Oleh HAIZIR OTHMAN
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mungkin tidak mengalami perubahan signifikan selepas lebih setahun Malaysia Baru, walau ia antara institusi yang turut mengalami perubahan tampuk kepimpinan seperti yang berlaku di badan-badan kerajaan seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), malah Tabung Haji dan Felda.
Walau pengumuman pemegang jawatan-jawatan utamanya dinanti-nantikan khalayak sastera dengan penuh minat pada hari-hari awal selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu, ia akhirnya mengecewakan apabila mendapati individu yang menduduki kerusi Ketua Pengarah dan Pengerusi Lembaga Pengelola tidak dilihat sebagai watak yang mampu mengeluarkan DBP daripada daerah dorman, mandom, dan banal.
Buktinya, selepas setahun empat bulan pakar perubatan psikiatri, Dr Mohamed Hatta Shaharom dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola dan sebelas bulan selepas Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Abang Salehuddin Abang Shokeran menduduki kerusi Ketua Pengarah badan bahasa tersebut, DBP dilihat masih tidak keluar daripada 'tempurung' yang mengurung dunia kecilnya.
Harapan melihat badan yang pernah gah menjulang bahasa Melayu lewat dekad 70-an dan 80-an ini sekurang-kurangnya mencapai separuh daripada apa yang pernah dicapainya pun mungkin agak terlalu besar kerana untuk membersihkan ia daripada budaya buruk yang sudah meresap jauh ke dalam badan ini seperti hampir mustahil berlaku.
Program 'kelakar'
Hakikat ini diakui seorang staf Dewan sendiri - tentang bagaimana institusi yang punya sejarah panjang pemartabatan bahasa dan budaya Melayu sejak sebelum Merdeka ini akhirnya hanya jadi 'lubuk' pihak berkepentingan demi manfaat mereka sendiri sejak 'dulu, kini, dan selamanya'.
"Skrip yang sama, (cuma) pemeran yang berbeza," katanya dengan nada kesal.
Kekesalan tersebut disandarkan kepada satu program anjuran DBP dan Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia (IQ Malaysia) awal bulan ini, Malam Puisi dan Irama: Air Mata Watanku bertempat di Auditorium DBP, Kuala Lumpur.
Membariskan lima orang Sasterawan Negara (SN) untuk menyampaikan puisi juga syair, pelaku utama dalam program itu walau bagaimanapun bukanlah mereka, sekurang-kurangnya berdasarkan susun atur gambar dalam poster acara.
Sebaliknya pelaku utamanya adalah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramle, seorang lagi tokoh agamawan, Abdul Razak Muthalib selain Dr Hatta Shaharom sendiri dan penyampai televisyen, Amin Idris selaku pengacara bersama.
"Program ini pada saya kelakar," kata staf tersebut. Apabila ditanya apa tujuan program ini dilaksanakan, beliau hanya menjawab ringkas, "entah!".
'Kepelikan' program ini boleh dilihat daripada tajuknya sendiri, "Air Mata Watanku" yang tidak diketahui asasnya kecuali mungkin boleh dikaitkan dengan program seperti Kongres Maruah Melayu anjuran empat buah universiti bulan lalu, atau lebih jauh, Himpunan Perpaduan Ummah tajaan Umno dan Pas bulan sebelumnya yang membawa kepada pembentukan Muafakat Nasional antara kedua parti itu.
Hadir 'tanpa usir'
Apakah yang 'ditangisi' watan seperti dakwa program ini? Tanpa mahu mempersoalkan kebebasan beracara dalam sebuah negara demokrasi, 'suara' program ini walau bagaimanapun mirip dakwaan pembangkang lewat agenda kononnya Melayu tertindas, atau agama Islam terancam di Malaysia selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil-alih teraju pemerintahan negara pasca PRU-14 lalu.
Dari skrin telefon pintar, malam itu Dr Mohd Asri membacakan sajak yang baru disiapkannya tengah hari itu bertajuk "Watan Ini Ada Warisan" membayangkan ancaman dari 'mereka' yang melaungkan: "watan ini tiada jenamanya, tiada adat yang terpahat, tiada budaya yang dicerna, tiada agama yang dijaga, tiada bahasa yang ibunda".
Baris-baris seterusnya dari sajak beliau berbunyi:
bisikku, janganlah begitu wahai orang baru
berilah sedikit penghormatan
kepada empunya sejarah tumpah darah bumi bertuah
kalian hadir kami terima tanpa usir
Pada baris-baris terakhir, tidak sukar meneka siapakah 'kawan' yang dimaksudkan beliau lewat teguran:
kawan, campakkan kesombongan
berilah penghormatan
Untuk rekod, Dr Mohd Asri pada April lalu pernah mengeluarkan kenyataan "rakyat makin akur bahawa Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran hari ini," dan "realiti politik yang membiarkan Umat Islam dibuli" rentetan isu penahanan Zamri Vinoth oleh PDRM untuk siasatan atas dakwaan menghina agama Hindu.
'Mengancam' dan 'diancam'
Ya, acara tersebut turut menampilkan beberapa pendeklamasi bukan Melayu, antaranya dua orang Cina Muslim, Alfie Ng dan Ebby Lee selain seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Bangladesh, Samiha Susmit.
Namun, 'suara' lebih kuat yang dibawa program itu adalah pertembungan antara dua fahaman dalam negara ini, iaitu antara yang 'mengancam' dengan yang 'diancam' - seperti yang dikelompokkan secara pukal oleh Dr Asri dalam deklamasi sajaknya yang diletakkan sebagai penutup acara.
Barang pasti ia bukan satu perkembangan sihat dalam pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu-padu dari kepelbagaian bangsa dan agama, lebih-lebih lagi mengambil kira isu dan sentimen perkauman yang kian menebal saban hari sebagai latar belakangnya.
Menjalankannya di bangunan institusi kerajaan seperti DBP pula barangkali adalah perkara terakhir yang patut dilakukan, walau dibuat atas nama seni sekalipun.
Kedua, pemaparan imej 'agama' lewat penampilan beberapa tokoh dari satu 'fahaman' juga menimbulkan tanda tanya akan inklusiviti program tersebut.
Sifat eksklusif dan dominasi itu (di sebalik tema 'watan') kelihatan begitu ketara walaupun ia hak penuh penganjur acara, namun ia juga memberi bayangan bahawa idea yang dibawa tidak mampu menembusi lebih jauh daripada kelompok sedia ada.
*Disiarkan di Suara Keadilan 430



No comments:
Post a Comment