Oleh HAIZIR OTHMAN
Pendedahan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador bulan lalu tentang wujudnya percubaan serangan dan membunuh individu berprofil tinggi dari empat lelaki yang dikaitkan dengan kumpulan militan Daesh seharusnya ditanggapi penuh waspada.
Malah, sebelum ini media melaporkan beberapa percubaan serangan keganasan pada upacara tertentu berjaya dipatahkan pihak berkuasa, antaranya majlis penutup Sukan SEA KL 2017 dan sambutan kemerdekaan negara.
Pengarah Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sejak 2013 pihak polis telah mematahkan 24 percubaan elemen Daesh untuk melancarkan serangan di negara ini.
Mac lalu, polis mendedahkan rancangan militan asing menggunakan negara ini sebagai pusat transit dan lojistik susulan kejatuhan Daesh di Syria dan Iraq. Rencana mereka termasuklah mengahwini gadis tempatan demi visa bagi membolehkan tinggal di sini, menggunakan alasan belajar, atau terlibat dengan perniagaan.
Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Kanada, Dennis Ignatius menulis, berdasarkan laporan polis, terdapat lebih 500 suspek pengganas ditahan sejak 2013. Dalam tulisannya bertajuk "The radicalization of Malaysia: A reply to MAPIM", beliau menyatakan negara ini semakin menjadi destinasi pilihan pengganas asing.
Masyarakat radikal
Menurutnya yang menggariskan kronologi insiden melibatkan percubaan aktiviti pengganas di Malaysia sejak tahun lalu, negara berdepan masalah serius berkait isu terorisme walaupun polis cukup berjaga-jaga dalam memantau dan membanteras kegiatan mereka.
"Laporan-laporan lalu membayangkan wujud perkaitan antara pengganas luar dengan orang tempatan. Mengapa anak muda negara Islam beraliran sederhana seperti Malaysia terpengaruh menyertai organisasi pengganas seperti IS (Daesh)? Bukankah ini simptom kepada masyarakat yang semakin radikal?" soalnya.
Berkongsi kebimbangan serupa, Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Angkatan Muda Keadilan, Ustaz Wan Ji Wan Hussin tidak menafikan pemikiran sebegini sememangnya wujud di Malaysia.
"Walaupun yang mendukung pemikiran ini tidak secara langsung membawa agenda terorisme, tapi tersebarnya pemikiran sebegini sedikit-sebanyak mempengaruhi sebilangan Muslim negara ini terlibat dengan terorisme. Jika lebih berani, mereka akan ke Syria, Iraq dan Filipina, menggabungkan diri dengan gerakan terorisme dunia seperti ISIS dan sebagainya," katanya.
![]() |
| Wan Ji Wan Hussin |
Jelas pendakwah yang sedang menyiapkan kajian doktor falsafah itu, laporan Indonesia and Malaysia Support For Islamic State oleh USAID from The American People, halaman 9 (2016) mendedahkan dalam sejuta Muslim Indonesia, 1.4 orang terlibat dengan ISIS; manakala dalam sejuta Muslim Malaysia, 8.5 orang terlibat.
Melahirkan kebimbangannya dengan perkembangan terkini lewat kempen mengangkat sentimen perkauman yang cuba 'diIslamkan', beliau berharap kerajaan menjadikan agenda menolak terorisme dan perkauman sebagai keutamaan sebelum ia merebak lebih besar.
Jelasnya, dari banyak wawancara untuk kajian beliau, didapati punca pemikiran terorisme bermula dengan hasrat menubuhkan negara Islam lewat tafsiran jumud, contohnya melalui konsep al-Barra' yang menganggap membenci orang bukan Islam adalah tuntutan akidah.
Selain itu, tambahnya, mereka beranggapan Negara Islam adalah negara yang melaksanakan hukum hudud dan qisas, manakala yang tidak melaksanakannya adalah negara kafir, wajib diperangi walaupun pemerintah dan majoriti rakyatnya Muslim.
"Implikasi terhadap dua konsep ini menyebabkan mereka mengamalkan takfiri (saling mengkafirkan) sesama Muslim yang tidak sepemikiran dengan mereka, mudah menuduh non-Muslim sebagai kafir harbi, anti-Islam dan musuh Islam," jelasnya kepada Suara Keadilan.
Tidak menolak kemungkinan berkembangnya pemikiran radikal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Kandis, Ustaz Zawawi Mughni berkata, di Selangor, kerajaan negeri membuat pemantauan di institusi agama seperti masjid, surau dan sekolah agama.
Menurut beliau, penerangan diberikan kepada para nazir masjid dan surau agar mereka tahu apa perlu dilakukan di kariah masing-masing bagi membendung pemikiran radikal daripada berkembang di kalangan masyarakat.
"Kita tengok tauliah (tenaga pengajar di masjid dan surau), adakah mempunyai sejarah pemikiran dengan kelompok radikal dan ekstrem ini. Kalau ada, kita ambil tindakan," katanya kepada Suara Keadilan.
Negara Islam semua kafir
Selain penguatkuasaan, jelas pengetua maahad tahfiz itu, Selangor aktif mempromosi pengamalan Islam moderat yang berbeza daripada tempat lain seperti Pantai Timur atau utara Semenanjung, sesuai dengan resam rakyat negeri ini yang lebih terbuka.
Lebih daripada itu, beliau menyarankan pendekatan dialog selari dengan firman Allah dalam al-Quran, surah an-Nahl ayat 125 yang berbunyi; "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik."
Menyorot sejarah pemikiran radikal, Zawawi berkata ia bermula sejak zaman pemerintahan Khulafa' Rasyidin apabila khalifah Islam keempat, Saidina Ali bin Abi Thalib dibunuh Abdur Rahman bin Muljam yang kononnya mahu membela kematian khalifah sebelumnya, Saidina Uthman bin 'Affan.
![]() |
| Adun Sungai Kandis, Zawawi Mughni |
Jelasnya, sejak itu lahir golongan Khawarij yang berkembang menjadi ideologi beraliran keras dan diterima sebahagian masyarakat ketika itu yang cenderung perjuangan ditegakkan secara kekerasan.
"Di Malaysia, yang terpengaruh dengan aliran keras sama ada dalam politik, agama, atau mazhab adalah kerana mereka berfikiran tertutup, tidak bersedia menerima pandangan lain," katanya yang memetik pertubuhan Hizbut Tahrir (HT) sebagai contoh.
HT jelasnya, menolak amalan demokrasi dengan mendakwanya sebagai sesat. Di Selangor, katanya, ia diisytiharkan Majlis Fatwa Selangor sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran ahlus sunnah wal jamaah.
Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abd Wahid mengungkapkan HT mendakwa pemerintah, ahli parlimen dan ulama Islam adalah kafir, harus diperangi kerana menerima sistem kufur, bahkan negara Islam juga semuanya kafir kerana berhukum dengan sistem itu selain haram menyertai sistem kerajaan sekarang, lapor media.
Kebangkitan idea sebegini, jelas Dennis, menjadikan Malaysia bukan lagi sebuah negara sederhana ('moderate') seperti yang dibangga-banggakan selama ini.
Apa yang lebih membimbangkan adalah; buat pertama kali, plot serangan direncana 'Daesh' adalah bermotifkan isu tempatan seperti didedahkan ketua polis bulan lalu. Dalam kes itu, ia bertujuan membalas dendam atas kematian pegawai bomba Muhammad Adib dalam kes kuil di Subang Jaya, November lalu.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ahmad El-Muhammady menyifatkan penglibatan pengganas asing dalam isu tempatan menunjukkan keupayaan Daesh mengeksploitasi isu tempatan untuk mengembangkan ideologi mereka.
"Ia satu permainan baru di Malaysia yang boleh merebak. IS (Daesh) boleh mengambil kesempatan daripada persepsi bahawa Islam berada dalam ancaman di Malaysia," katanya, memetik South China Morning Post.
Untuk rekod, persepsi "Islam dibuli" atau "Islam diancam" dipetik beberapa kali antaranya oleh mufti Perlis, Dr Mohamad Asri Zainal Abidin, dan presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya.
*Disiarkan di Suara Keadilan isu 419



No comments:
Post a Comment