Oleh HAIZIR OTHMAN
Terpahat dalam sejarah sebagai peristiwa penting yang menandakan bermulanya perubahan besar-besaran dalam sistem politik tanah air, tanggal September 5, 1998 akan sentiasa diingati para pejuang kebenaran dan keadilan terutamanya yang sejak dulu hingga kini masih kekal dalam landasan perjuangan.
Lahir dari jalanan ibu kota Kuala Lumpur, Reformasi tumbuh menjadi gerakan massa melibatkan seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hinggalah ke Sabah sehingga menescayakan berlakunya peralihan kuasa buat kali pertama dalam tempoh 61 tahun kemerdekaan negara - pada 9 Mei 2018 lalu.
Selepas tarikh itu, Malaysia jadi tidak sama lagi. Malah, memetik kata-kata seorang pejuang yang pernah menitik darahnya di atas jalan perjuangan Reformasi, Tian Chua, masyarakat dunia barangkali akan pantas melupakan sejarah negara yang berlaku sebelum kerajaan berubah.
Ini kerana jelasnya, perubahan tersebut menenggelamkan segala keburukan yang berlaku sebelumnya sehingga menjadikan tarikh 9 Mei seolah-olah sempadan kepada dua zaman yang berbeza - Malaysia Lama dan Malaysia Baru.
Bagi reformis sepertinya yang pernah dicederakan, dipenjara, dinafikan hak bertanding pilihan raya dan pelbagai lagi tantangan, Naib Presiden KEADILAN itu barangkali orang paling layak untuk mengungkapkan cerita perubahan yang berlaku, juga perjalanan panjang menuju ke situ.
Idea Reformasi dicabar
Namun, selepas dua puluh tahun, lebih-lebih lagi selepas sebuah kerajaan ditukar, wacana Reformasi sudah jadi umum. Ia tidak eksklusif kepada pandangan sepihak tanpa membolehkannya dicabar. Keterbukaan, salah satu idea yang diperjuangkan Reformasi, akan meletakkan idea Reformasi itu sendiri di atas meja perbincangan untuk dibahaskan secara vokal.
Merayakan budaya ilmu, baru-baru ini, bertempat di rumah penerbitan Gerakbudaya di Petaling Jaya, berlangsung program wacana Mimbar Gerakbudaya bertajuk "Apakah Reformasi '98 Masih Relevan?: Satu Analisis Sosial Ekonomi".
Menganalisis dan melihat semula gerakan Reformasi di Malaysia secara ilmiah, topik pada malam itu dibicarakan pemimpin veteran Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), Dr Halim Ali, yang juga merupakan bekas pensyarah dan profesor sosiologi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Membandingkan Reformasi 1998 dengan gerakan serupa di Indonesia yang berlaku setahun sebelumnya, Dr Halim menyatakan terdapat pelbagai perspektif yang menghuraikan kelahiran peristiwa itu, antaranya ia terjadi dalam rangka kontradiksi antara dua fraksi/pecahan modal lewat kumpulan pro-Anwar, dan kumpulan pro-Mahathir.
Anwar, menurutnya, tidak mengambil masa lama untuk memalu genderang perang pada 5 September 1998, dua hari selepas dipecat Mahathir. Dipacu dua gerakan Islam utama negara ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pas pimpinan Fadhil Noor di garisan depan, jelas Dr Halim, hal ini penting diterangkan dalam upaya menyusurgalurkan asal-usul atau 'genesis' gerakan Reformasi.
Akuinya, Reformasi 1998 muncul sebagai kuasa gerakan massa yang signifikan, malah tiada tandingan dalam sejarah protes sosial tanah air lewat keterlibatan kelompok besar masyarakat seperti mahasiswa, anggota perkhidmatan awam, dan kelas proletar Melayu generasi kedua - menunjukkan potensi golongan B40 menjadi gerakan massa pada era kini dan mendatang.
Namun, jelas mantan Setiausaha Agung PSRM itu, Reformasi 1998 bersifat populis dan gerakan politik yang kecewa dengan parti politik biasa, walaupun 'cerita' yang digerakkan Anwar Ibrahim sebagai protagonis dan Mahathir sebagai antagonis ini bertujuan mengembalikan kuasa politik kepada rakyat seterusnya melawan institusi negara (state) atas nama demokrasi.
"Pada dasarnya, ‘Reform’ bererti perubahan kepada sistem sosial agar menjadi lebih baik sambil membetulkan kesalahan dalam sistem tersebut. Ertinya, tidak termasuk menggantikan sistem seadanya. Antara September 5, 1998 hingga terdaftarnya Parti Keadilan Nasional (KEADILAN) pada 1999, Gerakan Reformasi longgar organisasinya. Tidak jelas matlamat akhirnya," kritik beliau.
Sambungnya, Reformasi tidak mengembang dan menjadi matang sebagai cita-cita luhur apabila konteks tidak diselidiki, sifatnya terlepas pandang, dan asasnya tidak diletakkan dalam skema sejarah, ekonomi dan sosiologi Malaysia.
Memberi contoh para nabi, pejuang sosial, pemimpin dan ahli teori politik yang memiliki kebolehan untuk: 1) menggambarkan cita-cita perjuangan, 2) memberi rasa bahawa cita-cita itu dapat dicapai, dan 3) mampu menggerakkan massa, menurut Dr Halim, Reformasi hanya memiliki hal ketiga.
Digagalkan neo-liberalisme
Meneruskan kritikan, Reformasi juga jelasnya tidak disusun, diolah, dan dilakarkan asas falsafahnya, seperti dilakukan ideologi dasar Indonesia, Pancasila, dan ideologi menentang penindasan gagasan Sukarno, Marhaenisme, yang turut jadi panduan parti-parti beraliran kiri dan sosialisme seperti PSRM dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Kemunculan elemen neo-liberalisme yang menjadi ideologi dominan dalam demokrasi Barat dan acuan sistem kapitalisme turut dijadikan sebab kegagalan Reformasi. Jelasnya, kehadiran Naib Presiden Amerika, Al Gore dan pemimpin Bank Dunia yang merupakan jaguh neo-liberalisme pada detik-detik awal Reformasi jadi perintang besar kepada pengembangan idea Reformasi yang seharusnya berorientasikan 'rakyat'.
'Faktor Amerika', jelasnya, melemahkan nasionalisme dan menyebabkan berlaku ketidaktenangan seterusnya menghasilkan 'arus lintas, arus bawah dan arus balik'. Dalam pusaran begitu, katanya, kelihatannya aliran tradisi politik kiri ditumpulkan, walaupun pada Ogos 2003, PRM menyertai KEADILAN lalu membentuk Parti Keadilan Rakyat.
Kemasukan PRM yang membawa aliran pemikiran sosial daripada tradisi politik kiri, bersama-sama elemen ABIM yang muncul lebih awal, mewujudkan aliran-aliran reformis agama dan kiri dalam parti itu, kata beliau, menunjukkan ia telah lintas batas dari konservatisme kepada liberalisme - mungkin ke arah ‘Right of Centre’.
Menyimpulkan topik tersebut malam itu, Dr Halim membawa konotasi positif dengan seruan menggembleng daya intelektual yang masing-masing wujud dalam elemen-elemen progresif dan patriotik dari golongan nasionalis, agama dan tradisi politik kiri.
Jelasnya, upaya sosial dan politik mereka seharusnya dapat memantapkan konsep Reformasi yang pernah berhasil sebagai daya gerak agar menjadi pedoman progresif pada hari ini dan masa depan.
"Sesungguhnya, upaya demikian memerlukan pertimbangan falsafah, perhitungan kekhususan sejarah dan sosiologi Malaysia."
Persoalannya, dalam konteks ilmu politik, ke arah liberal kanan? Liberal kiri? Atau melintas batas kearah demokrasi-sosial? Perjuangan sekadar berdasarkan program politik semata, sesungguhnya terbatas jangkauannya sekiranya tanpa teori," katanya, menutup pembentangan pada malam itu.
| Raja Ahmad Aminullah |
Punya pandangan lebih berdiplomasi, penulis dan budayawan, Raja Ahmad Aminullah yang turut hadir menyorot Reformasi 1998 dalam konteks proses berterusan yang harus berlaku pada setiap zaman, dan hanya boleh dicorakkan generasi muda.
Ujarnya, dinamika dalam masyarakat menyebabkan berlakunya perubahan dan oleh sebab itu, para ejen perubahan harus tidak terpisah dari denyut nadi rakyat bawahan kerana dari sanalah perubahan bermula.
*Disiarkan di Suara Keadilan 419


No comments:
Post a Comment