Wednesday, June 12, 2019

Reformasi pendidikan SJK(T) Sungai Ara: 'Model Finland' di Malaysia



Oleh HAIZIR OTHMAN, NAZAR HASHIM

Berlakunya perubahan tampuk kepimpinan kerajaan apabila Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei tahun lalu, satu demi satu pembaharuan dilakukan pasukan baru eksekutif tertinggi negara.

Dari setiap inisiatif baru tersebut, antara yang sering diperhatikan adalah dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Menguruskan bilangan pemegang taruh yang besar dan penting - murid, guru, ibu bapa dan lain-lain, KPM berdepan jangkaan tinggi khalayak.

Meski diasak dari segenap sudut lewat cadangan-cadangan kontroversi, kasut hitam sebagai contoh, KPM sebenarnya punya wawasan besar melalui reformasi pendidikan yang sedang diusahakan - antaranya mengurangkan 'pemberat' orientasi peperiksaan seperti diamalkan sebelum ini.

Seperti dinyatakan menterinya, Dr Maszlee Malik, perubahan ini adalah bagi memastikan sistem pendidikan negara diangkat ke peringkat lebih tinggi serta menjadikan rakyat mampu berdaya saing setaraf dengan negara maju.

Sejak beberapa tahun lalu, Finland sering disebut sebagai negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia. Dan kenyataan ini tidak dilepaskan Dr Maszlee yang ingin menjadikan  negara di utara Eropah itu sebagai panduan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sini.


Tiada kerja sekolah

Antara langkah awal diumumkan termasuk tujuh perubahan bermula tahun ini, antaranya pemansuhan peperiksaan bagi murid tahun 1, 2 dan 3 serta tiada lagi pembahagian kelas mengikut murid bijak dan kurang bijak. 

Ia bertujuan mengurangkan tekanan murid untuk bersaing mendapatkan keputusan peperiksaan cemerlang semata-mata sebaliknya menjadikan mereka lebih produktif dan mempraktikkan apa yang dipelajari.

Di sebalik kekaguman kementerian kepada model pendidikan tersebut, siapa sangka rupa-rupanya di tanah air sendiri sudah ada sekolah yang mempraktikkan pendekatan persis model Finland. Lebih membanggakan, ia dilaksanakan di sekolah KPM sendiri.

Bulan lalu media melaporkan sebuah sekolah di Pulau Pinang, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sungai Ara yang berjaya mengamalkan pembelajaran secara terbuka dan menimbulkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Apa yang menarik ialah; sekolah itu tidak menetapkan kerja rumah untuk murid-murid sebaliknya mahu mereka menikmati persekitaran sekolah secara positif.

Suara Keadilan mengunjungi sekolah tersebut baru-baru ini bagi melihat sendiri sekolah yang telah mendapat pelbagai anugerah pendidikan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa itu.

Guru Besarnya, S Sangga ketika ditemui berkata, sejak mula menerajui sekolah tersebut pada tahun 2011, beliau memperkenalkan sistem pembelajaran dengan membenarkan murid menghabiskan masa sekolah mereka dengan cara yang tidak membosankan.

Untuk tujuan tersebut katanya, pihak sekolah menyediakan lebih 100 tempat menyimpan barang atau loker bagi kegunaan pelajar.

"Dengan adanya loker, pelajar digalakkan menghabiskan semua kerja di sekolah, tidak perlu membawanya pulang. Mereka menyimpan beg dan barangan dalam loker sehingga ada antara mereka yang tiada kerja sekolah lagi sebaik pulang ke rumah."

"Sistem ini terbukti berjaya dan menarik perhatian waris sehingga menggalakkan pelajar berada di sekolah lebih lama," ujarnya.


Najis buat baja

Selain itu kata Sangga, dalam kawasan sekolah juga disediakan permainan papan ular dan sebagainya bagi mewujudkan suasana pembelajaran menyeronokkan.

Tambahnya, kemudahan internet disediakan untuk digunakan semasa dan selepas waktu persekolahan bagi mengakses maklumat, bukan sahaja oleh pelajar, malah ibu bapa, tanpa sebarang bayaran.

Pelajar juga ujarnya, diajar mendekati haiwan seperti ayam dan burung yang diternak dalam kawasan berdekatan sekolah, selain pendedahan kepada tanaman seperti pisang, tebu, ubi kayu dan sebagainya yang turut ditanam dalam kawasan tersebut.

"Secara tidak langsung pelajar diajar bercucuk tanam dan mendapatkan hasilnya melalui jualan. Najis haiwan digunakan untuk membuat baja. Ini mendekatkan mereka dengan proses pembajaan dan produk ternakan yang mampu bawa pulangan jika diusahakan dengan betul," tegasnya.

Sekolah dengan kekuatan 13 tenaga pengajar itu turut menekankan kepentingan air bersih kepada pelajarnya lewat aktiviti gotong-royong membersihkan sungai bersebelahan sekolah dengan penglibatan masyarakat setempat sehingga menjadi aktiviti rutin.

Tambah guru itu, lewat kegiatan pelajar, mereka diberikan hadiah penghargaan dalam bentuk buku dan seumpamanya bagi merangsang semangat untuk terus rajin berusaha.

"Ia membuatkan mereka berasa dihargai. Kesan daripada kesungguhan tersebut kita telah berjaya memenangi beberapa anugerah sehingga ke peringkat antarabangsa."

"Apa yang dipraktikkan juga tidak bertentangan dengan dasar dan garis panduan Kementerian Pendidikan," katanya di hujung wawancara.


*Disiar di Suara Keadilan 419

No comments: