Ketika mula memperkenalkan penggunaan enjin biodiesel berasaskan kelapa sawit pada tahun 2011 pada kadar adunan B5, selepas Dasar Biobahan Api Negara digubal lima tahun sebelumnya, kita mungkin masih agak perlahan dalam memacu industri ini walaupun potensinya diketahui cukup besar.
Malah kita telah ketinggalan jauh di belakang negara jiran, Indonesia yang pantas memajukan industri ini sejak tahun 2006 dengan memulakan penggunaan biodiesel B2.5, sebelum bergerak kepada penggunaan B20 dalam tempoh hanya sepuluh tahun.
Menjelang 2020, negara republik itu bakal menggunakan B30 apabila kita di sini masih tersekat di peringkat B7 dan sedang berusaha meningkat ke peringkat B10, walaupun cadangannya sudah timbul sejak 2015 lagi.
Untuk rekod, angka di sebelah huruf B mewakili peratusan kandungan biodiesel sawit, dengan bakinya adalah peratusan diesel petroleum.
Terdapat beberapa faktor yang dipercayai menghalang kemajuan Malaysia dalam penggunaan bahan api mesra alam itu antaranya krisis keyakinan para pengeluar kenderaan, desakan persatuan selain keinginan politik pemerintah.
Wartawan automotif, Jonathan Lee menyatakan pengeluar kereta mewah seperti BMW enggan menggunakan biodiesel B10 atas alasan ia "berpotensi mengakibatkan kerosakan enjin pada masa akan datang".
Krisis keyakinan
Dakwaan ini walaubagaimanapun dinafikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang telah melaksanakan siri ujian bahan apinya sejak 1986 sehingga 2013 melibatkan pelbagai jenis kenderaan, menunjukkan tiada kesan ketara biodiesel kepada prestasi enjin.
Krisis keyakinan ini disentuh Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat minggu lalu. Beliau yang kesal dengan situasi ini berkata, masalah serupa tidak berlaku di Indonesia walaupun mereka menggunakan biodiesel pada kadar lebih tinggi daripada kita di sini.
Hakikat itu walaubagaimanapun sebenarnya disokong oleh langkah pihak berkuasa Indonesia yang mewajibkan penggunaan biodiesel tempatan.
Bemula September lalu, kerajaannya mewajibkan penggunaan biodiesel B20 bagi menyerap kesan kenaikan harga minyak mentah, selain krisis mata wang rupiah yang mencatat nilai terendah sejak 20 tahun lalu.
Melihat ke hadapan, dasar pragmatik tersebut mungkin boleh kita contohi memandangkan iklim ekonomi dan politik hampir sama yang dikongsi antara dua negara berjiran ini.
Terlepas peluang
Malah, tindakan perlahan (yang ditandai kelemahan pentadbiran terdahulu) ini mendapat kritikan pakar ekonomi serantau khususnya dalam bidang minyak sawit.
Pemilik dan pengasas Palm Oil Analytics (POA) yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata, Malaysia seharusnya memanfaatkan kekuatannya dalam eksport biodiesel selain lebih agresif dalam melaksanakan penggunaan biodiesel B10.
"Malaysia bukan sahaja terlewat, malah terlepas peluang sejak April lalu apabila harga minyak sawit mentah (CPO) lebih murah daripada minyak gas (diesel)," kata Varqa seperti dipetik theedgemarkets.com.
Walaubagaimanapun, pengumuman kerajaan melalui Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng minggu lalu sekurang-kurangnya meredakan keresahan ini apabila Malaysia bakal meningkatkan kadar adunan minyak biodiesel kepada B10 untuk sektor pengangkutan, dan B7 untuk sektor industri di seluruh negara.
Pengumuman tersebut walaupun secara relatifnya masih dikira agak lewat (berbanding Indonesia), ia tetap satu lonjakan baru dalam industri kelapa sawit negara yang statik sejak beberapa tahun lalu.
Melihat ke hadapan, langkah kerajaan tersebut tidak seharusnya berhenti setakat itu. Seorang pemain industri yang enggan dikenali berkata adalah wajar untuk Malaysia meletakkan sasaran seterusnya pada tahap penggunaan 15 peratus pula. Memetik theedgemarkets.com, langkah ini katanya boleh mengelakkan simpanan stok minyak sawit kita berlebihan, mencecah sehingga tiga juta tan dalam tempoh terdekat.
Pengeluaran, eksport meningkat
Selari dengan perkembangan ini, pengeluaran dan eksport biodiesel Malaysia ternyata mencatat peningkatan tahun ini berbanding tahun lalu dengan peningkatan dianggar sebanyak dua kali ganda. Jelas Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia, U R Unnithan, harga minyak gas yang tinggi menyebabkan daya tarikan terhadap biodiesel semakin kuat.
Beliau malah percaya pengeluaran biodiesel mampu mencecah 900,000 tan, dan eksport 475,000 tan jika perbezaan harga semasa antara minyak sawit mentah dan minyak gas kekal, sekaligus bakal merekod paras tertinggi bagi Malaysia.
Untuk rekod, berdasarkan data tempatan, pengeluaran biodiesel Malaysia pada tahun 2017 adalah sebanyak 720,410 tan, manakala eksport sebanyak 235,291 tan.
Melihat kepada perkembangan terbaru lewat pengumuman kerajaan meningkatkan kadar biodiesel kepada 10 peratus, Unnithan optimis Malaysia mampu mengeluarkan sehingga 1.2 juta tan biodiesel pada tahun 2019, dengan syarat harga minyak mentah tidak berubah.
Peningkatan pengeluaran bermakna pasaran eksport biodiesel harus diteroka lebih luas agar simpanan stok tidak berlebihan. Dalam hal ini, Teresa Kok berkata di Dewan Rakyat kerajaan sedang memperkukuh pasaran eksport sedia ada di China melalui perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Tsinghua di Beijing sempena lawatan Perdana Menteri ke Republik Rakyat China Ogos lalu.
Kerjasama dengan China
MoU itu, katanya, akan menggalakkan penggunaan biobahan api berasaskan sawit Malaysia di China pada skala lebih besar dan tahap lebih tinggi melalui perkongsian maklumat dan teknologi antara Palm Oil Research and Technical Service Institute of MPOB (PORTSIM) di Shanghai dengan Universiti Tsinghua di Beijing.
Penerokaan pasaran di negara kuasa besar ekonomi seperti China amat penting bagi sebarang industri di Malaysia, termasuklah biodiesel, apatah lagi melibatkan perjanjian antara kerajaan.
Di peringkat domestik, penembusan penggunaan biodiesel seharusnya difikirkan kerajaan untuk menjadikannya lebih luas dan tidak tepu pada takat tertentu.
Sektor pengguna harus diberi perhatian terutama dalam meyakinkan masyarakat untuk beralih kepada biodiesel dari minyak gas bagi kenderaan mereka. Jika ini dapat dilakukan, industri biodiesel tempatan bakal mendapat lonjakan besar.
Seterusnya, kebajikan para pekebun kecil kelapa sawit yang jadi tulang belakang industri ini harus diberi perhatian. Pengumuman Menteri Kewangan bahawa sebanyak RM30 juta diperuntukkan kerajaan bagi membantu golongan ini mendapatkan pengiktirafan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (Malaysian Sustainable Palm Oil, MSPO) merupakan berita baik yang ingin kerap kita dengar.
*Disiarkan di Suara Keadilan 399

No comments:
Post a Comment