Wednesday, September 18, 2019
Raatchasi: refleksi dan reformasi pendidikan
Oleh HAIZIR OTHMAN
Filem-filem berunsur pendidikan akan sering mengangkat watak unggul seorang guru sebagai adiwira yang mampu menewaskan apa jua cabaran di sekelilingnya.
Watak John Keating lakonan Robin Williams dalam Dead Poets Society (1989), Mr Hundert (lakonan Kevin Kline) dalam The Emperor's Club (2002), Cikgu Cheryl (lakonan Sangeeta Krishnasamy) dalam Adiwiraku (2017) malah Cikgu Shahrin (lakonan Harun Hashim) dalam drama popular TV3 tahun 90-an, Pa'e menunjukkan kepentingan peranan guru sebagai ejen perubahan paling utama di sekolah.
Pendekatan inilah juga yang dibawa dalam filem Tamil yang sedang 'hangat' dibicarakan pada ketika ini setelah mendapat pujian dari Menteri Pendidikan sendiri, Dr Maszlee Malik lewat media sosialnya.
Raatchasi (2019), seperti filem-filem pendidikan lain yang menjulang watak guru ulung, mengisahkan seorang guru besar wanita yang bertugas di sebuah sekolah kerajaan usang dan terpencil di wilayah Tamil Nadu, negeri yang terletak di selatan India.
Dan seperti sekolah-sekolah lain di mana-mana pun, sekolah ini berdepan masalah serupa; murid-murid yang terabai dan tidak berminat dengan pelajaran, guru-guru yang tiada kesungguhan malah punya persepsi negatif kepada murid berpencapaian lemah, dan paling buruk - pentadbir yang korup.
Makan dengan murid
Dr Maszlee dalam mengungkapkan kekagumannya kepada filem tulisan dan arahan Sy Gowthamraj ini berkata, filem ini 'wajib' ditonton kerana mempunyai jalan cerita luar biasa dan watak yang sempurna, Geetha Rani (lakonan Jyothika Saravanan) sebagai pengetua sebuah sekolah kerajaan yang 'sangat hebat'.
Menontonnya sebagai Menteri Pendidikan, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, setiap babak dalam filem itu sentiasa beliau refleksikan dengan keadaan di negara ini, selain banyak sekali dasar dan perubahan yang sedang digubal untuk dilaksanakan telah berjaya digambarkan dalam filem ini.
"Misalnya inisiatif PSP (Program Sarapan Percuma). Filem ini menterjemahkan aspirasi saya yang lebih dari sekadar makanan, tetapi saya ingin melihat guru-guru boleh duduk makan sekali dengan anak-anak kita, ulas beliau dalam statusnya di Twitter.
Bulan lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan Program Sarapan Percuma buat semua pelajar sekolah rendah di seluruh negara.
Ketika mengumumkan berita itu, Dr Maszlee berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan pelajar-pelajar terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.
Kerajaan dijangka akan berbelanja sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun bagi melaksanakan program PSP untuk 2.7 juta pelajar sekolah rendah, dan menurut Perdana Menteri, kerajaan mempunyai peruntukan untuk melaksanakannya.
Dalam Raatchasi, terdapat babak-babak menunjukkan pengetua, Geetha menyertai beberapa orang pelajar wanita makan bersama-sama pada waktu rehat. Geetha menggunakan waktu tersebut menjadi 'rakan' anak-anak tersebut dengan berbual-bual dan mendengar pandangan mereka.
Polis ronda malam
Terdapat juga dalam filem ini, satu babak anggota polis membuat rondaan pada waktu malam ke rumah yang mempunyai anak yang layak bersekolah tetapi tidak hadir. Berdasarkan undang-undang yang mewajibkan anak-anak pada umur tertentu ke sekolah, Geetha telah melaporkan kepada pihak berkuasa akan mereka yang melanggar peraturan tersebut.
Adegan ini menunjukkan kesungguhan Geetha mengatasi isu keciciran murid akibat tunduk kepada tekanan keluarga untuk bekerja lantaran kemiskinan. Namun, tiada yang dapat membebaskan mereka daripada kemiskinan selain pendidikan.
Babak ini turut tidak terlepas daripada pemerhatian Dr Maszlee yang mengatakan kerajaan turut mahu memastikan tiada di kalangan anak-anak yang tercicir daripada mendapat pendidikan.
"Begitu juga dengan isu keciciran murid. Geetha telah berjaya melibatkan semua pihak untuk atasi isu keciciran murid, termasuklah pihak polis. Ini yang sedang kita usahakan. Kita nak pastikan ‘enforcement’ (penguatkuasaan) itu berlaku di semua penjuru agar tak ada lagi kanak-kanak yang tercicir," ulasnya.
Usaha kerajaan mengatasi isu ini dapat dilihat melalui sistem pendidikan inklusif yang membabitkan golongan berkeperluan seperti anak keluarga B40, Orang Asli, Orang Kurang Upaya, miskin dan kumpulan minoriti.
Lewat usaha ini, KPM membawa konsep kesamarataan peluang termasuk dasar memberi kelebihan kepada anak keluarga B40 selain daripada keluarga miskin supaya berpeluang memasuki sekolah berasrama penuh.
Konsep kesamarataan, pendidikan inklusif, dan lainnya walaupun berhasrat murni tetapi mungkin tidak disenangi sesetengah pihak. Dalam Raatchasi, ia dikisahkan lewat sifat buruk pengusaha sekolah swasta yang tiada hasrat melahirkan pendidikan berkualiti bahkan hanya mahu mengaut keuntungan dari wang yuran pelajar yang tinggi.
Sebuah sekolah swasta yang terletak tidak jauh dari sekolah Geetha menggunakan 'taktik kotor' dengan menarik masuk murid-murid cemerlang sekolah kerajaan ke sekolah elitnya dengan menawarkan mereka biasiswa sebagai 'iklan' mempromosikan sekolahnya.
Sekolah kerajaan vs swasta
'Pertarungan' Geetha dengan pengetua sekolah swasta, Rama Lingam (lakonan Hareesh Peradi) adalah pertarungan klasik pendidikan sebenar dengan kapitalisme bertopengkan sekolah, pengetua, dan guru.
Pada masa sama, ia juga menunjukkan pertembungan antara pendidikan nasional dengan pendidikan bernuansakan komersialisme yang ditandai kelahiran sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Pertembungan ini sampai ke peringkat usaha terancang menonjolkan imej buruk sekolah kebangsaan lewat masalah disiplin dan akademik pelajarnya, kedaifan prasarana dan lain-lain.
Lebih jauh, Rama Lingam bertindak mencetuskan konflik perbezaan kasta sehingga berlaku pergaduhan besar antara pelajar, didalangi guru-guru sekolah Geetha sendiri yang telah jadi 'boneka' Rama, termasuklah guru penolong kanannya yang dikesan lebih awal korup.
Seperti diucapkan Rama Lingam kepada Geetha di luar perkarangan sekolah, pada hari kematian ayahnya, "(Kami) bukan bekerja untuk rakyat. Penjawat awam sebenarnya bekerja untuk kami," menunjukkan wajah sebenar kapitalis pendidikan yang sering bertopeng senyum dan wajah manis mengalu-alukan kedatangan pelajar ke sekolah mereka.
Masuk lambat ke pejabat, tidak masuk kelas, membuat kerja luar adalah isu-isu tidak asing dan sering kita dengar dilakukan penjawat awam. Semua ini digambarkan dalam Raatchasi, namun ia tidak dapat mengatasi keburukan menaikkan yuran kemasukan sesuka hati sehingga sepuluh kali ganda kepada pelajar baru.
Jenayah ini dilakukan guru penolong kanan yang memangku tugas pengetua di depan Geetha sendiri, dengan alasan daftar lewat, dan betapa yuran sekolah swasta jauh lebih tinggi.
'Meluruskan' semula segala kerosakan ini adalah tugas berat Geetha, namun di akhirnya, dia digambarkan berjaya 'mereformasi' sekolah termasuklah para murid, guru, dan ibu bapanya.
*Disiarkan di Suara Keadilan isu 426
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment