Wednesday, October 02, 2019

Parlimen Belia platform anak muda salur idea dan idealisme



Anak muda merupakan aset negara paling berharga. Banyak kata-kata hikmah juga ucapan tokoh terkemuka dunia mengungkapkan hal ini, dari Imam al-Ghazali ke Sukarno, dari Confucius ke Mahatma Gandhi, sehinggalah dari Skid Row ke WS Rendra.

“Beri aku sepuluh orang pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia," ungkap Sukarno lebih lima puluh tahun lalu, jadi ucapan monumental yang diingati sehingga sekarang dari sosok politikus-negarawan Indonesia itu yang merupakan presiden republik itu yang pertama.

Menyusuri sepanjang sejarah peradaban bangsa seluruh dunia, anak muda adalah watak utamanya - dengan keperibadian berani, pantang menyerah, beridealisme tinggi, dan cita-cita menggapai langit. Kata Rendra dalam Sajak Anak Muda, "Kita adalah angkatan yang berbahaya."

Di negara ini, detik-detik perubahan digerakkan anak muda. Tanyalah penggerak gerakan Reformasi 1998 dulu, siapakah yang melimpahi jalan-jalan raya sekitar Kuala Lumpur dengan demonstrasi-demonstrasi saban minggu? Juga menjulang sepanduk dan penumbuk ke udara menjeritkan "undur kezaliman" di depan FRU?

Menteri umur 25 tahun

Di sebalik idealisme yang marak menyala, modal besar anak muda adalah kecerdasan intelektualnya mewakili zaman yang dihuni. Kefasihan kepada perkembangan semasa termasuk teknologi terkini jadi kelebihan kepada golongan ini menguasai keadaan berbanding golongan lebih berusia.

Perubahan kerajaan buat kali pertama sejak enam puluh tahun lalu lewat PRU-14 pada 9 Mei 2018 turut ditandai kebangkitan anak muda yang serik dengan kesombongan pemerintahan terdahulu. Semaklah kotak-kotak undi orang muda bagi membuktikan kenyataan ini. Di sana masih ada semangat mereka yang menyala di balik tanda pangkah di kertas undi.

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang terbina sebahagian besar peratusannya dari semangat anak muda ini cukup sedar potensi dan tenaga yang ada di dada mereka. Tenaga ini perlu dimanfaatkan sebaiknya, bukan dikekang seperti lazim dilakukan pemerintahan diktator seluruh dunia.

Maka sekian banyaklah usaha jua inisiatif dilaksana kerajaan baru ini. Yang pertama, dan paling signifikan adalah pelantikan anak muda lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (yang dikatakan menolak tawaran melanjutkan pengajian tinggi ke Universiti Oxford), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada usia 25 tahun ke jawatan menteri penuh, Menteri Belia dan Sukan.

Dan seterusnya, kerja-kerja mengangkat martabat anak muda dilaksanakan sendiri menteri muda ini, antaranya menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, menetapkan had umur belia, dan terbaru; meningkatkan elaun latihan praktikal di jabatan kerajaan daripada RM300 kepada RM900 sebulan.

Seharusnya tidak terhenti di situ, anak muda diberi peluang menganggotai program Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) - satu program direncana dengan tujuan melatih dan melahirkan barisan pelapis kepimpinan dari golongan anak muda berkaliber dan berwibawa sejajar keperluan semasa negara.

Berlangsung di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini, seramai 133 orang ahli parlimen belia bersidang selama dua hari dari 25 hingga 26 September lalu. Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu walau bagaimanapun bukanlah kali pertama diadakan kerana ia telah berlangsung sejak 2015 lagi.

Contohi UK

Bagaimana mereka dipilih? Bagi sesi 2019-2021, KBS mengadakan sesi pemilihan dari 16 hingga 26 Ogos lalu dengan menerima seramai 12,941 orang pengundi berdaftar melalui laman portal Parlimen Belia Malaysia (PBM) bagi memilih calon-calon untuk mewakili negeri masing-masing.

Merupakan platform terbaik menggilap bakat-bakat kepimpinan bagi mencari pelapis baru untuk memimpin dan mentadbir negara pada masa depan, PBM turut menjadi saluran rasmi belia mengetengahkan isu-isu berkaitan belia di negara ini untuk diangkat dan dikemukakan ke peringkat pengurusan tertinggi kerajaan.

Bercakap dalam Majlis Penyerahan Watikah APBM Tahun 2019-2021 pada 19 September lalu, Syed Saddiq berkata APBM kali ini datang dari pelbagai bangsa, agama, negeri dan ideologi politik berbeza serta melambangkan identiti Malaysia yang sebenar.

"Kekuatan anak muda adalah kebersamaan. Selagi anak muda bersatu, saya yakin walau apa pun cabaran di hadapan, kita boleh melepasinya," katanya.

Hadir sama pada majlis itu adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' Mohamad Ariff Md Yusof, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla R.R.V Suppiah serta Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Syed Saddiq turut menekankan pelaksanaan PBM mengambil contoh Parlimen Belia UK dan Australia sebagai model sesi 2019-2021.

"Di UK, Ahli Parlimen Belia mereka memberi cadangan untuk diketengahkan sampai ke tahap didebatkan di peringkat tertinggi negara."

"Bukan sahaja kritikan, tapi yang penting ialah jalan penyelesaian yang unik. Banyak cadangan segar yang tidak pernah difikirkan dibawa, menunjukkan anak muda betul-betul berkebolehan, berwawasan dan suara mereka harus diiktiraf," katanya.

Setaraf Dewan Rakyat

Syed Saddiq melihat perdebatan anak muda dalam sesi itu setaraf kualiti dipamerkan ahli Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara selain memuji kematangan mereka menyampaikan hujah tanpa melanggar peraturan mesyuarat.

Ditanya tentang hala tuju APBM selepas tamat sidang, Syed Saddiq menjelaskan mereka generasi pelapis dan bakal menggantikan ahli parlimen sedia ada, sama ada di Dewan Rakyat atau senator di Dewan Negara.

Persidangan ini menyaksikan empat usul dibahaskan - kesihatan mental, pembangunan pendidikan TVET, sosioekonomi anak muda dan pengurusan sisa pepejal.

PBM dianggotai Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Kesihatan; Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan; Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik; Jawatankuasa Prasarana, Pembangunan dan Alam Sekitar serta Jawatankuasa Teknologi dan Inovasi.

Pewujudan PBM menyerupai Parlimen Belia di 33 negara di kebanyakan negara maju dan membangun seperti Australia, United Kingdom, New Zealand, dan beberapa negara Eropah lain.

No comments: