Wednesday, November 07, 2018

Bank Makanan inisiatif KPDNHEP atasi pembaziran


Oleh HAIZIR OTHMAN, SYAZWANI SUFIAN

Isu pembaziran makanan di seluruh dunia masih belum diatasi secara tuntas. Ia berkait penghasilan makanan secara berlebihan oleh syarikat-syarikat gergasi pertanian yang berorientasi keuntungan tanpa memikirkan kesan langsung kepada alam sekitar. Juga penerokaan tanah-tanah baru secara agresif untuk tujuan ini.

Pada masa sama, di bahagian lain dunia, terdapat kanak-kanak, warga tua dan wanita yang tidak mendapat bekalan makanan berkhasiat, atau kebuluran sama sekali. Dua situasi ini jadi paradoks dalam isu bekalan makanan global, dan usaha merapatkan jurang antara keduanya kedengaran utopia.

Tabung Hidupan Liar Dunia Untuk Alam Sekitar (Word Wildlife Fund for Nature, WWF) mengunjurkan di seluruh dunia, manusia membazirkan satu daripada setiap tiga kalori makanan yang dihasilkan. 

Jumlah ini cukup untuk menampung keperluan makanan tiga bilion manusia - sepuluh kali ganda bilangan penduduk Amerika Syarikat, dua kali ganda populasi China, dan lebih tiga kali ganda bilangan manusia yang tidak dapat makanan berzat di seluruh dunia. 

Data sama menunjukkan makanan terbazir mewakili lapan peratus pengeluaran gas rumah hijau global, selain jadi penyumbang utama pembasmian hutan dan penyusutan sumber air, berita cukup buruk buat planet Bumi.

Isu serupa turut kita hadapi di sini. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) tiga tahun lalu melaporkan rakyat Malaysia menghasilkan lebihan 15,000 tan makanan setiap hari, dan bilangan itu terus meningkat.


Serampang dua mata

Menyedari langkah perlu diambil bagi mengurangkan makanan terbazir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan satu inisiatif mampan dikenali sebagai Bank Makanan Malaysia (Food Bank Malaysia).

Melibatkan pasaraya-pasaraya di bawah kelulusan kementerian seperti Aeon, Tesco, Giant, Pasaraya Lukluk dan TF Value Mart, serta mendapat kerjasama rakan-rakan strategik KPDNHEP seperti Food Aid Foundation, Kechara Food Kitchen, dan Persatuan Tukang Masak Malaysia, program ini harus jadi satu batu loncatan menuju pembaziran sifar.

Melalui insiatif ini, golongan peruncit diseru mengawal lebihan makanan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalur lebihan makanan kepada golongan sasar. Dengan ini, jelas Setiausaha Sulit KPDNHEP, Mohamad Hisomuddin Bakar, program ini punya strategi serampang dua mata.

Menjawab kebimbangan kualiti makanan yang disalurkan, beliau berkata makanan yang terlibat bersifat harian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, kek dan roti. Jelasnya, ia tidak rosak atau menghampiri tarikh luput, cuma kesegarannya sudah berkurang.

"Barangan seperti ini tidak boleh disimpan lama. Apabila tidak habis dijual ia perlu dilupuskan walaupun masih elok. Itulah tujuan program ini, mengurang lebihan makanan," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, peruncit memainkan peranan dengan menyerahkan lebihan makanan yang tidak habis dijual kepada rakan strategik iaitu Food Aid Foundation, Kechara Food Kitchen yang bertanggungjawab memeriksa semula makanan tersebut dari segi kualiti, selain membasuh, menyusun dan membungkus semula untuk diserahkan kepada penerima yang layak.


Manfaat warga miskin

Jelasnya, para penerima akan dikenalpasti melalui data kerajaan dari eKasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), golongan Orang Kelainan Upaya dan ibu tunggal sebelum diserahkan kepada pihak-pihak terlibat seperti pejabat ahli parlimen, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan sebagainya.

Bekas Pengarah Eksekutif Ilham Centre itu juga menggalakkan orang ramai yang berminat untuk turut serta dengan kementerian dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

Difahamkan program Bank Makanan ini bakal memberi manfaat kepada 186,354 isi rumah berpendapatan kurang daripada RM930 sebulan, dan kini telah pun dijalankan di beberapa negeri antaranya Wilayah Persekutuan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, dan Kelantan.

Ketika merasmikan pelancaran program ini di peringkat negeri Kelantan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia akan dilaksanakan melalui dua fasa; iaitu fasa pertama melalui pelaksanaan projek perintis yang dimulakan pada Ogos sehingga Disember 2018, manakala fasa kedua yang lebih menyeluruh bermula Januari tahun hadapan.

Pada masa sama, Hisomuddin berkata, kementerian juga kini dalam perancangan untuk memulakan Projek Dapur Berpusat (Central Kitchen) melibatkan bidang perhotelan dan kini telah mengorak langkah di Pulau Pinang.

Modus operandinya adalah dengan menghantar makanan bufet hotel yang tidak habis (namun masih elok) setelah disejuk beku ke dapur pusat, sebelum dihantar kepada penerima. Persatuan Chef Malaysia pula berperanan mengurus dan melatih para pengendali makanan ini.


Jimat RM50 sehari

Menurut Hisomuddin, sumbangan buah-buahan, sayur-sayuran, roti dan makanan-makanan lain secara tidak langsung dapat membantu para penerima berjimat dari RM30 ke RM50 sehari.

Mengulas inisiatif berkenaan, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Federation of Malaysian Consumers Associations, FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ia satu langkah berkesan dan penting dalam mengatasi masalah pembaziran makanan di negara ini.

Mengakui usaha-usaha sebegini sebelum ini hanya dijuarai NGO-NGO tertentu, beliau menyambut baik langkah ini sambil menyifatkannya akan jadi lebih berkesan dengan penglibatan kerajaan persekutuan sendiri.

"Daripada kita membazir dan membuang makanan, adalah lebih baik ia diberi kepada golongan B40 khususnya, mahupun gelandangan kerana sebelum ini ia hanya dilaksanakan di peringkat NGO."

"Namun apabila kini persekutuan sendiri membuka ruang ini dengan kerjasama pasaraya besar maka keberkesanan program ini akan lebih baik," katanya kepada Suara Keadilan.


*Disiarkan di Suara Keadilan 399

No comments: