Wednesday, November 21, 2018
Cukuplah sekali 13 Mei!
Oleh HAIZIR OTHMAN
Dalam Kongres Nasional KEADILAN yang baru berakhir, Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali ada memetik kata-kata mantan presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, "demokrasi adalah proses yang hingar", juga dari mantan perdana menteri Britain, Winston Churchill, "jika tiada musuh dalaman, tiada musuh luar boleh mengancam kamu".
Dalam ucapan sama, beliau memberi jaminan kerajaan Pakatan Harapan tidak tergesa-gesa meratifikasi konvensyen antarabangsa ICERD yang jadi kontroversi sejak akhir-akhir ini, sehingga timbul polemik termasuk gesaan Menteri Perpaduan Negara, P Waytha Moorty meletak jawatan.
Selepas peristiwa bersejarah pada 9 Mei 2018, rakyat negara ini tidak putus-putus berdepan ujian, seperti mahu melihat sejauh mana kebijaksanaan mengurus perubahan yang kita rintis.
Salah satu ujian besar tersebut datang dalam bentuk ICERD, isu yang jika tidak dijawab dengan baik bakal menukar kontroversi ini kepada tragedi; harga yang tidak mampu kita bayar dengan nilai apa sekali pun.
Walaupun kerajaan sudah memberi jaminan konvensyen ini tidak akan diratifikasi, masih wujud tangan-tangan nakal yang cuba mengipas baranya untuk menyala api perkauman dan agama.
Peluang Umno-Pas
Lebih malang, limpahan emosi dari isu ini tidak dibendung malah dibiar berleluasa. Di tangan oportunis, ia dijadikan batu loncatan demi mencapai tujuan politik mereka yang singkat.
Baru-baru ini, berlangsung satu perhimpunan di Pasir Salak menemukan dua parti pembangkang utama negara ini, Umno dan Pas atas satu tujuan sama: menunjuk bantahan kepada ICERD lewat himpunan 8 Disember nanti.
ICERD mungkin ingin dijadikan tali paling kuat mengikat dua parti ini selepas kali terakhir mereka berada dalam satu gabungan kira-kira empat puluh tahun lalu di tangan Datuk Asri Muda.
Secara terus-terang malam itu, presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mempelawa Pas untuk 'bercantum' dengan menggunakan alasan perpaduan bangsa dan agama.
Tanpa mempedulikan hasrat kedua-dua pihak yang 'malu tapi mahu' untuk bergabung itu, sebarang matlamat politik mereka tidak sepatutnya cuba menggoncang kestabilan hubungan antara kaum yang telah lama wujud di negara ini.
Mahu cetus '13 Mei'
Namun, melihat sikap pimpinan kedua-dua parti, nyata mereka menunggang isu ini untuk meniup api perkauman. Lihat sahaja apa yang dikongsi Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria di laman Facebooknya sejak akhir-akhir ini; dia boleh dikira bernasib baik tidak ditahan di bawah SOSMA yang kini sedang dikaji kerajaan untuk dipinda.
Tidak mustahil keinginan mereka adalah mencetuskan semula peristiwa hitam 13 Mei 1969, yang disifatkan Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Rais Hussin, jadi motivasi mereka sebelum berlangsungnya PRU-14 yang lalu.
"Motivasi Umno dan Pas adalah membangkitkan hantu rusuhan 13 Mei yang menyaksikan insiden terburuk negara. Jika rancangan ini berjaya, peratusan keluar mengundi akan rendah, sekaligus mengimbangi tsunami Melayu dan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan beliau merujuk rancangan Umno-Pas meletak tarikh PRU-14 lalu pada 13 Mei 2018, dengan niat menakut-nakutkan rakyat atas tragedi yang berlaku pada tarikh sama 49 tahun lalu. Namun rencana itu gagal kerana ia jatuh pada hari Ahad yang boleh mencatat kadar tinggi keluar mengundi.
Pemikiran buruk sebegini lahir dari ejen-ejen provokasi yang menurutnya, wujud dan berkeliaran di alam maya (dan nyata). Sebagai sebuah negara yang masih 'muda dan rapuh', kestabilan Malaysia boleh terjejas hanya dengan satu usikan batu api Lokman Adam dari Pemuda Umno, misalnya.
Bukan isu politik
Lebih ekstrem ialah ucapan Penasihat Gagasan Tiga, Azwanddin Hamzah yang mengatakan "rindu dengan 13 Mei dan darah bangsa DAP" baru-baru ini. Azwanddin telah pun dipanggil polis untuk memberi keterangan.
Mahu tindakan lebih tegas diambil terhadap golongan seperti ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Kandis, Ustaz Zawawi Mughni berkata sudah sampai masanya pihak keselamatan campur tangan dan mengambil tindakan sepatutnya.
"Kalau tengok di media sosial, video-video yang disebarkan menimbulkan keresahan kepada kaum lain. Ada yang mencabar, membuat provokasi melampau. Ini bukan lagi isu politik tapi isu keganasan yang perlu dibanteras segera."
"Pemikiran ekstrem seperti mahu 13 Mei terjadi semula sangat bahaya dan perlu dibanteras. Kita sedang mempromosi semangat Malaysia Baru. Sepatutnya ada program-program untuk pupuk semangat persaudaraan antara rakyat," katanya kepada Suara Keadilan.
Tambahnya, apabila wujud kelompok radikal seperti ini, mereka harus diamankan atau diberi pengasingan sementara supaya tidak menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Ada-adakan isu
Zawawi yang juga pengetua maahad tahfiz bimbang isu ini dimanipulasi sehingga boleh mempengaruhi penduduk luar bandar untuk mengangkat senjata dan merusuh.
Beliau walaubagaimanapun menaruh keyakinan kepada pasukan keselamatan yang mempunyai kepakaran tersendiri berdepan isu sebegini yang turut diambil kesempatan oleh pihak pembangkang. Pengalamannya turun berjumpa masyarakat menunjukkan tidak timbul isu yang dikecoh-kecohkan itu.
"Yang berfikiran keras dan radikal ini tidak ramai. Namun apabila ada yang cuba jadi hero, maka mereka harus diasingkan sementara untuk lihat apa niat dia, adakah betul nak berjuang, atau nak meraih populariti," ujarnya.
Zawawi tidak menolak isu ini sengaja diada-adakan pihak pembangkang bagi menunjukkan ada sesuatu yang mereka perjuangkan.
*Disiarkan di Suara Keadilan 402
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment