Wednesday, November 20, 2019

Dewan Negeri Selangor lebih 'laju' daripada Parlimen!


Oleh HAIZIR OTHMAN

Sejak mengambil-alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Umno-BN pada 2008, Pakatan Harapan (HARAPAN) atau dulunya Pakatan Rakyat tidak lagi menoleh ke belakang dalam memacu Selangor menjadi negeri maju dari segenap segi. Bermula dengan 36 kerusi DUN pada PRU-12 sebelum menambahnya kepada 44 (PRU-13), HARAPAN melebarkan penguasaan kepada 51 daripada 56 kerusi DUN pada PRU-14. Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Dr Daroyah Alwi menceritakan pengalaman mengendalikan DNS kepada Suara Keadilan. Ikuti wawancara Ahli Dewan Negeri Sementa ini dengan Sub Editor, Haizir Othman bersama-sama jurugambar, Yuisriah Yusuf di pejabatnya di bangunan SUK, Shah Alam baru-baru ini.


SK: Parlimen dalam era Malaysia Baru alami perubahan besar, tidak lagi jadi 'rubber stamp' pemerintah, sebaliknya ambil peranan seperti Westminster sebagai penggubal undang-undang negara. Adakah DUN Selangor, selepas 10 tahun di bawah Pakatan Harapan, boleh jadi 'Parlimen Kecil' dalam konteks negeri?

Daroyah: Sejak kita bentuk kerajaan negeri pada 2008, ahli kita yang jadi Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor telah bawa budaya sentiasa angkat isu rakyat. Mana yang tak betul mereka akan tegur dalam Dewan, walaupun kita bukan pembangkang. Ini sudah jadi sinonim di Selangor.

Dan kalau kita lihat persidangan selalu mengambil masa bukan sehari dua, tapi sehingga seminggu dua dan kadang-kadang kita lanjutkan kerana terlampau banyak perkara yang nak dibahaskan oleh ahli-ahli dewan kita.


Di dewan negeri sekarang, kita ada 50 Adun kerajaan dan 6 pembangkang. Walaupun begitu, Adun kita tetap bahas isu-isu yang memberikan manfaat kepada rakyat. Contohnya dalam perbahasan belanjawan yang dibentang Menteri Besar, kita bincang dan bahas sehingga hari ini belum selesai. 

Begitulah keadaannya, dan kita lihat sekarang pembangkang pun dah ikut cara kita. Mereka sudah tidak ada apa nak bahas dan bangkang, sebab semuanya betul dan cari pun tidak ada kesalahan, jadi mereka pun bawa isu rakyat. Ini yang kita buat di peringkat Adun-Adun kita.


SK: Bermakna reformasi berlaku lebih awal di Selangor berbanding persekutuan?

Daroyah: Ya, betul, di Selangor kita lebih awal. Sewaktu saya jadi Exco penggal lepas, saya alami sendiri apabila Adun kerajaan yang lebih banyak persoal, bawa macam-macam isu dan lebih kritikal daripada pembangkang, dan kita harus menjawabnya.

Kita harus akur dengan apa yang mereka persoal, perlu perbetulkan dan perlu dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan negeri. Dewan Negeri Selangor memang sangat telus. Kita tidak puji kerajaan melambung-lambung dan dalam keadaan kalau ada silap kecil pun kita nampak dan kita akan tegur.


SK: Walaupun Adun kerajaan bentuk 50 daripada 56 kerusi DUN, berlaku proses semak dan imbang?

Daroyah: Ya, berlaku. Malah, di peringkat Dewan Negeri Selangor, kita wujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas serupa seperti di Parlimen. Di Selangor kita ada Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT), Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) yang melihat GLC-GLC di Selangor.

Kemudian Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) yang melihat agensi kerajaan di Selangor, maknanya kita akan tegur, contohnya Pejabat Daerah Klang kalau mereka buat apa yang kita lihat sesuatu perkara yang dilihat menzalimi rakyat atau sebagainya. 

Ada enam jawatankuasa, selain itu ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC), dan Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan (TBA).

Setiap Adun perlu berada dalam salah satu jawatankuasa tersebut dan mereka perlu melihat isu dalam bidang-bidang tersebut. Jadi kalau tidak ada sidang pun mereka masih ada tugasan. 

Sebelum ini kita ada JK Pilihan Khas untuk air Selangor kerana ada banyak hal, seperti tidak boleh ambil alih, air tercemar dan macam-macam. Jadi, ia diwujudkan untuk mengatasi isu-isu ini. Selepas kita ambil-alih pengurusan air Selangor, kita urus sendiri, dan berhentikan jawatankuasa tersebut. Kita boleh wujudkan JK Pilihan Khas ini berdasarkan keperluan.


SK: SELCAT masih berperanan sampai sekarang?

Daroyah: Ya, masih. Kalau nampak tak betul saja kita akan panggil. Dengan ada SELCAT kita dapat memperbetulkan pentadbiran agensi-agensi, dan kakitangan kerajaan negeri.

Pada 2008 apabila kita ambil-alih pentadbiran negeri, kita lihat banyak perkara perlu diperbetulkan. Kita lantik Datuk Teng Chang Khim yang ada pengalaman luas sebagai Adun pembangkang sebelum itu, sebagai Speaker DN. 

Beliau buat banyak perubahan, dan antaranya yang paling ketara adalah SELCAT. Sejak itu, Speaker, Adun-Adun, Pengerusi JK Pilihan Khas ini diberikan latihan, dihantar kursus sehingga ke London untuk melihat sendiri bagaimana praktik Westminster itu dibuat.

Berlaku perubahan kerana apabila kita ambil-alih kerajaan daripada BN, kita amalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban. Ini mereka perlu ikut. Tapi kalau mereka masih lagi ikut cara BN, masih ambil rasuah, 'mark-up' harga dan lain-lain, apabila dapat aduan, kita akan panggil. Itu membuatkan mereka tak berani buat. 

Pada penggal pertama pentadbiran agak susah. Tapi pada penggal kedua, apabila Azmin Ali ambil-alih, kakitangan awam bersama-sama dengan kita menyokong kerajaan negeri dan kita dapat bergerak cepat. 

SELCAT itu memang sangat ditakuti. Bila kena panggil memang mereka tak boleh tidur malam.



SK: Tugas YB dalam JK Pilihan Khas selain sebagai Timbalan Speaker?

Daroyah: Saya mempengerusikan JK Pilihan Khas PBT. Sebarang masalah, atau penambahbaikan PBT akan kita bincangkan dan keluarkan penyatanya dalam sidang dewan. Seperti sidang dewan kali ini, jawatankuasa PBT kami akan keluarkan dua penyata.

Yang pertama penyata berkenaan peruntukan MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia); bagaimana peruntukan ini dibelanjakan dan bagaimana ia turun, digunakan dengan sebaik mungkin. 

Satu lagi penyata tentang bagaimana kita hendak mengkoordinasi semua sistem aduan. Kerana di Selangor ini kita ada 12 PBT, setiap PBT ada sistem aduan masing-masing, berbeza-beza. Masing-masing kata "aku punya terbaik". 

Pada masa sama, negeri pun ada sistem SPA yang diarahkan kerajaan pusat untuk kita gunakan. Tapi ada PBT kata sistem mereka lebih pintar daripada SPA. Tapi ada pula seperti Sabak Bernam tidak ada sistem, maka guna SPA. Semua perkara ini kita dengar, selaraskan dan buat satu saranan.


SK: Berlaku perubahan di negeri-negeri lain dalam PRU-14 lalu, mungkin Selangor boleh main peranan untuk jadi contoh kepada mereka selaku negeri yang lebih awal buat perubahan?

Daroyah: Baru-baru ini saya dijemput oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Johor untuk membentangkan penambahbaikan Dewan Negeri Selangor untuk dikongsikan. Mereka di sana bersidang selama hanya satu atau dua hari, seolah-olah tiada apa yang dibincang dan mereka nak belajar dari Selangor, jadi saya buat persiapan.

Apabila tiba di sana, rupa-rupanya bukan hanya Johor tapi ada juga speaker-speaker dewan negeri Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Perak, Sabah, Melaka, Negeri Sembilan. Hampir semua negeri ada!

Dengan kekurangan saya sebagai timbalan speaker baru, saya bentangkan apa yang kita buat di Selangor dengan JK Pilihan Khasnya dan pelbagai lagi. Mereka rasa amat kagum, malah kata Parlimen pun tidak ada JK Pilihan Khas tertentu yang kita lihat ada keperluan untuk laksanakan. 

Dalam hal ini, Selangor sudah jauh ke depan untuk membawa Dewan Negeri ke satu tahap yang kita berada sekarang ini.

Selain itu, melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang ada sehingga 42 inisiatif, antaranya air percuma, Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS), hadiah anak masuk universiti, bantuan kesihatan, Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan lain-lain. 


Jadi contoh negeri lain

Itu adalah 'produk' kita kerajaan Selangor untuk ambil hati rakyat. Dengan produk inilah rakyat negeri Selangor sayang pada pentadbiran kerajaan sehingga kita menang 50 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Melalui 'produk' ini juga dalam kempen pilihanraya lalu, Azmin Ali turun seluruh negara dan bawa cerita kejayaan Selangor dan ia jadi impian rakyat seluruh negara, sebab itu kita menang juga di banyak negeri lain.

Sekarang, banyak negeri yang HARAPAN menang, hubungi kita minta perkongsian; apa yang kita sudah buat untuk rakyat Selangor. Maknanya kita negeri Selangor ini sebagai pelopor, negeri lain mungkin sedang belajar dan kita sedia untuk berkongsi. Itu menariknya Selangor.

Contohnya, skim air percuma. Ada negeri seperti Kedah, Perak yang bertanya dan mahu ikut dengan kaedah mereka tersendiri. Kemudian, ada juga yang bertanya tentang Skim Peduli Sihat untuk dilaksanakan mengikut kemampuan kewangan mereka masing-masing. Begitu juga inisiatif KISS (Kasih Ibu Smart Selangor), dan lain-lain.



SK: Wujudkah dilema sebagai Adun sama ada berperanan hanya sebagai pembuat dasar negeri, dengan tuntutan turun kawasan untuk lihat isu setempat?

Daroyah: Kerja hakiki kita adalah Adun kerana kita menang sebagai Adun yang dipilih rakyat. Jadi tugas dan tanggungjawab kita di peringkat DUN memang 24 jam setiap hari. Timbul sahaja masalah, kalau perlu kita turun, kita turun.

Seperti sekarang ini musim hujan lebat, kita perlu siap-sedia kalau ada air melimpah, ban pecah, fenomena air pasang tinggi, dan lain-lain. Saya sendiri memang suka turun padang, lihat sendiri permasalahan. Namun, kita juga ada sistem sokongan di Pejabat DUN. Saya ada 4 orang kakitangan yang memang efisien. 

Kemudian kita ada ketua kampung, ada 12 kampung di bawah DUN Sementa. Sebelum ini ada lapan kampung sahaja, tapi selepas persempadanan semula, kampung-kampung Melayu ini masuk dalam Sementa supaya DUN Sementa kalah (kepada BN). Walaupun kawasan semakin besar, kalau boleh saya nak 'sentuh' setiap pengundi saya.


SK: Kemajuan Selangor masih dilihat tertumpu kepada kawasan bandar seperti Shah Alam, Petaling Jaya berbanding kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam, Tanjung Karang yang majoritinya merupakan kawasan Melayu sehingga jadi kubu pembangkang. Bagaimana ratakan pembangunan negeri?

Daroyah: Saya melihat dari segi infrastruktur. Pertama, semua kawasan perlu berada dalam lingkungan capaian melalui jalan darat sehinggalah ke hujung kampung sekalipun. Kedua, jalur lebar. Kerajaan meletakkan hotspot bagi memastikan capaian internet di seluruh negeri. 

Apabila internet ini dapat sampai ke setiap lapisan masyarakat tidak kira bandar dan desa, jadi mesej kerajaan negeri yang baik dapat disalurkan kepada penduduk termasuk di kampung-kampung.

Di sesetengah kawasan masih tebal sifat pembangkang, lebih-lebih lagi sekarang Umno bersama Pas dalam Muafakat Nasional. Ini kerana Pas menguasai masjid dan surau, jadi di situ mereka kembangkan sentimen mereka.

Tapi kita terbuka. Malah kita sedang menuju ke arah Smart State (Negeri Pintar), dan banyak inisiatif telah kita buat. Dalam pembentangan Belanjawan Negeri baru-baru ini, MB juga memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk Selangor Smart State.


*Disiarkan di Suara Keadilan 430

No comments: