Wednesday, November 14, 2018

Gelombang baru filem negara perkembangan sihat industri kreatif



Oleh HAIZIR OTHMAN

Menjelang akhir tahun 2018, seperti muncul satu gelombang baru dalam arena perfileman Malaysia apabila dereten filem-filem bermutu ditayangkan di pawagam.

Hakikat ini ditandai lewat kritikan-kritikan para penggemar filem selain jumlah kutipan tiket memberangsangkan yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

One Two Jaga, Paskal, Pulang, Dukun, Mencari Rahmat (tayangan terhad), Munafik 2, Hantu Kak Limah dan lain-lain mencipta gelombang tersebut apabila buat pertama kali sejak sekian lama, satu angkatan filem yang baik muncul dalam tempoh yang singkat.

Kumpulan pengkritik filem bebas, Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Film Critics Circle) dianggotai 19 orang pengkritik yang menganjurkan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (AMPFKL) 2018 awal November lalu menyatakan tahun ini merupakan tahun paling sengit dalam sejarah AMPFKL sejak ia mula diadakan.

Anugerah tersebut yang mengangkat One Two Jaga sebagai Filem Terbaik, dalam laporannya menyatakan semua karya yang disenarai pendek ke peringkat akhir menampilkan mutu pengkaryaan bukan calang-calang sehingga keputusan hanya boleh dibuat "melalui sesi penelitian dan timbang tara yang rencam".

"Kita tidak menyaksikan kancil beradu sama kancil kali ini, tetapi gajah bertembung sesama gajah. Kami sejujurnya seperti terpaksa memilih seorang pemenang antara kalangan pemenang-pemenang yang lain," jelas laporan tersebut.

KL kota paradoks

Bermula 4 November lalu bertempat di Urbanscapes House, Kuala Lumpur, Kelab Seni Filem Malaysia dengan kerjasama Cinephilia dan Urbanscapes telah menganjurkan inisiatif tayangan filem percuma atas nama Kota Wayang.

Tayangan yang dijadualkan sehingga 18 November itu menayangkan filem-filem bikinan tempatan bertema Kuala Lumpur dengan hasrat melihat Kuala Lumpur dari sebalik lensa kamera dan merasai pengalaman sekitar ibu kota dari pelbagai perspektif.

Lapan filem ditayangkan dalam tempoh tersebut iaitu Moon Over Malaya (1957), Budak Kelantan (2008), KL Zombi (2013), Shuttle Life (2017), Layar Lara (1997), XX Ray (1992), Cinta (2006), dan Lips to Lips (2000).



Suara Keadilan berpeluang menonton Shuttle Life arahan pengarah muda, Tan Seng Kiat minggu lalu, filem yang berjaya memenangi Anugerah Golden Horse di Taiwan bagi dua kategori iaitu Sinematografi Terbaik, dan Pengarah Baru Terbaik.

Filem lakonan Jack Tan, Sylvia Chang dan Angel Chan dalam bahasa Mandarin itu memaparkan sisi lain Kuala Lumpur yang sering dilihat pesat membangun dengan pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit dan pelbagai projek-projek besar.

Sebaliknya, Tan Seng Kiat melihat kota itu dengan pandangan mikroskopik apabila 'mengeluarkan' Pudu daripadanya, memperlihatkan kehidupan warganya yang tersepit antara kepesatan pembangunan Kuala Lumpur secara berlebihan dengan kemelaratan taraf sosioekonomi penduduk Pudu, menunjukkan paradoks dalam satu aras yang sama.

Kritik politikus

Bercakap kepada khalayak penonton dalam sesi soal-jawab selepas tayangan filemnya, Tan berhasrat menunjukkan kemiskinan bukan sahaja berkaitan kekurangan wang, tapi juga ketiadaan pendidikan, keupayaan, peluang, dan cara menyelesaikan masalah.

Mengakui pembikinan Shuttle Life diinspirasikan daripada pandangannya sendiri terhadap negara ini, baginya beliau tidak tahu apa yang boleh dibuat di sini dengan kewujudan masalah yang pelbagai, namun tetap percaya di hujungnya ada sinar harapan.

Shuttle Life mengisahkan kisah hidup Qiang yang tinggal bersama-sama ibu dan adik perempuannya dalam flat kos rendah yang sempit di Pudu. Bergelut antara mencari pekerjaan, menjaga ibunya yang sakit mental dan adiknya dalam persekitaran yang kasar, Qiang terjebak dengan kesulitan yang mencengkam hidup.

Memaparkan kehidupan rakyat marhaen dan warga miskin bandar di ibu kota metropolitan, filem ini turut mengkritik golongan politikus yang sering disandarkan harapan orang ramai tetapi hanya muncul menjelang pilihan raya untuk menabur janji-janji.

Turut ditunjukkan adalah ragam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini, selain isu birokrasi, masalah sosial remaja, dan krisis bekalan air di Lembah Klang. Jelas Tan, untuk mewujudkan kepelbagaian dalam filem Malaysia, beliau harus mempunyai keberanian untuk keluar dari kebiasaan.

Inisiatif yang dilakukan Kelab Seni Filem Malaysia melalui Kota Wayang ini amat dialu-alukan bagi meningkatkan literasi filem di kalangan rakyat, terutamanya dengan tema seperti Kuala Lumpur yang dapat memberi kefahaman sekaligus menyubur kecintaan kepada negara.


*Disiarkan di Suara Keadilan 400

No comments: