Apabila saya tahu yang lelaki itu ialah Abdullahjones, saya sudah terfikir beberapa ketika selepas itu, jika saya menulis blog nanti tajuknya akan jadi “Memerhati Abdullahjones Dari Jauh”. Tetapi di penghujung program sebelum pulang, tajuk yang saya bayangkan tadi sudah bertukar kepada tajuk yang ada sekarang.
Terima kasih kepada Lutfi. Atas jasanya, dapat saya sampai ke Rumah Pena buat pertama kali dan mempertemukan saya dengan nama-nama yang selama ini hanya ditemui di blogosfera. Sebentar, saya mahu menyenaraikan nama mereka untuk rekod:
1) Ode – sebaik terpandang, saya tahu dia adalah Ode. Saya menegurnya dan memperkenalkan diri. Ode agak pemalu orangnya. Ode meminta izin keluar di tengah-tengah majlis sebelum datang semula di akhir-akhir majlis. “Meeting dengan Dr. Wan”, katanya.
2) Kingbinjai – berdiri di sebelah Ode sewaktu saya menegur Ode. Saya ingatkan dia kawan yang datang dengan Ode. Odelah yang memperkenalkan saya dengan Kingbinjai. Agak lancar juga perbualan saya dengan Kingbinjai. Kepadanya saya bertanya tentang “isu panas” yang pernah melanda e-sastera dulu yang dia menjadi watak utamanya. Di tengah-tengah perbualan kami, datang pula
3) Elmaniq - sekutu Kingbinjai dalam kumpulannya, Narayuda, selain Esis yang tidak hadir malam itu.
4) Attokz – penyumbang aktif di Komuniti Pantun esastera.com. Saya memperkenalkan diri sebagai Putra Baginda kepadanya. Attokz mendeklamasi puisi barunya pada malam itu dengan bersahaja dan mengakhirinya dengan suara lelaki lembut sehingga mengundang tepuk sorak penonton.
5) Tok Rimau – komuniti blogger pasti kenal nama ini. Menegurnya yang datang bersama Lan Rasso, saya terus berasa tidak kekok malah mesra. Saya bertanya tentang projek filemnya, Bumbung Aku Lantai Orang (BALO). Kata Tok Rimau, filem itu dihajatkan untuk dihantar ke Amerika. Untuk Astro di Malaysia juga akan ditayangkan, tetapi setelah dipadatkan kepada 20 minit sahaja daripada tempoh asalnya, 2 jam.
6) Sinaganaga – satu lagi nama yang tidak asing di kalangan blogger selain Tok Rimau. Gayanya yang urban dan dengan memakai topi askar Jerman agak menakutkan saya untuk menegurnya. Naga kemudian mempromosi blooknya, “You Want A Gum, Sol-jah?”
yang saya beli dan berhasil mendapatkan autografnya.
7) Basri – pernah saya bertemu dengannya di Hescom ’05. Basri merupakan tetamu jemputan pada malam Hescom ’05 itu. Basri kelihatan agak pemalu juga tetapi semakin ramah apabila makin lanjut berbual. Melalui Basri, saya diperkenalkan pula kepada Jigo dan Op kalau tidak silap.
8) Jigo – sewaktu menonton persembahan gurindam Mas Adeki dari luar tingkap, saya berdiri di sebelahnya. “Wah, orang lama!”, kata saya kepada Jigo, bertujuan memulakan perkenalan. Jigo hanya senyum melirik tanpa berkata apa-apa dan tidak memandang muka saya membuatkan saya mematikan terus niat untuk bercakap lagi.
9) Fadli Al-Akiti – seorang yang saya kagumi tulisannya dan kritikannya terhadap filem dan buku. Masih muda orangnya. Malam itu Fadli atau Fadz selain memberi percuma CD-CD, buku-buku dan majalah-majalah koleksi peribadinya, juga turut menjual edisi terhad novel tebal sai-fai terbarunya, Asain yang kelihatan agak provokatif dan beragenda kerana pesan Fadz kepada kami yang membelinya, “Tolong jangan ulas!”.
10) Vovin – ada membuka lot di esasterawan dengan nama Nazri M Annuar. Saya tidak mengambil peluang bertegur sapa dengannya.
11) Ummu Hani Abu Hassan – kecil molek orangnya, bersungguh-sungguh pada malam itu menerangkan “perjuangan” lewat novel barunya, Ladang Hati Mustika. Saya tidak menegurnya dan penulis-penulis perempuan lain. Malu.
12) Abdullahjones – sewaktu saya berbual dengan Tok Rimau di luar, lelaki ini muncul dengan pasangan dan terus mendapat perhatian Tok Rimau dan Sinaganaga yang ada berhampiran. Saya bertanya Tok Rimau siapakah lelaki itu. Tertahan-tahan, Tok Rimau kata lelaki itu tidak mengizinkan identitinya diberitahu kepada orang lain. Nah, dengan mengatakan “dia tak kasi beritahu” itu, saya sudah boleh mengagak itulah Abdullahjones, tambahan saya pernah melihat gambar Ylang-Ylang di Sastera.net.
Sepanjang program Maskara 5 itu, saya hanya melihat dari luar melalui pintu dan tingkap kerana Rumah Pena sudah penuh dengan penonton baik di atas kerusi mahupun di atas lantai. Sebelum pulang, saya memberanikan diri menegur Abdullahjones, menjabat tangannya sambil mengenalkan diri sebagai Putra Baginda. Ternyata dia lebih ramah daripada apa yang saya sangkakan, melihat kepada senyumnya yang lebar.
No comments:
Post a Comment