Wednesday, October 16, 2019
Ulasan filem dokumentari The Kleptocrats (2018): Kleptokrat tersungkur di mata pena wartawan
Oleh HAIZIR OTHMAN
Bagi yang berminat mengikuti rapat perbicaraan kes-kes Najib Razak di mahkamah lewat pelbagai saluran, anda memerlukan stamina yang tinggi untuk kekal faham perjalanan kes tersebut yang kompleks dan punya cabang-cabang yang rencam dan berselirat.
Namun, terima kasih kepada wartawan-wartawan penyiasatan dari seluruh dunia termasuk The New York Times, The Wall Street Journal (WSJ), The Hollywood Reporter, juga dari Sarawak Report dan media tempatan seperti The Edge dan Malaysiakini kerana dengan usaha gigih mereka, skandal kewangan terbesar ini dapat didedahkan kepada umum sebelum dibawa ke muka pengadilan.
Pada masa sama, terbit pula buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood & the World, September tahun lalu tulisan wartawan kewangan WSJ, Bradley Hope dan Tom Wright, selain buku The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Exposé tulisan Clare Rewcastle Brown pada tahun yang sama.
Apa yang mereka dedahkan bermula dari tanda tanya seringkas "dari mana syarikat produksi filem, Red Granite Pictures punya dana besar menembusi pasaran Hollywood lewat filem The Wolf of Wall Street pada 2013?" walaupun hakikatnya ia baru ditubuhkan tiga tahun sebelumnya.
Parti 100 juta dolar
Juga pertanyaan siapakah sebenarnya Jho Low yang digambarkan sebagai seorang yang kaya-raya, super bilionair, namun carian dibuat terhadapnya mendapati dia hanya seorang lelaki yang terlalu banyak berbelanja di kelab-kelab malam ternama Amerika Syarikat dan Eropah, didampingi artis-artis terkenal seperti Paris Hilton dan lain-lain.
Babak awal dalam The Kleptocrats memaparkan kemeriahan parti anjuran Red Granite pada Festival Filem Cannes 2011 dihadiri para selebriti termasuk Leonardo di Caprio, juga Kanye West dan Jamie Foxx menyanyikan lagu rap Gold Digger, selain nama-nama besar lain Hollywood yang cukup ramai.
Parti besar-besaran tersebut dikatakan menelan belanja berjuta-juta dolar Amerika. Dikenali sebagai lelaki yang suka berparti, pada tahun berikutnya sekitar November 2012, Jho Low mengadakan parti hari jadinya pula yang disifatkan bekas pengacara Lifestyles of The Rich and Famous, Robin Leach sebagai "parti termahal pernah dilihat Las Vegas", bernilai 100 juta dolar US. Malangnya, ia 'dibayar' para pembayar cukai dari Malaysia yang berada lebih 24,000 kilometer dari lokasi parti diadakan.
Di sinilah muncul Louise Story dari The New York Times, Scott Roxborough dari The Hollywood Reporter dan lain-lain memulakan penyiasatan, susulan dari kemusykilan terhadap syarikat penerbitan dan pengedaran filem yang selepas itu diketahui sebagai milik Riza Aziz dan Joey McFarland sejak 2010.
Penggalian seterusnya menemukan rantaian ini dengan bekas Perdana Menteri (PM) Malaysia, Najib Razak dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) milik Kementerian Kewangan yang 'disamarkan' sebagai syarikat dana pelaburan strategik negara, namun melaksanakan kerja-kerja lain seperti menyalurkan wang berjumlah RM2.67 bilion ke akaun peribadi Najib Razak.
Juga digunakan Jho Low untuk membeli hartanah-hartanah mewah di New York dan Los Angeles, emper (penthouse) yang pernah dihuni pasangan Jay Z dan Beyonce dengan harga USD 30.55 juta, pangsapuri bernilai USD23.98 juta di Manhattan, dan rumah agam di Beverly Hills bernilai USD17.5 juta - yang kemudiannya dijual kepada sahabat baiknya, Riza Aziz.
Lebih mencolok mata, ia turut digunakan bagi membayar hutang di meja-meja perjudian kasino-kasino di Las Vegas berjumlah kira-kira 64 juta dolar Amerika.
Hubungan Riza Aziz - Jho Low - Najib Razak, penggunaan syarikat-syarikat rahsia pelbagai nama tanpa nama pemilik; wang dalam akaun-akaun 'halimunan' seluruh dunia, inilah yang dihuraikan The Kleptocrats, antaranya lewat siasatan rapi Story, Roxborough dan wartawan-wartawan lain.
Tertawakan rakyat Malaysia
Riza dan rakannya, McFarland disifatkan Story sebagai "bukan mereka yang mempunyai puluhan juta dolar US untuk menghasilkan filem" seperti The Wolf of Wall Street, sebuah filem memoir Jordan Belfort, seorang broker saham yang dipenjara 22 bulan atas kesalahan pengubahan wang haram berkait manipulasi pasaran saham.
Bercakap kepada wartawan The Hollywood Reporter, Ahli Parlimen Damansara (sebelum itu Petaling Jaya Utara), Tony Pua memerihalkan penghasilan filem tersebut sebagai mentertawakan rakyat Malaysia, kerana secara terbuka dan terang-terangan seperti menceritakan kisah Jho Low sendiri yang menipu dan memanipulasi orang ramai untuk memperolehi banyak wang.
Mewahnya penghasilan filem arahan Martin Scorsese ini juga seperti tidak disangka di Caprio yang merupakan penerbit sekaligus pelakon utamanya. Bagi seorang selebriti Hollywood bertaraf A-List sepertinya yang bergelar pelakon lelaki termahal 2011 oleh majalah perniagaan terkemuka Amerika, Forbes, dengan nilai pendapatan USD77 juta, kenyataan tersebut kedengaran agak 'merendah diri' dan sederhana, seperti mengakui besarnya perbezaan kekayaannya dengan tokoh di belakang Red Granite Pictures, iaitu Jho Low.
"Amat sukar untuk mendapat penajaan untuk filem seperti ini. Tidak banyak studio sanggup bergolok bergadai untuk menghasilkan sebuah epik Amerika dengan tajuk 'Wall Street' apatah lagi menumpukan kepada budaya hedonisme, aktiviti tidak bermoral, dan pemborosan."
"Untuk itu, saya berterima kasih kepada Red Granite yang sanggup mengambil risiko membikin epik Amerika yang matang tentang budaya kita," kata di Caprio seperti disiar dalam dokumentari tersebut.
Namun sehingga kes ini disebut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 2016, Jho Low - Najib Razak masih berleluasa malah berkira-kira memenangi PRU-14 bermodalkan habuan materialistik yang ditabur di seluruh negara lewat cawangan-cawangan partinya, Umno-BN.
Mundar laju (fast forward) dari tarikh penubuhannya pada 2009, tahun Najib menjadi PM, ke tahun 2018, dengan kuasa rakyat membuat perubahan dalam PRU-14, skandal kewangan terbesar ini akhirnya dibawa ke mahkamah untuk diadili.
Jho Low masih belum kembali, tapi seperti pengakhiran dalam The Wolf of Wall Street, watak utama filem itu akhirnya dihantar untuk berada di balik tirai besi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment