Wednesday, November 06, 2019

Hapus monopoli, AP adil kunci ekonomi sejahtera


Oleh HAIZIR OTHMAN, AZIZI SUNIP


Monopoli jadi kesempatan terbaik pengeluar mengambil kesempatan ke atas pengguna. 

Menurut pakar ekonomi, Dr Barjoyai Bardai, kebergantungan kepada beberapa syarikat gergasi yang memiliki permit import eksklusif membuatkan pengguna dan pengusaha kecil terdedah kepada kenaikan harga dan bekalan yang tidak menentu.

Persoalannya, bersediakah kita menghapuskan monopoli dan menghadapi cabarannya? 

Pakar ekonomi itu menjelaskan, secara teorinya amalan monopoli tidak baik untuk ekonomi. Persaingan yang sihat, katanya, boleh diwujudkan dengan mengeluarkan lebih banyak permit import (AP) secara adil.

"Pecahkan monopoli? Kita perlu sistematik. Pertama, perlu lakukan dengan cekap bagi memperoleh kos pengimportan dan harga makanan yang lebih rendah sebagai penyelesaian jangka pendek."

"Bagi jangka panjang, keupayaan negara mengeluarkan sendiri makanan (perlu dipertingkatkan)," ujarnya kepada Suara Keadilan.


Gula dari nira nipah

Katanya, membuka pasaran baru gula daripada nira pokok nipah adalah satu contoh pasaran yang belum diterokai secara meluas bagi menampung permintaan tinggi terhadap gula komersil.

"Kira-kira 350 ribu hektar pokok nipah hidup subur di kawasan paya negara ini yang mempunyai jangka hayat kira-kira 60 tahun,”

"Sudah sekian lama sumber ini dipandang sepi, hanya daunnya dijadikan atap secara tradisional. Cuma kita perlu kaji cara pemprosesan hasilkan gula daripada nira pokok nipah, operasi dan pemasaran moden terhadapnya," katanya.

Menurut satu kajian dari Jepun, sebatang pokok nipah boleh menghasilkan 2.5 liter nira sehari. Jika satu ekar tanah mempunyai seribu pokok, sebanyak 2,500 liter nira sehari boleh dihasilkan.

Contoh lain adalah penghasilan tepung sagu dari pokok rumbia di Sarawak dan pembukaan jelapang padi baru di Borneo.

 Dr Barjoyai melihat, selain membuka peluang syarikat kecil tempatan memegang AP bahan makanan bagi memenuhi permintaan rakyat, membuka pasaran baru juga mampu menjana pendapatan masyarakat setempat.


Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub mengakui, kebergantungan negara terhadap sumber makanan yang diimport setiap tahun menjadi topik hangat diperdebatkan.

"Banyak isu perlu diteliti, namun kementerian tidak culas. Beberapa strategi (dirangka) bagi meningkatkan pendapatan petani, nelayan dan pesawah, lebih-lebih lagi soal monopoli dan AP," katanya ketika dihubungi.


Siapa selain Bernas?

Salahuddin menambah, hal itu seiring dengan dasar keterbukaan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mahu persaingan sihat dalam industri sumber makanan.

Bagi memastikan sumber domestik dapat memenuhi kuota keperluan tempatan, peruntukan input padi pada 2020 ditambah menjadi RM855 juta berbanding RM796 juta pada tahun sebelumnya.

Begitu juga pelbagai subsidi dan insentif kepada petani dan nelayan dikembalikan semula tahun depan, jelasnya. 

Pertambahan peruntukan sebanyak RM4.9 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam Belanjawan 2020 adalah bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sama ada dari sumber domestik mahupun dari luar.

Namun, ketika ditanya pihak mana yang akan menerima permit import beras selain Bernas, beliau enggan menyatakan bilangan syarikat yang telah memohon kepada kementerian setakat ini kerana permohonan masih dibuka sehingga akhir tahun 2019.

"Apa yang boleh saya kongsikan, semua permohonan perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dan saya yakin boleh diselesaikan dalam tempoh enam bulan, memandangkan konsesi Bernas masih berbaki setahun sebelum tamat pada tahun 2021," ujarnya.

Sebelum ini, Presiden KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim ketika membahaskan RUU Kewangan 2019, Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat menyebut peningkatan harga makanan disebabkan pengeluarannya yang terbatas akibat keterhadan pengeluaran AP dan kewujudan monopoli syarikat gergasi di negara ini.


Tingkat pertanian sara diri

Sementara itu, Dr Barjoyai berkata masalah biasa negara pengguna seperti Malaysia ialah kadar harga yang berubah-ubah mengikut nilai pertukaran mata wang negara pengimport. Jika nilai pertukaran asing kepada ringgit rendah, maka harga barang import menjadi lebih mahal.

Menurutnya, lebih 50 peratus makanan rakyat negara ini diimport, berdasarkan langkah menetapkan sasaran sara diri kepada tahap pengeluaran tertentu dan selebihnya dipenuhi sumber import dari pasaran antarabangsa.

"Negara mengimport RM42 billion makanan setahun, termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran, bawang (RM2 bilion) dan daging merah (RM2 bilion)," katanya.

Untuk rekod, kita mengimport beras dari Thailand dan Indonesia, buah-buahan dan sayur-sayuran dari Filipina dan Vietnam, bawang merah dari India, selain gula dan tepung dari China.


Menyifatkan ini berlaku kerana pengeluaran makanan kita yang rendah, Dr Barjoyai membandingkan pengeluaran padi negara sebanyak 5 tan sehektar berbanding Thailand, Vietnam dan Indonesia yang menghasilkan 15 tan dengan keluasan sawah yang sama.

Untuk rekod, Indonesia mempunyai kira-kira 264 juta penduduk namun masih mampu mengeksport beras ke negara seperti Malaysia kerana pengeluaran padinya yang tinggi.

Dr Barjoyai menekankan, mengubah struktur ekonomi dengan mewujudkan pertanian moden contohnya aktiviti 'Pertanian Menegak', boleh mewujudkan produktiviti pertanian yang lebih tinggi.

"Kementerian disarankan tidak memberi tumpuan kepada pertanian ladang semata-mata kerana ia boleh mewujudkan monopoli, sebaliknya perlu menumpukan aspek 'Pertanian Suri Rumah'."

"Ini dapat mengurangkan kos sara hidup dan dapat mengurangkan harga barang-barang makanan dan menambah pendapatan secara langsung," katanya.


Kerajaan tamatkan konsesi Pharmaniaga

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyambung konsesi pembekalan ubat serta peralatan perubatan yang dipegang Perkhidmatan Pharmaniaga. Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebaliknya KKM akan memperkenalkan sistem tender terbuka bagi tujuan tersebut.

Walau bagaimanapun katanya, sehingga kabinet memutuskan mekanisme sistem tender terbuka tersebut, perkhidmatan Pharmaniaga akan terus digunakan.

“Ini kerana kita tidak mahu mengalami keputusan rangkaian bekalan. Jadi kita bagi sedikit masa. Perkhidmatan mereka akan digunakan sehingga kabinet memutuskan mekanisme untuk menguruskan sistem tender terbuka,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu Khamis lalu, memetik Bernama.


Dr Dzulkefly berkata beliau akan menyuarakan perkara itu kepada kabinet untuk memutuskan mekanisme sistem tender terbuka itu dengan harapan ia akan dapat dilaksanakan pada suku pertama tahun hadapan.

Pharmaniaga merupakan pemegang konsesi tunggal dalam perbekalan perubatan dan konsesinya akan berakhir menjelang 30 November ini.

Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu berjanji menghapuskan monopoli syarikat-syarikat besar termasuk dalam sektor perubatan bagi mewujudkan persaingan sihat antara pembekal seterusnya menawarkan harga terbaik kepada rakyat.


*Disiarkan di Suara Keadilan 429


No comments: