Wednesday, November 14, 2018

Agar KL Kota Buku Dunia 2020 tidak jadi bahan jenaka...



Oleh HAIZIR OTHMAN

Apabila Kuala Lumpur diumumkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) September lalu, tidak sedikit suara-suara nakal mengiringinya malah ada yang menganggap keputusan itu satu jenaka.

Walaupun pemilihan tersebut merupakan pencapaian julung-julung kali Malaysia merebut gelaran yang diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2001 itu, ia tidak terlepas daripada pandangan sinis orang awam, bahkan di kalangan penggiat industri buku sendiri.

Antara asas kepada pandangan tersebut adalah betapa realiti penduduk negara ini dilihat belum punya semangat membaca yang tinggi, atau tahap kecintaan kepada buku yang boleh dibanggakan.

Data Perpustakaan Negara Malaysia tahun lalu menyatakan rakyat Malaysia membaca 15 hingga 20 buku setahun dengan kadar literasi 55 peratus. Sebagai perbandingan, Korea Selatan mempunyai kadar literasi 99.9 peratus dengan penduduknya membaca 40 buku setahun. Untuk rekod, Incheon jadi Kota Buku Dunia pada tahun 2015.

Dihitung dari jumlah penerbitan, kita masih belum mencapai 20,000 judul buku setahun bagi menepati rujukan negara maju yang menetapkan nisbah bagi setiap sejuta penduduk, harus menerbitkan sekurang-kurangnya 1,000 judul buku baru setiap tahun. Bagi negara berpopulasi 32 juta penduduk, judul baru yang kita terbitkan seharusnya mencecah angka 32,000 setahun.

Tiada peruntukan

Idea Kuala Lumpur (KL) sebagai Kota Buku Dunia jadi semakin kabur berakhir pembentangan Belanjawan 2019 yang dibacakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen tanggal 2 November lalu. Tiada langsung dana diperuntukkan bagi membangun industri bernilai RM1.3 bilion ini (data 2017).

Lebih menyedihkan, frasa "buku" ditemui hanya dua kali dalam teks Belanjawan; itu pun pertama, merujuk bantuan buku teks kepada murid miskin di sekolah, dan kedua, merujuk buku yang mendedahkan skandal 1MDB tulisan Tom Wright dan Bradley Hope, Billion Dollar Whale.

Perkembangan ini sudah pasti menimbulkan keresahan terutama kepada pihak yang terlibat secara langsung dengan pelaksanaan projek ini. Eksekutif Strategik Perbadanan Kota Buku (PKB), Aliff Basri tidak menyembunyikan kebimbangannya rentetan perkembangan ini dengan menyifatkan ia boleh menjejaskan persiapan sekretariat menuju KL Kota Buku Dunia 2020 kurang dua tahun lagi.

Aliff Basri

"Ia malah boleh beri kesan kepada penulis, timbulkan persepsi bahawa mereka tak dihargai. Akibatnya, mereka sama ada akan kurang menulis, atau menerbit tulisan mereka di luar negara," katanya dalam wawancara dengan Suara Keadilan.

Jelasnya, jika sentimen kekecewaan di kalangan pemain industri buku itu melebar, ia boleh menimbulkan rasa tidak percaya mereka kepada kerajaan dalam menjulang bidang ini.

Pesta buku 140 kali

Namun, memandang ke depan, Aliff optimis idea KL Kota Buku Dunia 2020 tetap mampu dilaksanakan sebaiknya dan mencapai matlamat jika rekod aktiviti dijadikan sandaran.

"Kita tidak bermula dari kosong (dalam aktiviti perbukuan). Saban minggu ada sahaja aktiviti buku di mana-mana dari masyarakat awam seperti Buku Jalanan, diskusi karya, wacana dan lain-lain; menunjukkan budaya ini cukup subur."

"Program pesta buku yang kami cerap sahaja ada lebih 140 kali tahun lalu, melibatkan peringkat persekutuan, kedai buku, perpustakaan, dan persendirian," katanya yang turut menjelaskan sekretariat KL Kota Buku diketuai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Seterusnya, dari jumlah aktiviti yang besar itu, beliau berharap kesemuanya dapat dipetakan dengan lengkap dalam satu pangkalan data bagi memudahkan rujukan dalam dan luar negara.

Bahkan pemetaan ini merupakan alat penting dalam mengukur kerancakan aktiviti perbukuan khususnya di Kuala Lumpur, selain dapat memudahkan para pencinta buku menjejak program-program berkaitan buku di mana-mana pada bila-bila masa.

Tak perlu haram buku 

Berkaitan pelbagai pandangan yang timbul terhadap idea KL sebagai Kota Buku Dunia, beliau yang juga menulis esei secara eceran itu menganggap semua pandangan tersebut perlu diurus sebaiknya kerana ia datang dari para penggiat industri buku sendiri, malah sesetengahnya cukup wajar.

Kritikan terhadap cara agensi-agensi buku bekerja sebagai contoh, perlu diakui bagi menambah baik gerak kerja. Selainnya, jelas beliau, agensi buku perlu turun padang bertemu para pemegang taruh termasuk para pengkritik dan melibatkan mereka dalam perbincangan berkaitan demi mencari idea-idea terbaik.

Beliau tidak menolak idea untuk memanfaatkan segala pandangan sama ada positif atau negatif demi menuju matlamat menjayakan projek ini. Kritikan, menurutnya, perlu disambut dengan penjelasan dan hujah balas, bukannya disekat.

Dalam perkembangan berkaitan, Aliff turut tidak bersetuju dengan idea pengharaman buku seperti yang kerap berlaku sebelum ini. Langkah tersebut tidak membantu masyarakat memahami tujuan pengharaman tersebut sebaliknya hanya mematikan percambahan idea-idea baru.

Apa yang perlu dilakukan adalah merancakkan wacana ilmu sekitar kritikan terhadap idea dalam satu-satu karya tersebut, dan akhirnya terpulang kepada kebijaksanaan khalayak pembaca untuk menentukan sama ada kandungan buku tersebut wajar dijadikan pedoman atau tidak.

Pengaruh buku dan penulis

Menurutnya, inilah yang berlaku di negara-negara Eropah yang cukup meriah dengan kelahiran idea-idea baru melalui aktiviti kritikan, wacana, ulasan buku dan lain-lain. Buku dan gologan penulis diberi perhatian cukup tinggi setaraf tokoh politik dan artis popular.

Malah, potensi yang mampu dijana dari industri buku cukup besar seperti limpahan pengaruhnya kepada sektor lain, contohnya pelancongan, lewat manfaat dari populariti karya dan penulisnya.

Misalnya di United Kingdom dibangunkan Muzium Sherlock Holmes yang jadi tumpuan para peminat buku seluruh dunia terutama dalam genre penyiasatan. Sherlock Holmes adalah watak fiksyen garapan penulis terkenal, Sir Arthur Conan Doyle yang telah jadi jenama besar termasuklah pernah difilemkan Hollywood pada tahun 2009 dan berjaya mencatat kutipan box-office, USD524 juta (RM2.19 bilion) di seluruh dunia.

Menutup wawancara, Aliff berharap KL Kota Buku Dunia 2020 berjaya dalam konteks melahirkan golongan pembaca baru kerana apa yang lebih penting dari projek ini adalah kesannya kepada penambahan daya intelek rakyat Malaysia. Dan jika tidak setuju dengan idea ini, maka alternatifnya perlu dicari bersama-sama.


*Disiarkan di Suara Keadilan 400

No comments: