Wednesday, December 04, 2019
Islam, Confucianism galak hidup bermasyarakat – Anwar
Seperti agama Islam yang mengajar nilai-nilai mulia, ajaran Confucianism turut punya galakan serupa – antaranya mengajak manusia menjadi kurang mementingkan diri sendiri sebaliknya hidup bermasyarakat.
Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim dalam majlis pelancaran buku Islam and Confucianism: A Civilizational Dialogue di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, kedua-dua sistem ini mahukan pembentukan masyarakat bertimbang-rasa.
“Islam dan Confucianism menggalakkan manusia hidup bersama-sama secara aman dalam masyarakat berbilang kaum.
“Pada hari ini, kita bukannya membentuk persefahaman, tapi perseteruan.
“Penerbitan buku ini amat tepat pada masanya bersempena persidangan minggu ini di Pulau Pinang bagi menggalakkan persefahaman dan sifat saling hormat-menghormati,” katanya.
Buku Islam and Confucianism edisi baru merupakan kumpulan esei dari beberapa sarjana, disunting Syaikh Kulliyyah ISTAC, Profesor Dr Osman Bakar.
Anwar menulis prakata panjang dalam buku tersebut, sehingga disifatkan Dr Osman sebagai satu bab sendiri dalam buku itu.
Anwar juga menyentuh kepentingan buku tersebut dalam masyarakat negara ini yang dibentuk majoritinya oleh penganut agama Islam dan ajaran falsafah Confucianism.
Susulan pelancaran buku ini, satu dialog bertajuk Islam-Confucianism Civilizational Dialogue diadakan di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 30 November dan 1 Disember lalu.
Dialog antara agama atasi ekstremisme
Sementara itu, Shaykh al-Kulliyyah, ISTAC, Prof Dr Osman Bakar ketika ditemui berkata penerbitan semula buku Islam and Confucianism: A Civilizational Dialogue edisi baru itu bertujuan mengajak penganut agama Islam dan pengikut ajaran Confucianism supaya kembali kepada nilai-nilai yang dibawa sistem kepercayaan masing-masing.
Menurut Penyandang Kursi Al-Ghazzali Dalam Pemikiran Islam ISTAC itu, buku tersebut memuatkan mesej tentang ajaran kesederhanaan yang punya banyak persamaan nilai antara Islam dan Confucianism.
"Kita dapati ada banyak persamaan antara ajaran agama Islam dengan Confucianism tentang kesederhanaan."
"Jadi kalau kaum Cina menghayati nilai-nilai yang terdapat dalam Confucianism dan orang Islam menghayati ajaran wasathiyyah yang terdapat dalam al-Quran, negara kita akan kukuh, padu, dan aman," katanya kepada Suara Keadilan.
Dr Osman menyifatkan cabaran dalam hubungan antara kaum dan agama di Malaysia pada hari ini jauh lebih tegang berbanding dulu, maka wacana jalan pertengahan harus mengambil tempat dalam arus perdana.
"Tetapi dalam ketegangan itu kita tidak nampak siapakah yang bercakap tentang keharmonian, perlunya kesepakatan dan hubungan yang lebih baik dan bagaimana caranya."
"Suara-suara ekstrem itu sentiasa ada. Isunya bagaimana kita mahu meminggirkan suara-suara itu melalui ajaran positif. Di sinilah peranan ISTAC untuk menyuburkan budaya dialog antara agama dan budaya," katanya yang mahu buku tersebut diterjemahkan kepada bahasa Melayu dan Mandarin agar capaiannya lebih luas.
Elak terjerumus kancah perkauman
Titik persefahaman antara kaum harus dicapai bagi melawan arus perkauman sempit yang sering dimainkan segelintir pihak, kata Anwar Ibrahim
Oleh itu, tegasnya program dialog antara agama bagi merintis perkenalan antara dua pihak amat penting bagi mengelak pertembungan seperti yang dialami tamadun Barat.
"Saya tekankan prinsip “li ta’arafu” yang telah diperintahkan oleh Allah sebagai anjuran buat umat Islam saling mengenal antara satu sama lain, dan bukan terjerumus ke dalam kancah perkauman dan fasisme sebagaimana yang dialami oleh Barat,"
"Saya turut tegaskan pentingnya idealisme keadilan dan akhlak yang dijulang dalam kedua-dua tradisi, dengan menukil kisah harimau, yang menurut Kung Fu Tze, kurang berbahaya berbanding penguasa yang zalim dan terhakis akhlaknya," katanya lewat media sosial.
Anwar menyampaikan ucaptama dalam program Dialog Peradaban Islam-Confucianism di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang Sabtu lalu. Program tersebut turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin, dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
*Disiar di Suara Keadilan 431
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment