Wednesday, October 02, 2019

Depresi kanak-kanak: Jangan sampai jadi parah!


 

Oleh HAIZIR OTHMAN, AINOR MAZIYYAH


Bayangkan situasi ini: Dalam sebuah kelas di sebuah sekolah, sekumpulan kanak-kanak, ibu bapa dan guru sedang bergembira meraikan majlis sambutan hari jadi salah seorang kanak-kanak di situ.

Kelas dihiasi cukup meriah dengan belon-belon pelbagai warna digantung di setiap sudut. Kanak-kanak memakai topi parti. Kek hari jadi dipasang dengan lilin-lilin dan dinyalakan api sebelum ditiup diiringi nyanyian dari para hadirin.

Selepas itu, deretan hadiah diberi rakan-rakan, seorang demi seorang. Hadiah-hadiah disusun di atas meja, berkotak-kotak, bertingkat-tingkat. Sambil menikmati jamuan, masing-masing bertukar-tukar senda gurau dan tawa sehingga majlis selesai.

Dilihat sekali imbas, suasana ini cukup baik bagi meraikan seorang kanak-kanak yang menginjak usia baru, bersama-sama rakan-rakan, guru, dan ibu-bapa. Inilah majlisnya bagi menunjukkan penghargaan kepada anak tersebut dan orang di sekitarnya.


Kes kanak-kanak meningkat

Namun, barangkali tidak ramai menyangka penganjuran majlis sebegini dalam skala besar jadi punca kepada seorang kanak-kanak berusia enam tahun dihantar untuk menerima rawatan psikiatri - kerana ibu bapanya tidak mampu mencontohi rakan lain membuat majlis serupa, lalu berasa rendah diri sehingga mengundang depresi.

Meski kes ini berlaku di luar negara seperti dikongsi warga maya di laman sosial, tidak mustahil kes serupa berlaku kepada kanak-kanak di sini lantaran budaya-budaya baru yang muncul seperti sambutan hari jadi dan lain-lainnya sehingga 'memaksa' semua orang mengikutinya tanpa mengira situasi kewangan mereka.

Budaya 'popular' seperti lazim dalam industri hiburan meresapi dunia persekolahan kanak-kanak menerusi sikap berlumba-lumba para ibu bapa menonjolkan kemewahan, antaranya dengan penganjuran majlis besar-besaran untuk anak mereka.

Tanpa disedari, sambutan-sambutan tersebut berkembang sebelum dianggap sebagai status kelas sosial dalam kalangan masyarakat yang kesannya tertumpah kepada anak-anak yang belum betah dengan tekanan psikologi ketimbang usia kecil mereka.

Masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak termasuk depresi ini menjadi kian signifikan dengan peningkatan kes seperti yang dicatatkan laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS).

Data tahun 2015 menunjukkan seramai 4.2 juta rakyat atau 29.2 peratus penduduk negara ini yang berusia 16 tahun ke atas mengalami pelbagai masalah mental. Dari angka tersebut, 12.1 peratus terdiri daripada kanak-kanak, diikuti orang dewasa 29.2 peratus dan warga tua berusia 60 tahun ke atas pula 24 peratus.

Berbanding data pada 2006, statistik pada 2015 mencatatkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus, manakala pada 2018 pula, data NHMS melaporkan setiap tiga orang dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 tahun menderita pelbagai isu kesihatan mental.


Golongan B40 lebih terdedah

Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr Rafidah Aga Mohd mengakui masalah kemurungan bukan hanya dialami golongan belia dan dewasa, malah kian menular di kalangan kanak-kanak. 

Mengkategorikan kanak-kanak sebagai 'pelanggan minor', atau dirujuk sebagai bawah umur dalam profesion kaunseling, beliau menyifatkan golongan ini begitu 'fragile' (rapuh) atau amat mudah terkesan dengan apa jua berlaku di persekitaran mereka.


"Kanak-kanak memerlukan sistem sokongan yang benar-benar selaras dengan matlamat untuk membantu mereka," katanya.

Menyedari antara faktor menyumbang kepada masalah ini termasuklah status sosioekonomi keluarga, pakar psikologi ini mahu perhatian khusus diberikan kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai kecenderungan lebih tinggi mengalami kemurungan berbanding golongan pertengahan dan atasan.

"Golongan B40 saya khuatir ibu bapa tiada ilmu, akan (hanya) guna pendekatan tradisional; asyik nak mengarah tanpa langkah demi langkah kerana tiada kepakaran dan ilmu. Ada kemungkinan mereka tidak menyedari anak mereka kemurungan," ujarnya. 

Sehubungan itu, Dr Rafidah berkata tahap kesedaran atau literasi kesihatan mental kanak-kanak perlu ditingkatkan di kalangan ibu bapa dan masyarakat kerana apabila masyarakat sudah 'celik' terhadap kondisi kesihatan mental kanak-kanak, maka golongan itu dapat dibantu dengan lebih awal. 

Selain itu, jelasnya, hilangnya suasana kegembiraan dalam pelajaran seawal sekolah rendah turut menyumbang kepada kanak-kanak menjadi murung. 


Bunuh diri kerana UPSR

Mengambil contoh penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dilaksanakan seawal darjah empat, beliau berkata mengikut teori Piaget dalam psikologi perkembangan kognitif, pemikiran aras tinggi hanya boleh dilaksanakan bermula kanak-kanak mencapai umur 12 tahun.

"Pembesaran mereka belum capai tahap itu namun sistem pendidikan sudah ibarat memaksa ke arah itu. Itu tidak bagus," katanya kepada Suara Keadilan. 

Senada dengan Dr Rafidah, Ketua Srikandi KEADILAN, Nurainie Haziqah Shafii berpandangan segelintir ibu bapa terlalu berorientasikan kepentingan akademik dalam membesarkan anak-anak mereka.

"Kalau lihat berita, anak umur 12 tahun sudah bunuh diri kerana UPSR."

"Saya rasa budaya kita sangat mementingkan peperiksaaan sebagai satu cara untuk berjaya. Itu sebab depresi kanak-kanak berlaku. Persaingan dalam kalangan kanak-kanak, dalam keluarga, adik beradik dan sebagainya," jelas beliau. 

Beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan platform untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang bantuan yang boleh diberikan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan mental. 

"Kesedaran ini harus melibatkan ibu bapa, masyarakat dan kanak-kanak sendiri. Bagaimana kanak-kanak ini dapat dibantu berkaitan dengan masalah kesihatan mental ini," ujarnya. 


Insuranskan penyakit mental

Menyedari bilangan pesakit mental kian meningkat saban tahun, kerajaan menyokong usaha syarikat insurans di negara ini menawarkan polisi perlindungan untuk penyakit berkaitan mental bagi mengurangkan kos ditanggung pesakit berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye ketika mengulas isu ini berkata, masalah kemurungan terutamanya di kalangan kanak-kanak merupakan isu kesihatan mental serius yang perlu ditangani semua pihak.

"Di Malaysia ada usaha menerusi syarikat insurans AIA, menawarkan perlindungan insurans beberapa penyakit termasuk kemurungan, bipolar, schizophrenia, obsesive compulsive dan banyak lagi. Saya harap syarikat lain boleh ikut sama," ujarnya.

Katanya, kesedaran peringkat awal adalah penting sebagai langkah pencegahan daripada kanak-kanak mengalami kemurungan. 


"Kesihatan mental remaja dan kanak-kanak adalah masalah serius sekarang. Kita harap ibu bapa beri perhatian. Bukan setakat Kementerian Kesihatan tapi juga Kementerian Pendidikan, ibu bapa dan rakan-rakan." 

"Mereka yang mempunyai tanda-tanda depresi dan usaha membunuh diri biasanya mempunyai tanda-tanda awal yang boleh dikenalpasti untuk intervensi peringkat awal," katanya ketika dihubungi. 

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat mengubah stigma negatif terhadap penyakit mental dan tidak berasa malu mendapatkan bantuan awal sekiranya mempunyai masalah sedemikian.   

Memberi contoh di luar negara, rawatan psikiatri untuk gangguan mental jelasnya merupakan satu perkara biasa. 

"Kita harap boleh hapuskan stigma ini dengan menganggap penyakit kesihatan mental juga sebagai penyakit biasa, di mana setiap orang yang berisiko mendapatkan rawatan atau nasihat," ujarnya. 


*Disiar di Suara Keadilan 427

No comments: