Pertanian sering dianggap pekerjaan yang hanya dilakukan di kampung, oleh orang tua, dan mereka yang memiliki kelayakan akademik rendah. Stigma tidak benar ini cuba dibetulkan Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin sejak mula dilantik ke jawatan tersebut selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. Menyifatkan pertanian sebagai bidang yang 'cool' dan mampu menjana pendapatan lumayan, Sim mengajak anak muda menceburi bidang yang telah berkembang dengan teknologi moden ini. Ikuti wawancara Ahli Parlimen Bayan Baru dan Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN ini dengan sub-editor Suara Keadilan, Haizir Othman bersama-sama jurufoto, Yuisriah Yusof di pejabat Suara Keadilan baru-baru ini.
SK: Pada 1970-an, pertanian sumbang hampir 30 peratus KDNK negara, tapi pada 2017 sumbang 8.2 peratus sahaja. Tidakkah kerajaan mahu mengangkat semula pertanian sebagai penyumbang utama KDNK?
Sim: Kerajaan masih meningkatkan pertanian untuk jadi penyumbang utama KDNK. Tapi kita perlu faham dalam konteks kemajuan sesebuah negara, seperti dulu di Korea, pertanian antara penyumbang utama, tapi apabila ada sektor industri, perkhidmatan dan sebagainya, pertanian semakin menurun dari segi sumbangan kepada KDNK. Hal ini turut berlaku kepada Jepun, Jerman, Taiwan dan Korea.
Walaupun setakat ini kita sumbang 8 peratus KDNK bersama-sama sektor kelapa sawit, namun nilainya besar - RM96 bilion pada 2017 berbanding KDNK negara berjumlah RM1 trilion. Maksudnya kita perlu tengok nilai, apabila meningkat setiap tahun, ertinya ia bagus.
Berbanding pada 2005, nilai tambah sektor pertanian adalah RM 45 bilion. Dalam tempoh sepuluh tahun, ia meningkat berlipat kali ganda.
SK: Apa kedudukan sektor pertanian dalam ranking keutamaan kerajaan sekarang?
Sim: Dalam fasa pembangunan pada 70-an, kita tumpu pertanian. Kemudian, sektor industri, dan perbankan internet. Walaupun zaman Pak Lah (perdana menteri kelima, Abdullah Badawi) ada sedikit minat kepada pertanian tapi ia tidak begitu aktif.
Sekarang, Tun Mahathir beri tumpuan kepada pertanian sebab ada potensi dengan teknologi moden yang dapat meningkatkan hasil selain menjimatkan kos dan tenaga. Ia akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan import makanan dan kadar pertukaran mata wang asing.
Baru-baru ini Tun umumkan Langkawi sebagai Pusat Penanaman Pulut dan Sayur-sayuran. Ini menunjukkan keseriusan beliau dalam pertanian yang dapat memanfaatkan penduduk setempat khususnya orang muda yang berminat menceburi bidang ini.
30 Mei lalu kita dapat berita baik bagi pengusaha durian, sudah boleh eksport durian biji (seluruh buah) ke China. Ini satu kejayaan, bukan sahaja meningkatkan ekonomi negara malah pendapatan petani.
SK: Peruntukan kepada Kementerian Pertanian dalam Belanjawan 2019 hanya RM 4.417 bilion, berbanding RM 6.5 bilion dalam Bajet 2018. Adakah kerajaan mengurangkan tumpuan kepada pertanian?
Sim: Ini tidak betul. Peruntukan kepada sektor pertanian sejajar dengan kekangan kewangan di mana ada ketirisan melibatkan hutang yang sangat serius di bawah pentadbiran Najib.
Ini menyebabkan Belanjawan 2019 ada kekangan, kerajaan terpaksa potong peruntukan bukan sahaja Kementerian Pertanian malah semua. Oleh itu, kita terpaksa potong beberapa perkara antaranya subsidi yang selama ini diberi kepada bukan nelayan. Mereka bukan nelayan, ada penipuan tapi dapat subsidi RM 300 setiap bulan. Kita bersihkan dengan buat pemutihan terhadap senarai penerima subsidi.
Contohnya pesawah padi yang dapat subsidi tapi tanah sudah dijual atau dibangunkan. Mereka bukan lagi petani, namun dalam rekod masih petani dan terima subsidi setiap bulan, ambil baja kemudian jual baja tersebut. Sebab itu kita buat pemutihan supaya hanya yang betul-betul layak dapat hak.
Peruntukan turun kerana kita buat pemutihan. Walaupun sekarang ada kekangan kerana peruntukan sikit tapi saya yakin selepas keadaan kewangan negara pulih, subsidi atau bantuan kepada nelayan dan petani boleh dinaikkan semula.
Dulu nelayan terima RM 300 setiap bulan kini kita perlu potong RM 100, jadi RM200. Memang sedikit turun tapi apabila kewangan pulih ia akan meningkat semula kepada RM300, tiada isu.
SK: Cadangan menamatkan monopoli Bernas menjelang 2021 dengan syarikat-syarikat baru baru. Tidakkah kerajaan bercadang ambil peranan Bernas dan menubuhkan Lembaga Padi Beras Negara seperti disarankan NGO Padi Rescue?
Sim: Menamatkan monopoli Bernas adalah satu agenda utama Pakatan Harapan. Kita tak setuju sebarang monopoli kerana kita tahu persaingan memanfaatkan rakyat.
Persaingan akan membantu meningkatkan keberkesanan. Sekarang kita dalam perancangan untuk menamatkan monopoli. Ini hanya akan berlaku pada 2021 selepas kontrak Bernas habis.
Kita akan wujudkan sistem telus melalui persaingan, mungkin tender terbuka. Sekarang dalam proses perundingan dari dalam dan luar negara, kaji semula sektor padi beras bermula dari atas hingga bawah kerana ia sangat rumit, melibatkan banyak peringkat dan 32 juta rakyat Malaysia makan nasi setiap hari. Kita tak mahu rosakkan ekosistem sedia ada.
Adakah kita akan kembali kepada Lembaga Padi Beras Negara? Itu belum pasti kerana sistem baru mungkin lebih baik. Tapi kita akan libat urus dengan semua pihak juga. Kita akan cari model terbaik dan tidak terhad kepada satu model sahaja.
Kita adakan banyak dialog dengan Padi Rescue, termasuk agensi-agensi lain yang terlibat termasuk pemain industri. Walau bagaimanapun kita juga akan tunggu cadangan dari perunding selepas kajian mendalam dibuat.
SK: Adakah ini melibatkan enam kementerian seperti diumumkan kerajaan sebelum ini?
Sim: Itu pasukan petugas (task force) untuk pecahkan monopoli, tidak terhad kepada pertanian. Di Kementerian Pertanian, kita lihat khusus kepada Bernas. Ada juga syarikat monopoli lain seperti MyEG, Puspakom dan lain-lain yang akan dilihat kementerian berkaitan sebelum dibawa ke jawatankuasa di peringkat Kabinet.
SK: Apa langkah Kementerian pastikan negara ada stok penimbal (stockpile) beras mencukupi, dan kurangkan import?
Sim: Kita perlu stok penimbal kalau ada peperangan atau kekurangan bekalan beras dalam negara. Ketika ini kapasiti stok penimbal beras sebanyak 150,000 tan metrik pada satu-satu masa yang mampu tampung keperluan domestik selama tiga bulan, ditempatkan di 25 lokasi seluruh negara, diuruskan Bernas bawah perjanjian konsesi dengan pemantauan kementerian.
Jika tiada situasi perang, tempoh tiga bulan memadai kerana jika lebih lama, padi akan rosak selain perlukan tempat simpan, kawasan luas, penyelenggaraan dan sebagainya. Pada masa sama kita masih boleh dapatkan dari peruncit dan sebagainya jika ada keperluan.
Untuk kurangkan import pula, pada masa ini Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras negara sekitar 71.6 peratus, bermakna kita import dalam 30 peratus.
Kalau nak kurangkan lagi import, perlu tanam lebih padi, perlu lebih tanah dan pelaburan berbilion ringgit untuk buat tali air, parit, bersihkan hutan, ratakan tanah, rawat tanah dan sebagainya.
Buat masa ini kita tumpu meningkatkan produktiviti dengan tanah sedia ada, praktik pertanian yang baik, benih yang baik, cara urus air yang baik, sebab untuk tanam padi, pengurusan air sangat penting jadi kita tumpu selesaikan isu teknikal.
SK: Seperti diucapkan PM mahu tingkat pengeluaran padi kepada 8 tan sehektar?
Sim: Sekarang 4 tan, kita cuba tingkatkan kepada 7-8 tan. Ia boleh dilakukan dengan menumpukan kepada kaedah petani. Mereka perlu tukar cara lama kerana sekarang mereka tabur sahaja, ia tidak tumbuh sekata. Kalau guna transplanter (alat ubah anak benih), ia akan lebih padat dan tersusun.
Kalau kita lihat negara maju, padi mereka tersusun kerana guna transplanter. Tapi untuk tukar kaedah baru, ubah cara pemikiran lebih susah. Keadaan tanah juga tidak sesuai. Di Malaysia, kalau transplanter masuk bendang, tanah terlalu lembut ia akan tersangkut. Jadi kaedah ini kita perlu teliti.
SK: Pertanian sering dikaitkan dengan kawasan luar bandar/kampung. Apa perancangan galakkan penduduk bandar bercucuk tanam hasilkan makanan sendiri?
Sim: Program Pertanian Bandar ('urban farming') sudah dilaksanakan di sekolah, taman perumahan, dan institusi. Kita galakkan kerana mahu anak-anak menghargai makanan. Secara tidak langsung mereka akan lebih mencintai alam sekitar. Tanam makanan sendiri dapat mengurangkan kos sara hidup, tidak perlu bergantung kepada pasar, juga dapat kualiti bagus.
Melalui Jabatan Pertanian, program ini diadakan di seluruh negara selain melibatkan kerjasama dengan agensi lain seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan (Program Celik Nutrisi), Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (Program Mendaya Komuniti di PPR), Jabatan Kemajuan Masyarakat, KEMAS (Program Botani Desa, dan Program Pintar Botani).
SK: Bagaimana jadikan pertanian diminati anak muda sebagai kerjaya yang 'cool', mampu tawar pendapatan lumayan?
Sim: Anak muda suka sesuatu yang melibatkan teknologi. Pertanian selalu dilihat sebagai kerja 3D (bahaya, kotor, susah) dan hanya untuk orang yang tidak dapat masuk ke universiti.
Pada pendapat saya pertanian adalah industri yang 'cool'. Terdapat banyak peluang anak muda menceburi pertanian dengan teknologi. Ada seorang pengusaha muda Melayu yang menyediakan kaedah dron untuk petani dan pesawah. Contoh lain, sekarang ada Plant Factory (kilang tanaman) di mana MARDI melatih kira-kira 10 petani baru.
Plant Factory ini macam kejuruteraan, yang memerlukan pengetahuan tentang LED Lighting dan melibatkan eksperimen. Kaedah ini langsung tidak kotor, kerana dibuat di bilik dan tubuh perlu bersih sebelum masuk.
Mereka buat penyelidikan baja bio (bio fertilizer), dapat hasilkan baja yang lebih baik serta mesra alam. Ada yang ternak ikan dengan teknologi kacukan ikan. Ada seorang pegawai bank kini terlibat dalam perusahaan tenusu. Ada juga peguam dan jurutera yang sepuluh tahun bekerja kini beralih kepada pertanian dan agro pelancongan.
Mereka jual produk dalam talian guna Facebook, semua dilakukan anak muda. Ini satu budaya yang 'cool' yang boleh menarik orang muda dan 'second generation farmers' (petani generasi kedua).
Kerana kebiasaannya generasi kedua akan sambung pelajaran dan berhijrah ke bandar. Teknologi dapat buka ruang untuk mereka sedar kaedah petani moden. Masa depan dalam bidang ini ada kerana semua orang perlukan makanan.
Ini dapat membawa makanan yang berkualiti dan berkhasiat. Cara lama berkebun akan digantikan dengan cara baru sedikit demi sedikit. Kini ramai petani adalah jutawan.
Pertanian malam bukan idea 'gila'
Perdana Menteri sebelum ini mencadangkan penanaman padi dilakukan pada waktu malam. Melihat cadangan ini bukan satu idea 'gila', Sim walau bagaimanapun menyatakan buat masa ini tanaman padi masih tiada kelebihan dilaksanakan pada waktu malam kerana kosnya besar.
Namun jelasnya, bagi sayuran, tanaman waktu malam malah sepanjang masa adalah langkah ke hadapan dalam pertanian. Lewat kilang tanaman ('plant factory'), sayur-sayuran ditanam dalam bilik di bawah pencahayaan LED, dilengkapi sistem penghawa dingin, kawalan suhu bilik, mampu beroperasi 24 jam.
Tanpa meluaskan kawasan, aplikasi teknologi tanaman bertingkat dilaksana di tapak sedia ada, dapat meningkatkan pengeluaran per unit kawasan sehingga 5 kali ganda. Manakala teknologi pencahayaan LED (indoor farming) mampu menggandakan pengeluaran 8-10 kali, dengan kualiti dan pertumbuhan lebih baik dan cepat.
"Di negara maju, saya pernah lihat bilik sayur dimainkan alat muzik selain ada air beroksigen, lampu, kelembapan dan nutrien. Walaupun agak tidak masuk akal tapi inilah pertanian moden," katanya.
Tambahnya, kaedah ini lebih mesra alam sekitar kerana racun serangga tidak diperlukan memandangkan tiada serangga dalam bilik hijau tersebut, maka semuanya organik dan segar.
Elak ditindas orang tengah
Ditanya langkah kerajaan menjaga kebajikan petani daripada ditindas orang tengah, Sim melihat petani perlu diupayakan. Ini kerana jelasnya, petani tiada kemahiran memasarkan produk selepas proses mengeluarkan hasil.
"Orang tengah selalu dikatakan menindas. Tapi ada yang bagus, betul-betul bantu memasarkan barangan petani. Pada masa ini, petani perlu fikir pasarkan sendiri barangan mereka," jelasnya.
Teknologi maklumat boleh dimanfaatkan, umpamanya kata Sim, sudah ada gaya pemasaran dalam talian seperti mangga harum manis yang dapat dijual terus kepada pembeli. Malah, ada nelayan menjual ikan menggunakan platform Facebook Live, katanya.
Pemasaran digital, tambah Sim, mempunyai banyak platform seperti portal di bawah kementerian, Agrobazaar Online yang membolehkan pengguna mendapatkan produk industri asas tani serta produk segar lain.
FAMA turut membantu petani menjual hasil dengan menyediakan ruang pemasaran di pelbagai lokasi, selain Program Pertanian Kontrak di mana FAMA membeli dan menjamin pasaran hasil tanaman mengikut syarat tertentu, sekaligus mengelak penglibatan orang tengah.
No comments:
Post a Comment