kembali ingatannya kepada kisah yang telah lama dia timbus dalam lubang sejarah yang paling dalam. Akibat pertemuan ringkas itu, Salleh kini tersepit kembali dek lipatan peristiwa lalu. Betul-betul Salleh tidak sangka cerita itu akan terbuka semula. Zakri memang celaka!

Semuanya bermula apabila pasangan kembar Serani dari Sarawak itu mendaftar masuk tingkatan empat di sekolah Salleh dan Zakri, sekolah berasrama penuh paling sohor di Semenanjung, sekolah yang sering sahaja menggegar dada-dada akhbar dengan rekod-rekod yang pelbagai, tidak kira akademik, sukan, kepimpinan atau apa juga. Pemain utamanya sering sahaja Salleh. Atau Zakri. Salleh, Ketua Pelajar dari Johor, drum major pancaragam, ketua pasukan ragbi, pelari pecut daerah, tinggi dan tegap, senang-senang sahaja menjadi senior idaman sekolah. Zakri, kelahiran Dungun, Terengganu, sejak dari tingkatan satu ditawarkan pelbagai jawatan oleh guru namun tiada satu pun yang diterimanya hatta Ketua Kelas sekalipun. Dia pesaing utama Salleh dalam segenap hal namun lebih gemar menabur jasa kepada sekolah tanpa menonjol-nonjolkan diri. Umum warga sekolah itu walaubagaimanapun mengetahui kehebatan dan ketrampilan Zakri, malah tidak sedikit berpendapat tempat Salleh sebagai Ketua Pelajar sepatutnya diisi Zakri, jika Zakri tidak memakai prinsip bersikerasnya itu.

Persaingan antara mereka berdua bagai sudah menjadi epik di sekolah, yang bakal diceritakan turun-temurun dari satu generasi ke satu generasi pelajar. Nama “Salleh” dan “Zakri” akan diwariskan kepada junior-junior terkemudian, sebagai tanda persaingan itu akan terus berjalan. Namun, persaingan sengit itu tidak menjadikan mereka musuh paling ketat, tidak juga menjadikan mereka sahabat paling rapat. Cuma mereka dihubungkan melalui medium itu; persaingan. Ya, persaingan.

Sehinggalah Jamie dan Jessica, pasangan kembar seiras memasuki pintu gerbang sekolah itu, gerbang persaingan Salleh dan Zakri terbuka lagi. Kedua-duanya tertawan oleh kecantikan Jessica, dan dalam diam-diam, Salleh dan Zakri sudah mula menyinsing lengan mengasah senjata!

Minggu pertama di sekolah baru tidak menjadi satu perkara yang besar bagi Jessica. Dia dan abangnya, Jamie, pelajar cemerlang PMR negeri Sarawak, maka mereka terpilih ke sekolah tersohor itu. Hari-hari dalam Minggu Orientasi Pelajar Tingkatan Empat dilaluinya dengan aman sementelah abangnya sentiasa di sisi memerhatikan. Pada hari pertama lagi mereka telah dikenalkan dengan barisan kepimpinan pelajar yang diketuai Ketua Pelajarnya, Salleh bin Razlan. Pada hari pertama itu jugalah kecantikan wajah Jessica telah terserlah dan mencairkan hati ramai pelajar lelaki sehingga tanpa dia sedari namanya telah menjadi sasaran dalam persaingan dua lelaki paling berpengaruh dalam sekolah itu.

“Maaf, Salleh! Aku tidak berniat mengungkit kisah lama. Atau sengaja menoreh luka yang telah sembuh. Tapi, tanggungjawab tetap tanggungjawab, Leh! Itu yang kita pelajari dan gelumangi selama lima tahun di sekolah,” terngiang-ngiang kata Zakri sebentar tadi di telinga Salleh. Terngiang-ngiang, sampai sekarang.

Tanggungjawab? Sepatutnya aku yang menegaskan kata itu kepada kamu!

Gambar foto 4R berbingkai kayu keras dengan ukiran corak awan larat itu ditatap Salleh penuh perhatian. Hanya tidak berapa lama selepas itu perhatian yang penuh itu kemudiannya bercampur-baur dengan perasaan sayu. Salleh tidak dapat pasti sampai bilakah pasangan bahagia dalam gambar yang ditatapnya itu, menguntum senyum, dapat terus tersenyum dan dapat terus bahagia sebagai satu pasangan. Atau kuntuman senyuman itu satu hari nanti akan dicantas dan diganti dengan juraian air mata pula. Entah, Salleh tidak dapat pasti.

“Abang Salleh!”

(Bersambung...)

No comments: