Wednesday, November 07, 2018

Bersediakah Malaysia menuju negara tua menjelang 2030?



Oleh HAIZIR OTHMAN

Salah satu aspek yang diberi perhatian negara-negara maju seluruh dunia adalah bagaimana ia menjaga kebajikan warga tuanya.

Bagi negara-negara seperti Switzerland dan Norway, mereka memberi perlindungan pencen penuh kepada warga berusia 65 tahun ke atas, dan menurut CBS News, dua negara ini menduduki tempat tertinggi dalam ranking negara terbaik untuk diduduki warga tua.

Hakikat bahawa bilangan warga tua semakin meningkat di seluruh dunia memerlukan kita mencari jalan mengurus situasi agar kebajikan golongan ini tidak dikesampingkan.

Taraf hidup yang lebih baik, penurunan kadar kelahiran, kemajuan teknologi perubatan telah membawa dunia kepada satu fenomena baru yang belum pernah dialami sebelum ini - penuaan.

Satu jurnal terbitan Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America (PNAS) menyatakan pada 1960, hanya 9 peratus warga Amerika Syarikat (AS) berusia 65 tahun ke atas.

Fenomena baru

Namun, hanya sedekad selepas itu, angka tersebut berganda, dan pada hari ini buat pertama kali dalam sejarah Amerika, bilangan warga berusia 60 tahun ke atas adalah lebih besar daripada mereka yang berusia 15 tahun ke bawah.

Data dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula menyatakan menjelang 2050, populasi warga berusia 80 tahun ke atas akan meningkat tiga kali ganda kepada 434 juta orang.

Menginsafi hakikat ini, kita di Malaysia tidak mampu berdiam diri dan membiarkan sahaja fenomena ini berlalu tanpa sebarang persediaan. Malah realitinya, kita sendiri sedang menuju 'negara tua' dengan kadar lebih pantas daripada negara-negara maju.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam dokumen Dasar Warga Emas Negara mengunjurkan data PBB (2007) bahawa bilangan warga emas di Malaysia akan meningkat dua kali ganda dari 7 peratus kepada 14 peratus dalam masa 28 tahun. Sebagai perbandingan, Sweden mengambil masa 112 tahun untuk perubahan yang sama.

Dianggarkan menjelang 2030, Malaysia akan menjadi negara tua di mana 15 peratus dari warga negara adalah di kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Persoalan yang timbul adalah, adakah negara sudah bersedia menghadapi fenomena baru ini?

Kaji usia wajib bersara

Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Tengku Aizan Hamid dipetik berkata, Malaysia secara dasar belum bersedia dengan fenomena ini jika diukur dengan faktor-faktor seperti simpanan kewangan, insurans dan pekerjaan, selain penyediaan infrastruktur mesra warga tua yang masih tidak memuaskan.

Beliau yang membangkitkan persoalan tentang umur bersara wajib pada usia 60 tahun menyatakan di negara-negara maju, tidak wujud usia wajib bersara seperti di Malaysia. Jelasnya, ia perlu dikaji semula memandangkan keperluan terhadapnya mulai relevan.

Menyentuh persediaan kewangan, Pengarah Jabatan Strategi dan Prestasi Korporat KWAP, Ismail Zakaria berkata, kajian KWAP-MyAgeing menunjukkan 25 peratus responden mempunyai hutang manakala 23 peratus yang bersara kurang tiga tahun tidak memiliki insurans kesihatan.

Kepentingan memiliki polisi insurans ditegaskan seorang perunding kewangan, Sahrol Fahmi Termizi yang mendedahkan walaupun kesedaran di kalangan masyarakat Malaysia tentangnya sudah meningkat, kadar penembusan di kalangan orang Melayu masih relatif rendah, iaitu sekitar 11 hingga 14 peratus sahaja.

Jelasnya, orang Melayu masih punya persepsi kerajaan akan menanggung belanja kesihatan mereka sepenuhnya. Situasi ini berbeza dengan masyarakat Cina yang kadangkala mempunyai dua atau tiga polisi pada satu masa.

Fahmi menegaskan orang Melayu harus menghentikan sindrom pergantungan kepada kerajaan sebaliknya harus mulai menyediakan pelan kecemasan sendiri, misalnya melalui pengambilan polisi insurans yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan mereka.

Belanjawan mesra warga tua

Dalam perkembangan berkaitan, di pihak kerajaan, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad minggu lalu menerangkan di Dewan Rakyat, kementeriannya sedang merangka skim kesihatan khas bagi golongan B40 di peringkat nasional dengan matlamat memberi pembiayaan penuh.

Skim berinspirasi dari Skim Peduli Sihat yang telah dilaksana kerajaan Selangor selama ini bakal merealisasi hasrat kerajaan Pakatan Harapan membantu rakyat berpendapatan rendah seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu.

Skim yang dinyatakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas baru-baru ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, jelas Dr Dzulkefly, bakal dilancarkan sebagai projek perintis pada tahun 2019.

Terbaru, dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan mengumumkan program Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40 yang akan memberi perlindungan percuma untuk empat penyakit kritikal utama bagi kos sehingga RM8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari, atau bersamaan RM700 setahun, bermula 1 Januari 2019.

Lewat Belanjawan 2019 juga kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi memperkenal Skim Perlindungan Kesihatan (PEKA) dengan projek perintis pelaksanaan saringan kesihatan bagi golongan B40 berumur 50 tahun ke atas melibatkan 800,000 orang.
Insiatif kerajaan

Inisiatif kerajaan

Malah sebenarnya, tanpa mensasar warga tua secara khusus pun, kerajaan komited membantu golongan ini lewat inisiatif-inisiatif baru yang kebanyakannya dirangka menerusi Buku Harapan.

Antara inisiatif yang mendapat sambutan menggalakkan adalah skim i-Suri, Program Sukarela Insentif caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat suri rumah yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Ogos lalu.

Setakat 20 September, seramai 11,562 suri rumah telah mendaftar skim tersebut yang membolehkan mereka mempunyai simpanan asas menjelang usia tua, juga pada saat-saat kecemasan.

Namun di sebalik segala usaha tersebut, masih banyak yang perlu dilaksanakan sebagai persediaan menuju 2030 dan tahun-tahun mendatang. Antaranya melalui pendidikan kesihatan, pembinaan emosi dan mental sejahtera, juga penghayatan nilai moral dan agama.



*Disiarkan di Suara Keadilan 399


No comments: