Wednesday, October 16, 2019
Bersediakah kita dengan ekonomi gig?
Protes pekerja syarikat penghantar makanan, Foodpanda baru-baru ini membuka mata banyak pihak bukan sahaja kepada soal hubungan pekerja-majikan berorientasikan kebajikan seperti lazimnya diuruskan jabatan sumber manusia, malah sebenarnya ia mengajak kita menyelak satu dimensi baru perniagaan masa kini yang dikenali dengan nama ekonomi gig.
Apakah ekonomi gig? Wartawan dan penulis, Sarah Kessler dalam bukunya, Gigged: The Gig Economy, the End of the Job and the Future of Work menulis bahawa pekerjaan sepenuh masa semakin pupus.
Pada hari ini jelasnya, semakin ramai pekerja bekerja secara bebas (freelance), sama ada memandu untuk Uber atau menghantar makanan bagi Deliveroo, membangunkan perisian atau menjalankan kerja-kerja rundingan dengan bank-bank pelaburan.
"Selamat datang ke ekonomi gig!," katanya.
Kapitalisme paling teruk
Sarah menyebut terma-terma yang menakutkan seperti 'berakhirnya pekerjaan', juga membangkitkan soalan-soalan kritikal tentang masa depan dunia kerjaya seperti 'apa akan jadi apabila jaminan pekerjaan, manfaat, dan percutian jadi sejarah?', 'bagaimana pekerja bebas dapat mencari majikan yang menawarkan upah berbaloi dan bermakna?', juga 'benarkah ekonomi gig dapat benar-benar mengubah dunia pekerjaan buat selama-lamanya?'
Malcolm Harris dalam artikelnya, Doing More, Getting Less yang disiarkan majalah The Nation menerangkan bahawa apa yang dibuat syarikat-syarikat ekonomi gig hanyalah strategi memindahkan kos kepada pekerja mereka.
Mengambil contoh Uber, syarikat gergasi itu tidak perlu melatih para pemandunya memandu kerana semua memiliki kemahiran itu. Begitu juga telefon bimbit tidak perlu dibekalkan kerana - semua orang sudah pun memiliknya sendiri.
Penulis Malaysia yang terkenal dengan buku Ceritalah yang berkembang menjadi rancangan televisyen, Karim Raslan punya kebimbangan serupa dengan perkembangan baru ini, cuma nadanya agak lebih keras.
Menurutnya, ekonomi gig adalah kapitalisme pada tahap yang paling teruk, apabila semua orang mahu mewujudkan 'unicorn' seterusnya, sekaligus menjejaskan perniagaan konvensional pada skala global, seperti Airbnb dan Netflix.
Foodpanda adalah contoh awal di negara ini, namun sekurang-kurangnya di rantau Asia Tenggara, ia bukanlah contoh tunggal. Di Indonesia, Foodpanda ditutup pada 2016 selepas beroperasi selama empat tahun, antaranya akibat tewas persaingan dengan perkhidmatan teksi motosikal yang lebih digemari penduduk negara itu.
Grab 'tenggelamkan' teksi
Latar belakang seterusnya adalah campur tangan kerajaan negara republik itu untuk menghentikan perang diskaun yang membawa kepada 'pertelingkahan' antara dua 'raksasa', Gojek dan Grab, yang jika tidak diurus dengan wajar, bakal menenggelamkan kedua-duanya.
Bagi Malaysia yang berkemungkinan memperkenalkan Gojek pada masa depan, dan dengan isu sedia ada lewat Foodpanda dan lain-lain pemain ekonomi gig, latar-latar ini di sekitar kita adalah pengajaran-pengajaran yang perlu dilihat kerajaan bagi merangka dasar dan strategi setepatnya agar fenomena ini tidak 'menelan' sesiapa terutamanya rakyat terbanyak.
Dalam urusan ini, penganalisis ekonomi, Dr Madeline Berma mahu kerajaan berada dalam keadaan bersiap-siaga bagi menerima sebarang perubahan yang berlaku dalam sistem ekonomi negara.
Felo Akademi Sains Malaysia itu melihat pembangunan ekonomi gig sebagai satu bentuk gangguan pada ekonomi konvensional, di mana ia bakal memberikan cabaran yang besar tetapi dalam masa yang sama mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat.
"Ekonomi gig ini adalah satu perkembangan baru yang mengubah benda yang sedia ada dan menjadi pelengkap kepada ekonomi konvensional, sebagai contoh kemunculan Grab telah menenggelamkan teksi."
"Tetapi ini adalah satu persaingan dan ia tidak boleh dilihat dari sudut pandangan negatif sahaja kerana ia membuka banyak peluang pekerjaan yang boleh diceburi oleh semua pihak untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi," katanya ketika dihubungi.
Madeline turut melihat bahawa kerangka undang-undang baharu perlu dibentuk oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan para pekerja dalam sektor ini.
Pekerja vs kontaktor bebas
"Kuasa pasaran itu tidak boleh dimonopoli oleh sebelah pihak sahaja, perlu ada keseimbangan di antara majikan dan juga pekerja, dan negara kita belum ada undang-undang yang ketat bagi pasaran ini," jelasnya.
Senada dengan beliau ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut melihat kepentingan wujudnya garis panduan dan undang-undang termasuk dalam melindungi kebajikan pekerja yang terlibat dalam bidang baru ekonomi ini.
Melawan arus, beliau mahu para pekerja ekonomi gig termasuk di syarikat yang menjalankan perkhidmatan e-hailing seperti Grab, MyCar dan Jom Rides diiktiraf sebagai pekerja dengan jawatan tetap dan bukan sebagai kontraktor bebas.
"California di Amerika Syarikat baru-baru ini telah meluluskan undang-undang bersejarah untuk menghendaki perniagaan – termasuk syarikat ‘ride-hailing’ seperti Uber dan Lyft – untuk menganggap pemandu sebagai pekerja, bukan kontraktor bebas dalam kebanyakan keadaan."
"Ini bermakna pekerja sedemikian akan menerima perlindungan dan manfaat buruh seperti insurans pengangguran, kerja lebih masa, gaji minima dan hak untuk kesatuan."
"Ia mungkin masa untuk Malaysia mempertimbangkan undang-undang yang sama; walaupun pandangan para pekerja dan majikan mestilah diperhalusi," katanya dalam kenyataan.
Sektor kerja mengecil
Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob turut melihat kepentingan pengambilan insurans hayat atau insurans perubatan di kalangan pekerja terbabit. Kerajaan jelasnya, boleh memberi pengecualian cukai terhadap insurans premium yang mereka bayar bagi memberi galakan.
Selain itu, beliau turut menyarankan agar caruman pekerja yang terlibat dalam ekonomi gig ini diberi perhatian oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Sebagai contoh, individu yang terlibat boleh mencarum secara sukarela pada kadar caruman yang ditetapkan oleh mereka sendiri.
Melihat perkembangan ekonomi gig ini tidak dapat disekat, beliau membayangkan pengecilan sektor pekerjaan konvensional akan berlaku akibat diambil-alih pekerjaan gig.
"Saya kira ekonomi gig ini akan terus berkembang pesat menjalar ke seluruh sektor ekonomi. Hakikat yang perlu diterima adalah ekonomi gig ini tidak tertakluk pada peraturan rejim yang ketat."
"Jadi kontrak pekerjaan konvesional akan mengecil dan akan digantikan oleh sektor pekerjaan gig," katanya ketika dihubungi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment