Wednesday, October 02, 2019

Kekalkan HARAPAN di Johor cabaran baru Syed Ibrahim


Syed Ibrahim Syed Noh dilantik sebagai Pengerusi MPN Johor selepas kerusi tersebut dikosongkan penyandangnya, Hassan Karim sejak Julai lalu. Nama beliau mula meniti di bibir para penggerak Reformasi sejak mengetuai badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Mansuhkan ISA, GMI sejak 2008. Menyertai politik dan KEADILAN pada 2013, beliau diamanahkan sebagai Ketua Penerangan berbekal pengalaman luasnya dalam NGO. Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah percubaan pertama beliau bertanding dan berhasil memenangi kerusi Parlimen Ledang. Ikuti wawancara sub editor Suara Keadilan Haizir Othman dan wartawan Ainor Maziyyah Rahim bersama-sama jurufoto Yuisriah Yusof dengan beliau di pejabat Suara Keadilan baru-baru ini.


SK: Tahniah atas pelantikan sebagai Pengerusi MPN Johor. Apa perancangan awal saudara sebaik dilantik?

Syed: Sekarang ini tumpuan kita adalah memenangi PRK Tanjung Piai kerana secara kebetulan saya dilantik dalam suasana pilihan raya di mana baru sahaja diumumkan tarikh penamaan calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR (pada 2 November nanti). 

Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor dijangka akan bermesyuarat pada Jumaat ini, Insya-Allah. Selepas itu kita akan ada kenyataan dan sebagainya. Tapi bagi saya, ia akan jadi agak mudah kerana kerusi tersebut adalah kerusi campuran. Strategi kita akan mengambil kira lanskap politik di Tanjung Piai, isu-isu tempatan, nasional, negeri dan lain-lain. Seterusnya yang paling penting adalah jentera pilihan raya. Kita akan bekerjasama dengan parti-parti dalam HARAPAN untuk mengekalkan kerusi kita di sana.

Parti-parti dalam HARAPAN masing-masing ada kekuatan tersendiri yang perlu kita garap. Ada banyak ruang untuk kita bekerjasama dengan lebih rapat dan terselaras antara parti-parti untuk mengukuhkan HARAPAN di Johor. Memandangkan saya baru dilantik (ke jawatan Pengerusi MPN Johor), mesyuarat Jumaat ini saya akan hadir bagi memberi pandangan-pandangan selain mendengar dari mereka yang sudah lebih awal berada dalam jawatankuasa HARAPAN Johor.


SK: Komen jika BN meletak Khaled Nordin (bekas MB Johor) di sana?

Syed: Ia akan jadi perkembangan menarik kerana jika ia berlaku, mereka akan menyisihkan MCA yang secara tradisinya bertanding di kerusi tersebut. Kita perlu lihat dengan lebih mendalam sama ada ia akan jadi sama ada kelebihan atau kekurangan bagi mereka dengan langkah tersebut.


SK: Adakah keputusan PRK Tanjung Piai nanti akan mencerminkan PRU15?

Syed: Sejujurnya saya rasa tidak, kerana politik Malaysia sangat dinamik, boleh dikatakan setiap bulan boleh berubah. Jadi, keputusan itu nanti tidak menentukan apa yang akan berlaku kemudian. Cuma, ia boleh membentuk corak lanskap politik pada masa akan datang.


Latar belakang NGO, GLC

SK: Pengalaman saudara dalam NGO sebelum terjun ke bidang politik?

Syed: Saya tidak bermula betul-betul dengan parti politik, sebaliknya dengan NGO Jemaah Islah Malaysia (JIM), yang kemudian dibubarkan menjadi IKRAM (Pertubuhan IKRAM Malaysia). Saya juga bergiat lama dalam Badan Pemantau Pilihan Raya (Malaysians for Free and Fair Elections, Mafrel) yang tidak ramai orang ceburi. Saya bergiat sewaktu Pak Malek (aktivis sosial, Malek Hussin) masih lagi menjadi Pengerusinya. 

Saya terlibat menentang dan mendesak agar kerajaan terdahulu membubarkan ISA, selama beberapa tahun. Lama juga. Saya amat terkesan apabila sahabat saya Saari Sungib (kini Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang) ditahan ISA. Saya terfikir mengapa orang baik seperti beliau boleh ditahan ISA. Mesti ada sesuatu yang tidak kena. 


SK: Peranan NGO adalah sebagai kuasa ketiga, bawa suara masyarakat madani (civil society). Apabila masuk politik, adakah peranan saudara berubah?

Syed: Apabila saya menyertai politik daripada NGO, saya lihat tiada berlaku pertembungan antara kedua-duanya. Sebaliknya, prinsip yang saya pegang sejak menyertai NGO sehingga saya menjadi ahli politik tetap saya pegang. Malah, sehingga saya bergelar ahli parlimen, prinsipnya sama, tidak berubah.

Disebabkan penglibatan saya dalam NGO juga, proses peralihan ke parti politik itu tidak begitu sukar. Ini kerana sejak dalam IKRAM sebagai Pengerusi, saya banyak terlibat dalam program-program ceramah, demonstrasi dan sebagainya. Dari situ saya belajar dari ahli politik cara berceramah, berinteraksi dan sebagainya.


SK: Peralihan dari GLC ke parti politik?

Syed: Saya telah berkhidmat dalam Telekom Malaysia selama lebih 25 tahun. Dari jawatan Penolong Pengurus kepada Penolong Pengurus Besar, saya anggap saya telah memberikan sumbangan yang agak besar kepada syarikat.

Ada orang bertanya, bagaimana saya boleh bekerja dengan kerajaan, iaitu syarikat berkaitan kerajaan (Government Linked Company, GLC) tetapi bergerak bersama-sama NGO yang menentang kerajaan pada masa itu?

Jawapan saya, kita harus bersikap profesional dengan tahu membezakan waktu bekerja dengan waktu peribadi. Pada waktu bekerja, saya tidak mencampur-adukkan urusan kerja pejabat dengan kerja-kerja NGO saya. Tapi di luar waktu bekerja, saya bebas untuk aktif dalam kerja-kerja kesukarelaan lewat NGO dan sebagainya. 


SK: Perancangan tawan Ledang?

Syed: Pada tahun 2013, saya menyertai KEADILAN dan sebaik sahaja diterima menjadi ahli, dilantik menjadi Ketua Penerangan. Sejak 2013 lagi sebenarnya sudah ada pujukan untuk saya bertanding di parlimen Ledang bagi Pilihan Raya Umum Ke-13, namun tawaran tersebut dibuat pada saat-saat akhir.

Jika saya tetap bertanding pada masa itu, saya akan dianggap sebagai 'calon terbang'. Saya tidak mahu nanti orang pertikaikan. Jadi selama beberapa tahun saya tetapkan dalam fikiran saya untuk terus bekerja sahaja di kawasan tersebut.

Pada 2018, apabila ditawarkan bertanding kerusi Ledang, saya sudah bersedia kerana sudah mula turun padang membantu masyarakat sejak 2015 lagi. 


SK: Bagaimana tawan Johor, kubu kuat Umno?

Syed: Memang selama ini Johor dianggap negeri kubu kuat Umno, tapi sebenarnya dalam PRU-13 lalu terdapat banyak kerusi-kerusi marjinal yang majoritinya kecil, sekitar 1,000 hingga 2,000 undi sahaja.

Daripada data yang kita ada, kita percaya kerusi-kerusi marjinal ini boleh kita menangi. Tambahan pula kerja-kerja telah kita buat sejak dari awal lagi, sejak 2015. Maknanya kita bekerja selama dua tahun lebih sebelum bermula PRU-14.

Kita juga memang sentiasa meniupkan 'wirid' kepada ahli seluruh negara bahawa kita akan sapu bersih negeri-negeri semenanjung dari Utara, Tengah sehingga ke Selatan. 


SK: Peranan sebenar ahli parlimen adalah membuat dasar. Bagaimana seimbangkan tugas ini dengan tuntutan untuk 'turun padang' dan penuhi tanggapan pengundi?

Syed: Ya, peranan sebenar ahli parlimen memang buat dasar sahaja. Kerja-kerja seperti periksa longkang tersumbat, jalan berlubang dan sebagainya adalah di bawah tanggung jawab agensi kerajaan yang berkenaan seperti Majlis Daerah, Majlis Perbandaran selain peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis.

Jika kita asyik laksana kerja yang ADUN boleh laksanakan, bagaimana nak tumpu kepada perancangan dasar dan polisi untuk rakyat? Saya sering bertanya juga kepada YB Wong Chen (Ahli Parlimen Subang), beliau boleh dianggap teknokrat. Kata beliau - sebagai ahli parlimen, kita cuma buat dasar, sediakan peruntukan, dan pantau.

Inilah yang sering saya sampaikan kepada pengundi Ledang dalam program-program, akan peranan sebenar ahli parlimen. Penting bagi masyarakat dan ADUN untuk memahami peranan dan tanggungjawab sebenar ahli parlimen iaitu membuat dasar dan polisi untuk rakyat.  

Namun, saya lihat ada kepentingannya bagi Ahli Parlimen untuk turun padang selain jadi teknokrat tulen. Ini kerana dengan melihat sendiri kawasan, lorong-lorong dan lain-lain, Ahli Parlimen akan mempunyai input sendiri yang berguna apabila mahu merencana dasar kelak. Di sini yang perlu kita seimbangkan.


SK: Isu di Ledang?

Syed: Baru-baru ini saya bantu selesaikan isu ketiadaan bekalan air terawat di sebuah sekolah. Selama ini sumber bekalan air mereka diambil dari Gunung Ledang, tidak terawat. Di bawah kerajaan lama, mereka ada menyediakan jentera penapis air bernilai lebih jutaan ringgit. Namun sudah berbulan-bulan tidak berfungsi. Mungkin ada kebocoran dana sebab dana besar. 

Kami tulis surat kepada pelbagai pihak termasuk kementerian, Syarikat Air Johor dan sebagainya. Akhirnya, syarikat air buat projek itu sebagai salah satu projek tanggung jawab sosial (CSR). Jadi tiada isu kewangan dan sebagainya. 

Isu mencabar di Ledang ialah ekonomi dan peluang pekerjaan. Ibarat sudah satu 'trend' anak muda untuk keluar dari Ledang dan bekerja di Singapura, KL dan Melaka. Mereka tidak mahu bekerja di ladang sedangkan Ledang mempunyai kawasan perladangan yang sangat besar dan berpotensi. 

Di Ledang ini saya lihat kawasannya menyerupai seperti tanah rancangan, seperti Felda dan sebagainya. Ini kerana di belakang rumah penduduk ada kawasan lapang bagi tujuan bercucuk tanam.


Potensi Ledang

Inilah yang saya lihat sumber ekonomi utama yang cukup berpotensi di Ledang; pertanian dan perladangan. Baru-baru ini saya bertemu dengan Pengerusi Ladang Malaysia yang mempunyai 600 ekar ladang di Ledang dalam kawasan Kampung Solok dan Sengkang. Seharusnya hasil pertanian dimanfaatkan menerusi kaedah moden dan sebagainya.

Namun, cabarannya anak-anak muda tidak mahu ke ladang sebaliknya keluar ke Singapura, Kuala Lumpur dan Melaka. Bagi memastikan anak muda tidak keluar, saya nampak TVET (Technical and Vocational Education and Training) sebagai satu jalannya. Anak muda perlu dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran teknikal bagi membolehkan mereka bersaing dalam pasaran kerja.

Tapi di sini masalah utama TVET ialah isu pegangan, di mana ia dikongsi bersama oleh lapan kementerian berbeza tanpa ada satu pihak yang benar-benar memegangnya di peringkat pengurusan. Dulu ada YB Nurul Izzah, tapi beliau telah letak jawatan. 

Di Taiwan, bidang kemahiran ini diletakkan di bawah hanya satu entiti. Hasilnya, semua pelajar lepasan institut kemahiran itu, boleh dikatakan 99 peratus dapat pekerjaan. Untuk memanfaatkan bidang TVET ini, kita perlu ada satu polisi besar yang akan memandu perjalanannya dan diikuti semua.


Lantik ejen perubahan

'Perang media' lewat media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan lain-lain amat sengit pada masa ini. Demi memberi maklumat sebenar kepada pengundi dan menangkis serangan fitnah pihak lawan, Syed Ibrahim mengambil langkah pro-aktif mewujudkan kumpulan-kumpulan WhatsApp di parlimennya.

Dianggotai masyarakat dari pelbagai lapisan sosial termasuk polis, doktor, jururawat dan lain-lain, kumpulan tersebut dibina bagi menyalurkan maklumat berkaitan kawasan tanpa sebarang elemen propaganda politik kepartian.

"Kita harus menggunakan kekuatan yang ada semasa kita tumbangkan Umno-BN dahulu."

"Kita gunakan semula kekuatan itu iaitu menerusi media sosial. Lawan semula persepsi," katanya yang turut mengakui kepentingan media konvensional seperti Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai medium penerangan utama kerajaan.

Namun jelasnya, apa yang lebih penting ialah penyampaian perkhidmatan di peringkat agensi kerajaan yang menurutnya pada masa ini, masih perlu dipertingkatkan. 

Lewat kumpulan-kumpulan WhatsApp komuniti kecil di Ledang, para 'ejen perubahan' berperanan menyampaikan maklumat termasuk aktiviti melibatkan ahli parlimen, selain menjawab tohmahan pihak lawan.

"Apa yang dilemparkan kepada saya, saya memang tidak jawab. Misalnya, longkang yang dibuat bagi mengatasi masalah banjir di Ledang. Orang Umno kata, Ini semua usaha YB sebelum ini."

"Tapi, tanpa saya jawab pun, ada orang lain dengan sukarela menjawab dengan menyatakan itu memang tanggungjawab ahli parlimen. Dan ada pula orang lain menyebut saya memang ada turun padang dan sebagainya," kata Syed.


Bawa suara kemanusiaan

Kesibukan di kawasan dan tugas sebagai Anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN tidak melunturkan aktivisme Syed Ibrahim terhadap kerja-kerja kesukarelaan lewat pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Buktinya, beliau kini terlibat dengan ahli-ahli parlimen seluruh dunia yang punya keprihatinan terhadap isu Palestin, di mana beliau dilantik menganggotai majlis eksekutif jawatankuasa tersebut yang berpusat di Istanbul, Turki.

"Mereka merancang buat satu konferens besar-besaran di Malaysia tahun depan bersempena dengan mengingati peristiwa Nakba."

"Saudara Osama (Hamdan) dari Hamas ada di sini untuk membincangkan perkara tersebut," katanya yang turut memetik perkembangan isu di Timur Tengah lewat peristiwa serangan ke atas loji minyak Arab Saudi 14 September lalu.

Jelasnya yang sebelum ini aktif dengan gerakan NGO Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebelum bertukar nama kepada Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), isu antarabangsa kini agak menarik untuk diperhatikan kerana kesannya bukan sahaja kepada rantau Timur Tengah.

"Impak (kesan) di Timur Tengah akan (melimpah) ke selatan - rantau Asia, (malah sehingga ke) negara kita. Maka, ia perlu kita perhatikan," katanya.

Untuk rekod, peristiwa Nakba merujuk kepada penghijrahan keluar besar-besaran rakyat Palestin akibat perang dengan Israel yang mengisytiharkan pembentukan negara mereka pada Mei 1948.


*Disiar di Suara Keadilan 427

No comments: