Wednesday, October 02, 2019
M For Malaysia: Kisah klasik pemenang menulis sejarah
Oleh HAIZIR OTHMAN
Sekurang-kurangnya ada dua babak paling menyentuh sekaligus mengejutkan, bagi saya, dalam dokumentari M For Malaysia yang tamat tayangannya 25 September lalu.
Pertama, ketenangan Lim Guan Eng menceritakan penahanan tanpa bicara beliau dalam Operasi Lalang 1987 (di mana beliau yang pertama ditahan, dan terakhir dibebaskan), namun apa yang ditawarkannya kepada individu yang bertanggungjawab atas tangkapan tersebut ialah: Maaf. Demi masa depan negara yang lebih baik.
Kedua, apabila Wan Azizah menceritakan bagaimana beliau, pada hari-hari awal Saudara Anwar Ibrahim ditahan di rumahnya sendiri sebelum dipenjarakan pada September 1998, diberitahu seseorang bahawa: Anwar mati. Dalam tahanan.
Berita ini walau bagaimanapun tidak dipercayai Azizah dan ternyata ia palsu. Namun, sekuat mana ia telah menggoncang perasaan seorang isteri Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu - hanya Tuhan yang tahu.
Seterusnya, bagaimana detik-detik tersebut membentuk perjalanan beliau dan keluarga sehingga menjadi tonggak gerakan Reformasi yang mengubah lanskap politik negara ini tidak diceritakan. Dan ini menjadi 'babak' ketiga paling menyentuh, atau lebih tepat paling mendukacitakan dalam filem ini - kerana ia tiada sama sekali.
Tawaran akhir Najib
Sebagai sebuah filem, M For Malaysia boleh dikatakan berjaya menyampaikan mesej dan idea terhadap apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada tarikh 9 Mei 2018 lalu sehingga tumbangnya Barisan Nasional (BN) dari tampuk pemerintahan negara.
Siri kempen dan ceramah seluruh negara saban malam yang dihadiri ribuan rakyat sejak tarikh pilihan raya diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebenarnya telah pun membayangkan keputusan yang bakal dicapai pada hari pembuangan undi.
Namun, menyedari 'rejim' Najib Razak sanggup berbuat apa saja demi mengekalkan kuasa, tambahan pula perubahan tidak pernah berlaku sejak 60 tahun lalu, para pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak dapat menjangka keputusan PRU-14 akan menyebelahi mereka.
Walaupun disertai tokoh 'heavyweight' politik, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, HARAPAN masih perlu berdepan persempadanan semula yang diluluskan tergesa-gesa di Dewan Rakyat, pimpinan utamanya digagalkan bertanding, skandal daftar pemilih dan seribu satu cabaran getir lain.
Walau bagaimanapun, 'tsunami rakyat' tidak dapat dibendung sesiapa, hatta oleh tawaran materialistik Najib pada malam terakhir kempen. Babak-babak ucapan Najib diselang-selikan dengan ucapan Dr Mahathir disunting dengan cukup bijak dan berseni oleh Sebastian Ng, memaparkan seolah-olah berlaku perdebatan jarak jauh antara dua tokoh itu.
Faktor paling penting yang menescayakan berlakunya perubahan pada tarikh itu adalah rakyat yang nyata tidak boleh berkompromi lagi dengan salah laku pimpinan utama kerajaan, sehingga bertekad untuk menyingkirkan mereka tidak kira apa jua menanti di depan mata, dan ini diceritakan dengan baik dalam filem ini.
Biar pun begitu, kemenangan ini masih sukar dipercayai seperti diceritakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang menyangka akan berlaku kudeta apabila beliau mendapati kehadiran pasukan keselamatan lengkap bersenjata dengan memakai topeng balaclava, semasa keputusan PRU-14 diumumkan.
Tak cerita Reformasi
Namun begitu, kehadiran mereka sebenarnya adalah untuk melindungi Perdana Menteri baru, Dr Mahathir daripada sebarang ancaman.
Imej ini sebenarnya mengingatkan kita kepada insiden yang berlaku dua puluh tahun lalu, lebih tepat pada 20 September 1998 di kediaman Saudara Anwar Ibrahim di Bukit Segambut apabila rumahnya diserbu sekumpulan polis komando bertopeng sebelum ditahan secara ganas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sebagai aktivis reformasi, fikiran bawah sedar Fahmi mungkin mengingatkannya kepada peristiwa hitam malam itu yang digelar Black September, sehingga menyebabkannya mengaitkan kehadiran polis dengan elemen negatif seperti kudeta.
M For Malaysia dimulakan dengan babak-babak dalam perhimpunan Bersih apabila buat kali pertama sejak pergerakan ini ditubuhkan pada 2005, ia disertai Dr Mahathir dalam perhimpunan kali keempatnya - pada tahun 2015 sebelum beliau mengulanginya pada tahun berikutnya.
Bersih (2007), Bersih 2 (2011), dan seterusnya hingga Bersih 5 (2016) walau bagaimanapun tidak mungkin terjadi tanpa latar belakang Reformasi 1998 yang ditandai peristiwa pemecatan Saudara Anwar Ibrahim dari kerajaan dan parti - mendorong kebangkitan rakyat seluruh negara.
Barangkali inilah detiknya buat pertama kali, rakyat secara massa mula mempertimbangkan idea menukar kerajaan selepas apa yang dilakukan Dr Mahathir kepada Saudara Anwar yang dizalimi - dipecat, dipenjara, dimalukan, dipukul dalam keadaan bergari dan mata tertutup, dinafikan hak dalam tahanan dan sebagainya.
Namun, hanya sepuluh tahun selepas itu kesannya mula terlihat apabila dalam Pilihan Raya Umum 2008, Pakatan Rakyat berjaya menewaskan BN di lima negeri - Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan, sebelum Perak jatuh semula kepada BN lewat peristiwa penyeberangan Ahli Dewan Undangan Negeri.
M For Malaysia tidak menceritakan kisah-kisah ini kerana agak terlalu banyak merakamkan detik-detik peribadi momen romantis Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Hasmah Muhammad Ali sehinggakan sesetengah babak tertentu berlangsung begitu lama, menenggelamkan babak-babak lain yang lebih penting dan bermakna.
Biografi Mahathir
Sebagai contoh, babak teriakan "Kita kalahkan Najib Razak" oleh aktivis dan strategis PRU-14, Hishamuddin Rais tidak kedapatan dalam filem ini walaupun dengan jelas ia dimuatkan dalam iklan acah ('teaser')nya sebagai promosi menarik penonton ke pawagam.
Menyedari penerbitnya Marina Mahathir, dan pengarahnya Ineza Rousille yang merupakan cucu Dr Mahathir, maka kita dapat memahami mengapa M For Malaysia lebih menyerupai filem biografi Dr Mahathir berbanding dokumentari Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ia juga barangkali sebab mengapa laungan "Hidup Tun!" paling banyak bergema dalam filem ini berbanding slogan-slogan lain yang melatari PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu.
Walhal, para 'pejuang' baik di baris hadapan atau belakang perjuangan mengalahkan rejim kleptokrasi PRU lalu, apabila mendengar satu filem mengisahkan peristiwa ini bakal ditayangkan, membayangkan ia bakal memberi keadilan ('do a justice') kepada pengorbanan dan perit-jerih mereka pasca 9 Mei.
Dan jika mahu diteroka lebih jauh, sejarah panjang lebih dua puluh tahun lalu ketika jalan-jalan di Kuala Lumpur dipenuhi saban minggu dengan demonstrasi juga perlu diberi paparan sewajarnya sebagai titik penting bermulanya perubahan tersebut.
Namun, permintaan itu mungkin terlalu besar. Buat masa ini, kita perlu berpuas hati dengan satu sisi penceritaan terlebih dahulu. Pada masa akan datang, mungkin sisi lain yang lebih menyeluruh akan diceritakan sejujurnya.
Sementara itu, nikmatilah M For Malaysia bagi menyegarkan ingatan kepada perjuangan yang pernah kita harungi, atau sekurang-kurangnya boleh ditunjukkan kepada para pemimpin negara kini agar mereka tidak lupa peristiwa-peristiwa kecil dan besar yang membawa mereka ke sana.
*Disiarkan di Suara Keadilan 427
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment