Tanaman kontan atas tanah sawah:
Oleh RIDZUAN ANWAR
Baru-baru ini Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penanaman tanaman kontan sebagai usaha meningkatkan hasil pendapatan pesawah padi. Menurutnya, ia antara langkah menangani isu kemiskinan pesawah yang selama ini hanya bergantung kepada subsidi kerajaan.
Melalui kaedah ini, pesawah memperuntukkan sebahagian daripada tanah sawah mereka untuk aktiviti tanaman kontan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menjana pendapatan.
"Selama yang kita tahu, penanam padi adalah golongan miskin dan bergantung kepada subsidi kerajaan. Kita kenal pasti beberapa perkara yang menyebabkan mereka terus berada dalam garis kemiskinan."
"Pertama, mereka mempunyai holding (kawasan tanah sawah) terlalu kecil untuk memberi perolehan pulangan baik dan kedua, mereka tidak cekap. Di atas tanah satu ekar (0.4 hektar) boleh keluar (hasil) lapan tan, tapi mereka keluar cuma empat tan," katanya pada sidang media di Putrajaya minggu lalu.
Katanya, kerajaan mahu pesawah menghasilkan pengeluaran lebih banyak bagi setiap hektar, pada masa sama menangani masalah kemiskinan.
Ramai pesawah tak mampu
Mengakui kebaikan cadangan tersebut, Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue), Fitri Amir walau bagaimanapun melihat ia hanya boleh dilaksanakan jika kerajaan menyediakan insentif atau dana kepada pesawah.
Fitri berkata, kebanyakan pesawah tidak mampu melaksanakan cadangan itu kerana ia memerlukan kos besar selain mengharap kerajaan memberi kemudahan pinjaman modal untuk sewaan tanah.
"Kami (pesawah), sudah ada yang melakukannya terutama mereka yang memiliki tanah yang luas."
"Mereka yang berkemampuan boleh tanam tanaman sampingan seperti ubi keledek di tanah sawah dengan modal sendiri tanpa ditaja mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Selain itu, jelasnya, kebimbangan yang wujud adalah jika pesawah hilang tumpuan terhadap tanaman utamanya dengan penanaman tanaman kontan, sekaligus bakal mengurangkan pengeluaran hasil padi, menyebabkan berlaku situasi 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.
Oleh itu, beliau menyarankan kerajaan memberi tumpuan kepada tanaman padi sahaja supaya pengeluarannya mampu mencapai 8 tan per hektar seperti yang dinyatakan perdana menteri sendiri.
Namun demikian, melihat kepada penerimaan positif pesawah terhadap idea ini, Fitri berharap kerajaan menyediakan kelas bimbingan kepada pesawah supaya mereka mampu menguruskan usaha tersebut dengan baik.
Beliau memberi contoh usaha dilakukan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam memberi tunjuk ajar kepada penoreh getah untuk melaksanakan tanaman cendawan di kebun getah mereka sebagai pendapatan tambahan.
Punya kebimbangan serupa, Exco Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Selangor, Ir Izham Hashim berkata sistem sawah padi yang rumit menyukarkan usaha menanam tanaman kontan di atas tanah yang sama.
Bimbang saiz sawah mengecil
Jelasnya kepada Suara Keadilan, sistem petak sawah akan menyebabkan air bertakung apabila hujan, oleh itu penanaman tanaman kontan bakal menelan kos tinggi kerana ia menggunakan kaedah penanaman yang berbeza.
"Kebimbangan saya ialah kita akan semakin mengurangkan keluasan kawasan sawah padi."
"Sebenarnya kalau ikut SOP kaedah tanaman yang betul, padi boleh menghasilkan pendapatan lumayan," jelas beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah ini berpandangan rakyat di negara ini khususnya golongan pesawah masih belum bersedia untuk bertukar-tukar tanaman dari padi ke kontan dan sebaliknya.
Malah, golongan petani yang kebanyakannya warga tua bakal memberikan cabaran kepada kerajaan dalam usaha meyakinkan mereka bahawa tanaman kontan ini mampu memberi pulangan yang lumayan.
Mengulas lanjut, Izham menegaskan kaedah dan pengurusan tanaman padi yang betul perlu dikaji pesawah untuk mengelakkan hasil merosot.
Antaranya, beliau mencadangkan skim rawatan tanah dan benih yang baik diperkenalkan kepada pesawah untuk meningkatkan kembali hasil pendapatan mereka seperti yang dilaksanakan di Sabak Bernam.
Jelas Izham, skim rawatan tanah itu melibatkan tanah seluas 60 hektar daripada 19 ribu hektar keseluruhan keluasan sawah di Barat Laut yang menjadikan kawasan Sabak Bernam dipilih sebagai kawasan percubaan untuk proses ini.
Tanah tak dirawat
Izham tidak menolak kemungkinan kemerosotan hasil pendapatan adalah disebabkan tanah tidak dirawat dengan baik kerana pesawah tidak mahu mengeluarkan kos penyelenggaraan.
Sementara itu, Exco Kemudahan Awam, Infrastuktur, Pertanian dan Perladangan, Perak, Abdul Yunus Jamhari menyokong usaha kerajaan dalam mempergiatkan aktiviti tanaman kontan sebagai langkah menjana hasil pendapatan di kalangan petani.
Yunus berkata, langkah ini membantu pesawah mendapatkan pendapatan sampingan, dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti satu tanaman sahaja.
"Di Perak sendiri memang sudah ada yang amalkan penanaman tanaman kontan seperti tembikai, timun, cili, tomato sebagainya. Cuma kalau nak galakkan mereka, (kita) perlu melibatkan pelbagai agensi kerajaan."
"Sebagai contoh, FAMA akan bantu memasarkan tanaman yang diusahakan itu supaya (dapat) menjana sumber mereka," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu mengkaji dan mengenal pasti kawasan dan tanah-tanah kerajaan kosong serta terbiar untuk ditawarkan kepada pesawah yang berminat untuk aktiviti itu.
Mengulas lanjut, beliau tidak melihat pesawah menghadapi masalah mengusahakan tanaman kontan sekiranya kerjasama dengan agensi terlibat dapat digembeling seterusnya membolehkan pesawah memperoleh pulangan setimpal.
Yunus berkata, kerajaan negeri akan melihat prospek tanaman yang sesuai diusahakan di negeri tersebut.





No comments:
Post a Comment