Sunday, November 17, 2019

PRK Tanjung Piai: 'CEO' perlu bertanggungjawab - Wong Chen



Oleh HAIZIR OTHMAN

Kekalahan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam boleh diletakkan kesalahannya kepada prestasi sebahagian menteri atau sesetengah penjawat awam yang enggan bekerjasama, kata Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, tapi dalam semua organisasi, orang paling bertanggungjawab adalah CEO.

Menulis dalam statusnya di laman sosial, bekas Ahli Parlimen Kelana Jaya itu memaksudkan 'CEO organisasi' tersebut adalah Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

"Kita mungkin boleh menyalahkan prestasi sebahagian menteri, atau sesetengah penjawat awam yang tidak memberi kerjasama, tapi dalam setiap organisasi, CEO  -lah yang paling bertanggungjawab. Jadi, bahagian terbesar kesalahan harus diletakkan di bahu Dr Mahathir."

"Pada pandangan saya, perdana menteri harus sedar beliau mesti mempunyai perancangan baru segera. Oleh itu, beliau mesti mempertimbangkan reformasi total atau berdepan risiko kehilangan kekalahan demi kekalahan," katanya.

Menurutnya, adalah amat mengecewakan apabila selepas 18 bulan HARAPAN memerintah, tidak wujud reformasi parlimen yang bersistem. Kuasa berlebihan perdana menteri juga jelasnya, masih tidak dikurangkan sementara pemisahan kuasa yang merupakan tunjang demokrasi masih belum terlaksana.

Wong Chen turut menyentuh keadaan ekonomi yang masih statik apabila para pelabur walaupun punya modal dan hasrat untuk melabur, namun teragak-agak akibat ketiadaan pelan peralihan kuasa yang jelas.

"Juga tiada langkah konkrit untuk mengatasi kos sara hidup yang tinggi: selain masih wujud monopoli, oligarki terhadap pemberian 5,000 AP barang-barang pengguna," katanya.

PRK Tanjung Piai yang berlangsung semalam menyaksikan HARAPAN tewas dengan majoriti besar apabila calonnya, Karmaine Sardini dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tewas kepada calon MCA, Wee Jeck Seng dengan majoriti 15,086 undi.


No comments: