Oleh HAIZIR OTHMAN
Malam itu di Balai Budaya
Seorang pemuda berteriak
‘Ayuh, mari kita berarak’
Malam itu di Balai Budaya
Para pelajar berikrar
‘Dada kami sedia dibakar’
(pertikan sajak Malam itu di Balai Budaya oleh Usman Awang, Mac 1967)
Enam puluh tiga tahun lalu sewaktu para pejuang bahasa berkumpul dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru dan Singapura, mencadangkan penubuhan sebuah badan rasmi yang berperanan mengembangkan bahasa Melayu, langkah tersebut dikira amat penting bagi sebuah negara yang akan merdeka setahun berikutnya.
Dibangunkan dari asasnya di sebuah pejabat kecil bernama Balai Pustaka di Bukit Timbalan, Johor Bahru, pada 22 Jun 1956 oleh pensyarah ekonomi Universiti Malaya, Profesor Ungku Aziz sebagai pengarahnya yang pertama, ia kemudian tumbuh gagah, diperkasakan dengan nama baru, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) beberapa bulan berikutnya.
Tahun berikutnya, 1957, sesuai dengan peranan besar yang bakal ia mainkan, pejabatnya dipindahkan ke ibu kota Kuala Lumpur sebelum dinaik taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 yang membolehkan badan ini mempunyai kuasa autonomi menggubal dasar, menyusun program bahasa dan sastera, dan selainnya.
Bukan semata-mata pejabat kerajaan
Mempunyai bangunan sendiri sejak Januari 1962, cukup agam dengan ketinggian 36 tingkat, peranan badan bahasa Melayu yang satu-satunya di negara ini kian diperhatikan kewajarannya kini, terutama sekali jika dibandingkan dengan peranan yang ia mainkan pada tahun-tahun awal penubuhan sehingga hujung 1970-an dan awal 1980-an.
Walhal institusi ini telah melahirkan sekian ramai pejuang bahasa seperti Ungku Aziz sendiri, Tun Syed Nasir, Dr Hassan Ahmad dan lain-lain sebagai Pengarahnya. Di kalangan pegawainya lebih ramai; sosok 'perkasa' seperti Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, SN Keris Mas, SN A Samad Said, Wijaya Mala, Awam-il-Sarkam, dan ramai lagi.
Satu perkara menarik yang harus diperhatikan adalah; perjuangan generasi awal DBP tidak terbatas kepada mengembangkan bahasa Melayu semata-mata, sebaliknya mengambil tanggungjawab bangsa dalam segenap aspek kehidupan rakyat negara ini - dari isu sastera sehinggalah taraf kehidupan orang Melayu.
SN Muhammad Haji Salleh, dalam karyanya, Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh: Biografi Usman Awang (2017) terbitan SIRD, Petaling Jaya menceritakan perihal Usman Awang, seorang pengarang di DBP dan juga Ketua 1 Persatuan Penulis Nasional (PENA) yang terlibat secara langsung dengan denyut nadi bangsa.
"Sebahagian daripada kerja PENA diserapkan ke dalam tugas-tugas Dewan (DBP) dan kebalikannya - dan hakikat saling sokong-menyokong, lengkap-melengkapi ini memberikan wajah dan tugas yang lebih bermakna dan terlibat kepada Dewan - yang bukan lagi berwajah sebagai pejabat kerajaan sahaja, tetapi juga terlibat dalam isu-isu negara, termasuk bahasa, sastera malah kemiskinan rakyat."
"Pengarang PENA pula dilihat sebagai pengarang yang terlibat, yang sama merasakan dan memperjuangkan masalah masyarakat," tulisnya.
Peranan dan tanggungjawab besar inilah dilihat melahirkan karya dan tulisan-tulisan bermakna dari Dewan, sama ada berbentuk kreatif atau bukan kreatif. Majalah Dewan Masyarakat dilihat menjalankan tugas ini dengan cemerlang sejak penerbitan pertamanya pada September 1963, mengangkat isu-isu umum termasuk politik, ekonomi, pendidikan dan agama.
| SN Muhammad Haji Salleh |
Dewan Masyarakat malah menjadi majalah terpenting dan paling popular DBP lewat kupasan ilmiah dan berwibawa lewat makalah juga tulisan kreatif dari sidang pengarang yang dibarisi para penulis tersohor - Keris Mas sebagai Ketua Bahagian, dan Usman Awang sebagai Penolong Pengarang.
Enam puluh tiga tahun berikutnya, Dewan Bahasa dan Pustaka dilihat tidak berupaya mengulangi zaman keemasan yang pernah ia kecapi dahulu. Bukan sahaja ia kehilangan magis malah hampir-hampir kehilangan relevansi atau kewajaran dalam perjuangan bahasa dan sastera.
Pelakon dan pelawak terkenal, Abdul Rahim Muda atau lebih dikenali dengan nama Imuda mengakui DBP cukup dikagumi pada tahun-tahun 80-an, terutamanya ketika Allahyarham Usman Awang masih ada di institusi itu.
DBP sentuh jadi 'emas'
Berkhidmat di DBP sebagai pelukis dari tahun 1979 hingga 1993, beliau yang turut terlibat dalam pementasan teater di DBP berkata pada waktu itu, apa sahaja yang dikeluarkan atau yang mendapat sentuhan DBP akan jadi hebat, seperti emas.
"Sekarang ini tak tahu apa yang bagus di DBP, sebab saya pun tak bersama DBP lagi," katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP ke-63 Jumaat lalu.
Bagi Sasterawan Negeri Perak, Malim Ghozali PK, yang membezakan DBP dahulu dengan sekarang terletak kepada kualiti pegawai-pegawainya. Katanya, dulu DBP mempunyai kepakaran di kalangan pegawainya yang juga merupakan penulis sehingga semua orang beri tumpuan kepada badan itu.
Namun kini semuanya 'diswastakan' kepada orang luar sama ada universiti atau pihak lain sehingga tidak berlaku proses pengembangan kendiri di kalangan mereka, katanya.
Dewan (DBP) seharusnya melahirkan pegawai-pegawai yang bukan sahaja berbakat, tapi mahir dalam disiplin mereka, kata penerima anugerah sastera SEA Write Awards itu kepada Suara Keadilan.
Pandangan beliau dipersetujui SN Dr Anwar Ridhwan yang mengatakan DBP kini kekurangan staf yang tokoh dalam bidang bahasa, sastera dan gerakan massa.
Berkaitan gerakan massa, Malim ketika ditanya mengakui bahawa seorang penulis itu seharusnya serba boleh atau berbilang tugas ('multitasking'), dan memainkan peranan sebagai intelektual awam bagi memastikan dirinya terus relevan.
"Kerana mereka adalah wakil zaman," katanya lagi.
Tambah Dr Anwar, secara umum, hubungan awam DBP dengan pihak-pihak luar berada pada tahap yang agak rendah. Ini baginya, agak merugikan kerana sebarang gerakan memerlukan strategi lautan biru.
"DBP memerlukan saf pimpinan yang berwawasan kerana DBP ialah institusi budaya yang sangat menyumbang kepada takah tamadun berasaskan bahasa dan kebudayaan Melayu."
"Oleh itu DBP tidak boleh beroperasi seperti kebanyakan pejabat kerajaan atau sektor awam (yang lain)," katanya kepada Suara Keadilan.
Perlu tokoh dari luar
Gusar dengan fungsi dan peranan DBP yang semakin pudar, malah dengan kewujudan DBP itu sendiri agar 'tidak lenyap', penulis novel Naratif Ogonshoto itu membayangkan DBP perlu menempatkan tokoh-tokoh bahasa, sastera serta aktivis budaya dari luar institusi.
Beliau menjawab soalan adakah kerajaan perlu merombak DBP secara besar-besaran dengan muka-muka baru bagi memulihkan semula institusi itu.
Kelemahan ketara kepimpinan DBP sejak beberapa tahun kebelakangan dapat dilihat lewat beberapa Ketua Pengarah (KP)nya mutakhir ini. Suara Keadilan isu 409 pernah mengkritik pelantikan KP DBP baru Januari lalu dengan melampirkan kekecewaan penggiat sastera, antaranya Presiden Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) yang juga penulis dan pengarah teater, Dinsman.
Dinsman menyifatkan pelantikan tersebut sebagai berakhirnya sebuah harapan yang masih ada sebelum itu, malah tidak menolak faktor politik dalaman sebagai antara punca kelesuan DBP sejak sekian lama.
Penyair, pelakon, penyanyi, dan anggota kumpulan lagu puisi Kopratasa, Sani Sudin secara terus terang menyebut politik menjadi angkara kehancuran bahasa Melayu di tangan DBP.
| Sani Sudin |
Beliau ketika ditemui berkata perjuangan bahasa tidak boleh dicampur-aduk dengan agenda politik dan perjuangan merebut kepentingan dan kedudukan.
"Politik mula campur tangan dalam DBP sejak terlibat golongan tertentu yang ada kepentingan. Berpuak-puak dan di situlah hancurnya bahasa Melayu.
"Mungkin juga sebagai batu loncatan untuk menjaga kedudukan. Saya tidak fikir soal politik, yang penting kita perlu jadi seorang yang waras menjaga kepentingan bangsa Melayu dan bahasanya sekali," katanya yang mahu entiti politik sempit dipisahkan dari DBP.
Bercakap dalam nada serupa, SN Muhammad Haji Salleh turut tidak mahu orang politik menjadi ketua atau terlibat aktif dalam urusan DBP, termasuklah dalam urusan melantik Ketua Pengarah DBP.
Katanya, perjuangan DBP jadi tidak begitu kuat lagi seperti dulu disebabkan politik telah mengambil posisi tengah.
"Sekarang kita ingin politik duduk di luar, biar pengarang, penulis dan pejuang yang betul duduk di tengah-tengah," katanya ketika ditemui.
Merujuk ular dan katak
Namun, hakikatnya membawa keluar budaya politik sempit kelihatan hampir mustahil untuk dilaksanakan di DBP, sekurang-kurangnya buat masa ini dalam era Ketua Pengarahnya Abang Salehuddin Abang Shokeran.
Melihat cara penganjuran Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-63 DBP Jumaat lalu dan mendengar ucapannya, seperti tiada perjuangan akan lahir dari zamannya melainkan mungkin, merebut kesukaan menteri.
Tidak sedikit cakap-cakap baik dari dalam mahu pun luar institusi mengkritik kepimpinannya yang dilihat tidak berminat dengan agenda besar perjuangan bahasa sebaliknya hanya menghabisi tempoh waktu sebagai penjawat awam bergred besar.
Maka, jika mengharapkan KP ini akan memperjuangkan isu seperti menentang PPSMI, bunyinya mungkin agak keterlaluan.
Di depan menteri dan KP petang itu, SN A Samad Said mendeklamasikan sajaknya, dari kumpulan puisinya yang bertajuk Suara Dari Dinding Dewan, yang antaranya berbunyi:
Dan jika lampu tersorot, pentas
terbuka dan pemimpin tulen tiba-tiba
tiada, jangan dimarah jika aku
merujuk semula kepada ular dan katak
kepada badak dan biawak --
suara warga resah dari belantara bahasa.
(petikan sajak Suara Dari Dinding Dewan, 2003)
Usman Awang 'dada kami sedia dibakar', Hassan Ahmad pejuang baris hadapan membantah PPSMI, dan lain-lain telah lama meninggalkan kita dengan perjuangan mereka yang belum selesai. Setelah ketiadaan mereka, apakah kita akan merujuk kepada "ular dan katak, kepada badak dan biawak" seperti yang disajakkan Pak Samad?
*Disiarkan di Suara Keadilan isu 420

No comments:
Post a Comment