Wednesday, November 28, 2018
Tian Chua: Catatan dari balik tirai besi
Oleh HAIZIR OTHMAN
Jika anda terlibat dengan gerakan bersejarah Reformasi sejak tahun 1998, maka sosok tubuh seorang pemuda Cina kurus tinggi duduk bersila di depan trak FRU berdepan sekumpulan polis pencegah rusuhan pasti masih kuat melekat dalam minda.
Dalam hampir setiap aksi unjuk rasa, lelaki ini ada memimpin atau bersama-sama para demonstran di jalan-jalan raya sekitar ibu kota. Gas pemedih mata, air gatal, kayu belantan tidak dapat mengalahkannya. Hanya Black Maria jawapan kepada kedegilan lelaki ini sebelum dikurung di balik tirai besi.
Dua puluh tahun berikutnya dan selepas beberapa sesi di lokap, penjara, dan mahkamah, lelaki ini masih tekal memperjuangkan idea reformasi, biar kini suasana sudah banyak berubah; perubahan yang diperjuangkannya sendiri dengan darah, keringat dan air mata.
Tian Chua, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, percaya kebebasan tidak boleh dinafikan oleh sebarang sekatan. Barangkali inilah senjata yang kuat dipegangnya sewaktu berdepan penguasa dalam siri demonstrasi era Reformasi dahulu.
Kini kisah perjuangan beliau sepanjang zaman itu hingga kini jadi catatan-catatan berharga dalam sejarah bangsa, membentuk peristiwa penting untuk diceritakan kepada anak cucu sebagai pedoman hari muka.
Tak takut penzalim
Beruntunglah generasi pada hari ini, sebahagian daripada kisah tersebut ada dirakam dalam buku tulisannya, Lakaran Jiwa Merdeka: Catatan dari Penjara Kajang, terbitan Mentor Publishing Sdn Bhd.
Dihukum penjara selama sebulan dari tarikh 29 September 2017, pemenjaraan beliau sebenarnya adalah selepas beliau menarik semula rayuan terhadap sabitan Mahkamah Sesyen yang telah diputuskan tiga tahun sebelumnya, bermakna - beliau memilih ke penjara.
Perhimpunan BERSIH 3 pada tahun 2012 adalah acaranya di mana beliau bersama-sama 500 demonstran lain ditahan sebelum dibawa ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL). Anehnya, dakwaan dikenakan ke atas beliau bukanlah kerana menyertai perhimpunan tersebut, sebaliknya kerana 'menceroboh' PULAPOL yang dikelaskan sebagai kawasan larangan.
Mendepani 'keanehan' dakwaan tersebut dan selepas lima tahun turun-naik mahkamah, anak Melaka ini akhirnya membuat keputusan menamatkan segala proses itu dan langsung ke penjara.
Bercakap dalam sesi membela diri, Tian Chua berkata keputusannya itu bukan bermakna dia mengaku bersalah, sebaliknya mahu mendedahkan kesalahan-kesalahan kerajaan dan menggesa seluruh rakyat agar tidak takut dengan para penzalim.
Penjara sesak
Penjara Kajang walaubagaimanapun bukanlah 'destinasi' pertama Tian dalam perjuangannya. Sebagai aktivis reformasi, beliau telah terlebih dahulu memasuki 'madrasah' tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting pada tahun 2001.
Dalam buku ini Tian menceritakan pengalaman di penjara Kajang termasuk perkenalannya dengan rakan banduan lain, warden yang pernah bertugas di bahagian Cawangan Khas malah pernah menjalankan risikan ke atasnya, 'orang kerja' yang kebanyakan terdiri daripada warga Indonesia, juga pegawai-pegawai penjara yang peramah.
Melalui pertemuan-pertemuan ini, beliau turut dapat memahami resam pekerja di penjara yang seperti kebanyakan orang lain di luar, amat terkesan dengan kesempitan hidup dalam zaman serba mencabar pada hari ini, terutama warden yang di sebalik gaji mereka yang kecil, perlu berdepan sekumpulan manusia paling sukar ditangani dalam masyarakat.
Keprihatinan Tian Chua terhadap anggota beruniform ini diluahkannnya beberapa kali, antaranya dalam bab "Upacara Muster", apabila menyentuh keadaan kira-kira 500 orang warden penjara Kajang yang perlu menjaga 5,000 banduan walhal ia direka untuk menampung 2,500 banduan sahaja.
Dengan bayaran tidak setimpal dan bekerja selama lapan hingga sepuluh jam, Tian berpandangan kebajikan mereka amat rendah terutama anggota bomba yang menerima layanan paling buruk walaupun merisikokan nyawa sendiri demi keselamatan orang ramai.
Mungkin jadi menteri
Situasi serupa dialami segmen besar dalam masyarakat apabila ramai terpaksa mencari pendapatan sampingan pada waktu malam di sebalik kerja hakiki, demi memenuhi keperluan hidup. Fenomena ini dirujuk Tian dengan istilah Moonlighting, pekerjaan kedua yang dilakukan tanpa pengetahuan majikan utama.
Keadaan ini mendorong sokongan mereka terhadap agenda perubahan yang dibawanya bersama-sama parti yang dianggotainya, Parti Keadilan Rakyat selain parti-parti lain dalam Pakatan Harapan.
'Sokongan senyap' para penjawat awam inilah yang kemudiannya menatijahkan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, menumbangkan rejim yang telah berkuasa terlalu lama sejak sebelum merdeka hingga usia negara mencapai 61 tahun.
Malah, 'trend' tersebut terlalu ketara untuk tidak diperhatikan para pegawai atasan di pejabat-pejabat kerajaan termasuklah Pengarah Jabatan Penjara Negeri yang datang menemui Tian Chua selepas kira-kira seminggu beliau dimasukkan ke dalam penjara.
Menjelaskan persaingan parti-parti politik secara adil akan membawa kebaikan kepada rakyat - dalam dialognya dengan Tian, selain penegasan bahawa kita semua hanya punya satu identiti iaitu bangsa Malaysia, nada si Pengarah ini mungkin agak berbeza, terutama jika dibandingkan dengan suasana sebelum PRU-13.
Perbezaan ini ditanggapi pegawai-pegawai penjara yang berjumpa Tian selepas pertemuan itu sebagai peluang yang dicari si Pengarah dari Tian, untuk naik pangkat pada masa depan. Teka si pegawai itu kepada Tian, "Mungkin satu hari nanti kamu jadi menteri?"
Resam pemimpin besar
Pertemuannya dengan komuniti penjara seperti punya hikmah yang tersembunyi apabila ia menerbitkan pengajaran-pengajaran, yang disulamnya dengan penuh falsafah dalam buku ini. Ia terkait sama dengan pembacaan intensifnya terhadap kitab suci agama-agama di dunia termasuk Islam (al-Quran), Kristian (Injil), dan Hindu (Gita).
Masa di dalam penjara digunakan sebaik-baiknya dengan membaca kitab-kitab ini selain bahan bacaan lain. Malah, inilah sifat para pemimpin besar yang dipenjara - membaca; seperti dilakukan Saudara Anwar Ibrahim, Buya Hamka, tokoh sastera Nusantara seperti Pramoedya Ananta Toer, malah tokoh-tokoh tempatan seperti Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam dan lain-lain.
Pembacaan ilmiah, penelitian situasi, perenungan ke dalam diri adalah elemen-elemen yang mampu melahirkan seorang pemimpin hebat. Dan salah satu persamaan utama para pemimpin besar seluruh dunia seperti Mahatma Gandhi, Nelson Mandela, Malcolm X dan lain-lain adalah - semuanya pernah dipenjara penguasa.
Hakikat bahawa mereka pernah cuba dinafikan kebebasan dengan dikurung dalam sel penjara hanya menyemarakkan lagi rasa merdeka dalam jiwa mereka. Inilah yang dialami Tian Chua. Seperti kata Saudara Anwar Ibrahim, "biar jasad dipenjara, namun jiwa tetap merdeka".
*Disiarkan di Suara Keadilan 402
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment