Wednesday, November 06, 2019
Teater di Sawah Padi Muzika Uda dan Dara: Perlawanan kelas, nasib petani, dan jawapan menteri
Oleh HAIZIR OTHMAN
Kecuali bagi yang pernah menyaksikan pementasan serupa dua tahun lalu di Parit Dua Barat, Sungai Besar, penonton Teater di Sawah Padi Muzika Uda dan Dara arahan Dinsman di Padang Merbok pada 25 dan 26 Oktober lalu pasti merasai satu pengalaman baru.
Menyaksikan persembahan teater di padang terbuka berlantaikan tanah beratapkan langit sebelum dibasahi hujan bukanlah satu pengalaman yang dapat dialami di mana-mana pentas teater biasa; baik yang berprestij (dengan harga tiket mahal) atau tidak.
Tetapi inilah yang ditawarkan kepada khalayak oleh Dinsman, atau nama sebenarnya Shamsudin Osman dan pasukannya lewat pementasan tersebut. Barangkali dia ingin menyampaikan pesan, seni itu milik semua malah harus dekat dengan kehidupan rakyat terbanyak.
Dan seperti keadaannya pada 2017, teater ini ditayang tanpa sebarang bayaran dikenakan. Terima kasih kepada para penganjur.
Bagi penonton 2017 yang menonton kembali teater ini baru-baru ini, pasti membuat beberapa perbandingan. Antaranya termasuklah berkaitan isu mutu, pembaharuan dan percubaan memodenkan persembahan terdahulu. Namun itu bukanlah fokus tulisan ini kali ini.
Sawah musnah
Mementaskan teater pada musim peralihan monsun dari Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut mengundang risiko tersendiri. Negeri-negeri pantai barat Semenanjung termasuk Perlis, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima hujan melebihi paras purata mengakibatkan beberapa tempat digenangi air.
Di negeri-negeri sebelah utara termasuk Pulau Pinang, Perak dan Kedah, hujan lebat mengakibatkan banjir dan mengakibatkan kerosakan harta benda termasuklah memusnahkan sawah. Di Kampung Matang Merbau, Bagan Serai, Perak, 80 hektar sawah yang baru ditabur benih padi, rosak, menjejaskan kehidupan kira-kira 20 pesawah di sana, lapor media.
Pada masa sama, teater ini dipentaskan bersempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019. Mengambil satu lagi latar yang lebih besar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bersama-sama Ahli Parlimen lain baru selesai menggulung perbahasan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.
Bercakap dengan nada positif, Salahuddin menyuarakan komitmen beliau untuk menjaga kebajikan petani, penternak dan nelayan serta memastikan bekalan makanan yang cukup dan selamat untuk seluruh rakyat di negara ini.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali tentang punca kelewatan benih padi di beberapa kawasan di Bagan Serai baru-baru ini dan penyelesaian serius Kementerian.
Jawapan beliau berkisar sekitar stok bekalan benih padi, kegagalan syarikat pembekal, kuota, dan harga subsidi. Juga agihan semula kuota benih padi sah sebanyak 8,400 metrik tan kepada pembekal yang telah mencapai kuota, selain memperkemas agensi kerajaan seperti IADA, MADA, dan KADA.
Isu benih padi ini bahkan jadi perbahasan hangat di Dewan Rakyat dalam sesi penggulungan perbahasan belanjawan. Teguran keras Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit tentang kekurangan benih padi sejak sekian lama memerlukan jawapan tuntas kerajaan.
Mewajar penindasan
Malah, isu pengagihan jawatan yang mengisi posisi-posisi utama agensi-agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di kalangan ahli parti kerajaan, khususnya Parti Amanah Negara (Amanah) tidak harus dipandang sebelah mata kerana di sana tersangkut urusan ketelusan dan kredibiliti kementerian tersebut.
Uda dan Dara yang digarap dari karya asal Sasterawan Negara Usman Awang, pada satu sisi mengangkat perjuangan kaum sosialis membebaskan kaum pekerja daripada golongan pemodal yang menindas, begitu kata salah seorang penontonnya pada malam itu, dalam renyai hujan.
Mendengar pandangan ini segera mengingatkan penulis kepada satu karya agung Barat yang terbit pasca Perang Dunia Kedua, Animal Farm karya novelis tersohor British, George Orwell.
Dalam novel tersebut, sekumpulan binatang yang dipimpin sekawan babi memberontak menjatuhkan kepimpinan manusia di bawah Tuan Jones, hanya untuk selepas itu mengkhianati perjuangan revolusi yang mereka sendiri lancarkan.
Pada sisi sedikit berlainan, di Padang Merbok, Uda dan Dara sedang bergelut membicarakan soal perlawanan kelas - antara kelas bawahan yang diwakili petani miskin seperti Uda, Malim, Utih, Diman, Dayang dan lain-lain dengan kelas atasan; kaum pemodal yang diwakili Alang Bakhil dan para aparatnya.
Alang Bakhil, seperti kes klasik para penindas di mana-mana pada setiap zaman, mengeksploitasi para petani dengan memeras hasil padi sebelum merampas terus tanah sawah dan tapak rumah mereka. Berada di kelas berbeza, ukuran pangkat dan darjat meninggikan mereka daripada kedudukan orang kampung yang miskin serba-serbi.
Dalam setiap perlawanan kelas, kata tokoh falsafah dan pendidikan Brazil, Paulo Freire lewat karyanya Pedagogy of The Opressed (Pedagogi Kaum Tertindas), sang penindas akan berusaha mengekalkan penguasaannya ke atas orang yang ditindas dengan cara menghalang daripada berlakunya dialog dan pencerahan.
Begitu ia berlaku, sampai ke satu peringkat, mereka akan mewajarkan penindasan sehingga ia dianggap satu urusan yang normal dan terhormat.
Jentik kesedaran
Pada ketika ini, perlawanan disekat dari langkah pertama lagi. Inilah yang berlaku kepada Pak Long, Pak Lebai, dan kebanyakan orang kampung selepas Uda dibunuh konco-konco Alang Bakhil; menerima kekalahan sebagai nasib dan takdir yang telah ditentukan ke atas mereka.
Terutamanya lewat watak Pak Lebai yang mengatasnamakan agama untuk menormalisasikan penindasan, perbuatan ini dituruti ramai sebelum dibantah Malim dan Utih yang menyeru perlawanan dengan jalan perang untuk 'menegakkan kebenaran dan keadilan'.
Babak orang kampung mengangkat senjata dalam susun atur siap-siaga menutup persembahan teater malam itu, diiringi muzik bingit dari lagu dan nyanyian yang memekak telinga, bersedia melawan 'peraturan' yang selama ini merantai mereka, setelah mendengar saranan revolusioner Malim dan Utih.
“Kalau boleh memegang antan, kenapa tak boleh memegang parang!”, kata Mak Long kepada Malim, menyertai suaminya dan orang kampung ke jalan perang.
Di sawah-sawah padi kita, pada satu sisi walau bagaimanapun, belum sampai ke tahap menyahut seruan tersebut secara literal walaupun kita pernah punya sejarah penentangan kaum petani Baling pada tahun 1974 dulu yang sempat menggoncang kerusi empuk menteri.
Namun, latar-latar ini, juga kekayaan dan kehalusan dari karya sastera kita sendiri harus, selain jadi wahana hiburan dan ruang senggang waktu libur, menjentik kesedaran untuk berbuat sesuatu agar ia tidak mendap seperti taburan jerami padi di Padang Merbok yang ditimpa hujan.
Menteri Pertanian yang merasmi, berucap, dan menonton teater ini terutamanya; tugas anda tidak terhenti selepas pementasan berakhir kerana perjuangan kaum tani belum bermula.
*Disiarkan di Suara Keadilan 429
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment