Sebagai pertubuhan yang bertanggungjawab terhadap lebih 9 juta belia di negara ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) berdepan tugas berat. Persepsi lama yang masih mengakar walaupun selepas kerajaan berubah menyukarkan lagi badan berusia 70 tahun itu berperanan. Presidennya, Jufitri Joha menceritakan 'pergelutan' MBM merungkai isu-isu belia termasuk pertubuhan belia, ekonomi gig, TVET dan lain-lain kepada Sub Editor Suara Keadilan, Haizir Othman dan wartawan, Nur Fazlin Nadhirah bersama-sama jurugambar, Yuisriah Yusuf di Wisma MBM baru-baru ini.
SK: Persepsi yang ada pada MBM ialah rapatnya ia dengan parti dan kerajaan sebelum ini. Bagaimana murnikan pandangan ini?
Jufitri: Bila kita ambil-alih kepimpinan, kita ubah sedikit pendekatan, sebab MBM dalam Akta 668 adalah suara kepada semua belia. Jadi kita lebih inklusif, mana-mana kumpulan yang panggil kita raikan termasuk baru-baru ini kita terima kunjungan dari AMK (Angkatan Muda Keadilan) Wilayah Persekutuan. Kita alu-alukan semua.
Kita cuba untuk seimbangkan dalam kepimpinan. Dalam jawatankuasa MBM sekarang, majoritinya tak berparti. Ada 11 penyokong BN, dan 3 pro-Pakatan Harapan. Kelihatan ia mula seimbang. Kita cuba gariskan semula MBM supaya fokus betul-betul kepada pembangunan belia, berbanding politik kepartian.
Berbanding keseluruhannya 30 orang dalam jawatankuasa, pendirian kita masih kuat dan kita didik ahli kita - tak mengapa, politik adalah pendirian masing-masing yang kita hormati, asalkan rasional dan tidak ekstrim. Selain perlu sedar bahawa kita berkhidmat kepada kerajaan semasa. Kalau nak kritik kerajaan pun kritik dengan fakta, tidak guna kata-kata kesat.
Cabaran kita sekarang ini apabila imej lama itu masih kuat. Mereka masih anggap MBM seperti dulu lagi dan persepsi lama masih menebal. Bagi orang yang tidak kenal saya mungkin akan anggap saya Umno. Itu yang sedang perlahan-lahan kita bawa ke arah lebih terbuka, bawa idea reformasi, idea pengurusan pentadbiran yang baik, tidak ada ketirisan dan lain-lain.
SK: Dari segi pentadbiran dan cara bergerak, MBM memilih terikat dengan kerajaan, pro parti tertentu atau bebas?
Jufitri: Idea terbaik adalah kita berkhidmat kepada kerajaan semasa tapi pada masa yang sama kita tidak boleh terikat sangat dengan orang politik atau orang kerajaan. Ini supaya MBM boleh mainkan peranan sebagai kuasa ketiga yang mengimbangi antara kuasa kerajaan dengan pembangkang. Kita kekurangan tenaga itu dan peranan inilah yang sedang kita mainkan.
Kita ada tanggungjawab bukan hanya kritik tetapi sama-sama jayakan program, termasuklah menjayakan manifesto kerajaan Pakatan Harapan kerana kita adalah badan yang bekerjasama dengan kerajaan. Bukan hanya kritik secara konstruktif tetapi bantu agenda pembangunan belia.
Namun secara realitinya, kita tetap perlu pandai bersiasah, tidak terlalu naif atau idealis agar tidak sampai diremehkan (oleh politikus) atau tidak dipedulikan. Praktikalnya, kita perlu realistik dan bersikap akomodatif, pandai sesuaikan diri tapi dalam masa yang sama kena ada prinsip.
Ekonomi gig
SK: Ekonomi gig sedang menggantikan bentuk ekonomi konvensional pada hari ini. Sektor pekerjaan konvensional semakin mengecil. Adakah kerajaan, golongan pekerja terutamanya anak muda bersedia dengan perubahan ini?
Jufitri: Saya rasa generasi muda sudah bersedia, cuma pada masa sekarang mereka bekerja dalam bidang ini bukanlah sebagai pekerjaan utama tetapi lebih untuk menambah pendapatan.
Dalam konteks umum, kita belum lagi menjadikan ekonomi gig sebagai alternatif.
Yang kedua, umumnya ekosistem tidak mendukung kerana kita masih bergelut dengan pendapatan yang tidak mencukupi. Tapi secara mikro, bila kita kaitkan dengan karakter generasi Z dan Y, mereka lebih suka dengan ekonomi gig ini kerana tidak suka terikat dengan kerja secara tetap, sesuai dengan gaya hidup mereka.
SK: Bagaimana dengan jaminan kerana ia tidak tawarkan skim seperti potongan KWSP, Perkeso dan lain-lain?
Jufitri: Baru-baru ini saya dengar kerajaan setuju untuk regulasikan ekonomi gig ini dan kita sambut baik. Isu besar di sini adalah sekuriti sosial, jaminan untuk masa depan dari segi wang persaraan pada usia tua, insurans dan sebagainya. Kita sambut baik jika kerajaan boleh fikirkan untuk sambut ekonomi gig ini sesuai dengan generasi akan datang dan mengawalnya secara undang-undang.
SK: California luluskan undang-undang iktiraf penggiat ekonomi gig sebagai pekerja, bukan sebagai kontraktor bebas. Perlukah kita contohi?
Jufitri: Resam dan asas ekonomi gig ini adalah fleksibiliti kerana anak muda boleh bekerja, pada masa sama buat benda yang mereka suka. Kita juga sedang meneliti cadangan universal basic income (pendapatan asas sejagat). Sekurang-kurangnya kalau boleh dimasukkan dengan elemen pendapatan asas ini supaya ada jaminan awal dan sekuriti sosial kepada generasi muda. Fleksibel dan ada jaminan, dan membolehkan mereka mempunyai simpanan jika berlaku kecemasan. Mungkin kerajaan boleh fikirkan.
SK: Berdepan IR 4.0, di mana robot dan sistem automasi mengambil-alih tugas manusia, mengecilkan lagi sektor pekerjaan. Bagaimana anak muda berdepan situasi ini?
Jufitri: Saya yakin akan muncul pekerjaan-pekerjaan lain walaupun kita akan kehilangan beberapa pekerjaan yang berkaitan dengan kecerdasan buatan dan robotik. Saya yakin pada masa depan pekerjaan-pekerjaan baru khususnya berkaitan dengan kemanusiaan akan timbul.
Sebagai contoh, kita akan berhadapan dengan penyakit mental yang merupakan penyakit kedua yang membunuh paling tinggi selepas sakit jantung, jadi akan banyak perlukan pekerjaan dalam kemanusiaan, contohnya pekerja sosial yang robot tidak boleh ambil alih.
Di UK, pekerja belia merupakan pekerja sepenuh masa yang membimbing anak muda, dan ini merupakan profesyen yang penting. Memang banyak pekerjaan yang akan hilang selepas kemunculan robot dan sebagainya tetapi akan muncul peluang pekerjaan yang lebih banyak berdasarkan kemanusiaan. Ada juga pekerjaan sebagai streamers e-game, pengulas sukan elektronik yang tidak pernah wujud sebelum ini.
SK: Inisiatif kerajaan lewat Belanjawan 2020 untuk cipta peluang pekerjaan baru. Pada era kuasa kerajaan semakin tercabar oleh kuasa perniagaan korporat, bolehkah sasaran ini direalisasikan?
Jufitri: Walaupun kerajaan bertanggungjawab mewujudkan peluang pekerjaan tetapi bagi saya kita kena didik anak muda supaya menjadi job creators (pencetus pekerjaan). Kita galakkan supaya ada ekonomi kreatif di mana anak muda mencipta peluang pekerjaan mereka sendiri.
MBM juga menggalakkan keusahawanan termasuk keusahawanan digital. Terima kasih kepada kerajaan kerana memperuntukkan sejumlah dana kepada keusahawanan digital dan menghakupayakan MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation) dengan sejumlah dana untuk galakkan keusahawanan digital.
Ambil contoh Alina Morse pengasas Zollipops, jadi jutawan sejak usia 13 tahun dengan berfikiran kreatif, cipta lolipop yang boleh dimakan tanpa merosakkan gigi dan kesihatan. Kita nak galakkan anak muda ke arah itu.
TVET, Nurul Izzah
SK: Ini yang sedang diusahakan kerajaan sekarang melalui TVET. Komen saudara?
Jufitri: Isunya adalah penyelarasan. Untuk TVET sahaja ada lapan kementerian terlibat, dan apabila Nurul Izzah letak jawatan (sebagai Pengerusi Jawatankuasa TVET), ia seperti kehilangan 'tauke'. Kami kecewa juga kerana Izzah sendiri sudah hubungi MBM untuk kami terlibat dengan jawatankuasa penyelarasan ini. Mungkin kita kena rayu semula, cadang agar Izzah fikirkan semula untuk terima jawatan tersebut kerana ia penting untuk penyelarasan dan sifatnya yang merentas kementerian. Sekarang saya tidak nampak agresifnya jawatankuasa ini.
Sekarang, Kementerian Sumber Manusia kena ketuai dan MBM pun terlibat dalam mesyuarat dengan YB Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia) untuk kita gandakan usaha agenda TVET ini di kalangan belia Orang Asli, sebab kita ada Majlis Belia Orang Asli yang bergabung dengan MBM.
Kedua, persepsi ibu bapa masih menganggap TVET sebagai pilihan kedua. Tahniah kepada Menteri Pendidikan kerana mengangkat TVET sebaris dengan akademik dan tekankan di banyak tempat bahawa TVET sepatutnya menjadi pemacu kepada ekonomi negara. Di Jerman, 70 peratus ekonominya digerakkan oleh TVET.
Ketiga, saya lihat dana PTPK (Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran) harus dipertingkatkan agar setaraf dengan PTPTN. YB Azmin Ali (Menteri Hal-Ehwal Ekonomi) sebut kita hanya ada 27 peratus tenaga mahir di Malaysia. Secara agresif untuk tingkatkan ke tahap lebih tinggi, tabung PTPK perlu dipertingkatkan tahun ke tahun. Saya difahamkan peruntukannya RM50 juta sahaja tahun ini.
SK: Berdepan situasi ini, adakah kita perlu terus jadi pengguna kepada sistem atau sebaliknya meneroka kandungan tempatan yang orang lain tiada, contohnya melalui industri kreatif atau seni seperti ukiran kayu dan besi, bot tradisional Terengganu dan lain-lain?
Jufitri: Saya setuju untuk kita angkat kekuatan kandungan tempatan (local content) supaya itu kita boleh juarai. Cabarannya ialah bagaimana kita boleh angkat nama Malaysia dengan produk-produk tadi. Saya cadangkan kerajaan kaji strategi bagaimana K-pop boleh menguasai dunia agar budaya dan produk kita juga boleh menguasai dunia.
Inilah keutamaan kita yang saya sebut dalam Konvensyen Belia Sabah baru-baru ini tentang bagaimana kita mahu bantu kerajaan supaya kita boleh jual produk dari budaya tempatan kita. Termasuk produk-produk TVET untuk kita mendominasi dunia luar.
Di Korea, tujuan asalnya adalah untuk menyelesaikan isu ekonomi. Mereka gunakan kebudayaan untuk lonjak ekonomi mereka dan akhirnya berjaya. Kumpulan pop BTS sudah menjadi antara penyumbang utama kepada KDNK Korea. Saya setuju sudah sampai masanya kita fikirkan untuk rangka agenda besar kebudayaan.
Sekarang fokus kita untuk stabilkan politik sebelum beralih kepada agenda yang lebih besar, bagaimana nak jadikan Malaysia ini daripada middle power (kuasa sederhana) kepada great power (kuasa besar), dan bagaimana kita nak tawan dunia dengan agenda-agenda yang progresif seperti ini.
SK: Antara peluang pekerjaan dengan bilangan graduan masih ada lompong, tiada titik temu antara keperluan majikan dengan kemahiran graduan, menyebabkan kadar pengangguran tinggi. Bagaimana hubungkan dua titik ini? Bersediakah MBM jadi pemudah cara?
Jufitri: Memang ini peranan yang kita mainkan selama ini, tapi sebelum itu kita kena kritik dulu - universiti tidak seharusnya mengikut industri setiap masa kerana ia akan melunturkan prinsip pendidikan itu sendiri. Sebagai contoh, kita sudah hilang sikap budaya ilmu kerana terlalu berorientasikan pasaran dan industri. Jadi, teras pendidikan untuk memanusiakan manusia itu sudah hilang.
Kita tak nafikan bahawa belajar ini perlu untuk dapatkan pekerjaan, tapi kita kena betulkan niat dulu. Pertama, kena dapatkan redha Allah dan ilmu. Kedua, baru dapat kerja. Memang kita main peranan untuk mengurangkan mismatch (ketidakpadanan).
Kita pernah buat program Smart Tech, di mana kita latih anak muda selama tiga minggu dengan soft skill (kemahiran insani) dan juga spiritual. Kemudian kita tempatkan mereka di kilang yang mahu ambil bekerja secara terus. Jadi dia dapat ilmu, insentif dan terus bekerja. Namun harus diingat, kita harus fleksibel. Jangan fikir kalau kita belajar bidang tersebut, maka bekerja pun akan masuk bidang itu.
Bila saya baca buku The Fuzzy and the Techie, penulisnya, Scott Hartley sebut yang menguasai Lembah Silikon sekarang ini di Amerika Syarikat adalah pelajar-pelajar sastera bukannya ICT. Jadi kita kena ubah minda mahasiswa; tak semestinya dia ambil bidang sejarah, dia perlu kerja dalam bidang itu atau menjangka bidang tersebut tiada masa depan.
Pelajar-pelajar sastera sepatutnya lebih kreatif. Contohnya, kampus-kampus yang aktif pun adalah seperti di UM, UKM yang asasnya sastera berbanding kampus-kampus lain. Dan kebiasaannya mereka akan mengisi kepimpinan di mana-mana peringkat.
Sebab itu kena ada pemikiran kreatif untuk mengadaptasi apa yang dipelajari dalam bentuk praktikal dan mendatangkan kebaikan.
*Disiarkan di Suara Keadilan 429
No comments:
Post a Comment