Wednesday, December 04, 2019

Pengecilan operasi ITBM: Antara salah urus, mainan persepsi dan politik salahkan kerajaan



Ramai pemain industri buku termasuk golongan penulis menyatakan rasa tidak senang dengan keputusan mengembalikan peranan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) kepada hanya menterjemah, berbanding menerbitkan sendiri karya asli seperti yang dijalankannya sekarang.

Keputusan ini bermaksud ITBM perlu mengecilkan operasinya. Selain kesan langsungnya akan dirasai kira-kira separuh daripada 116 pekerja syarikat itu yang bakal kehilangan pekerjaan, kesan lebih besar seperti didakwa sebilangan khalayak ialah terjejasnya penerbitan buku di negara ini.

ITBM menerbitkan kira-kira 360 judul baru buku setahun, manakala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kira-kira 400-500 judul setahun untuk karya asli. Sebagai perspektif, negara menerbitkan kira-kira 18,000 judul baru buku pada 2014.

Secara perbandingan, jumlah terbitan dari dua pemain utama industri buku negara ini masih jauh dari sasaran 32,000 judul baru setahun bagi mencapai penanda aras negara maju seperti ditetapkan UNESCO.

Dapat RM5 juta, rugi RM6 juta

Berasal dari Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), badan ini ditubuhkan pada 1993 dengan modal RM29 juta. Ia menjalankan perniagaan dengan beberapa sektor, antaranya lewat penjualan buku kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah-sekolah.

Pada 2011, bagi membolehkannya menerbitkan karya asli, badan ini mendapat dana kerajaan berjumlah RM5 juta. Namanya turut ditukar kepada ITBM dengan logo baru.

Selepas lapan tahun beroperasi di bawah nama ITBM, ia akhirnya berdepan pengecilan operasi seperti yang diakui pengarah urusannya sendiri, Sakri Abdullah, lewat media.

Namun, ia tidaklah berlaku semalaman. Desas-desus tentang masalah yang melingkari syarikat berkaitan kerajaan ini (termasuk ura-ura akan ditutup) telah berlegar sekurang-kurangnya sejak tiga atau empat tahun lalu, terutama selepas berita hutangnya berjumlah RM6 juta dilaporkan.

Menurut sumber yang dekat dengan ITBM, masalah ITBM berpunca daripada kesilapan pengurusan syarikat itu dalam meletakkan keutamaan, terutamanya dalam keputusan-keputusan yang melibatkan perbelanjaan wang syarikat.

Antara contoh paling ketara jelasnya, apabila ia menerbitkan buku biografi bekas Menteri Pelajaran, Mahdzir Khalid berjudul "Semua Kita Serupa" awal tahun lalu, dengan judulnya dalam bahasa Inggeris, "We Are All The Same".



"Buku Mahdzir Khalid dicetak sehingga 10,000 naskhah, dan (ITBM) masih berhutang dengan pencetak," katanya sebelum menyambung, "Siapalah yang mahu beli buku itu?"

Terbit buku "kawan-kawan"

Hasil semakan mendapati buku biografi naib presiden Umno dan ahli parlimen Padang Terap itu dijual dengan harga RM50.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM55.00 (Sabah dan Sarawak).

Tahun 2018 bukanlah tahun terbaik bagi kewangan ITBM, malah mungkin terburuk. Maka keputusan mencetak buku dengan jumlah sebesar itu boleh dipertikaikan. Sebagai satu lagi perspektif, 2018 juga adalah tahun berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada bulan Mei.

Menyentuh pilihan dalam penerbitan karya, pada satu ketika dulu heboh diperkatakan di media sosial tentang tindakan ITBM yang didakwa gemar menerbitkan buku penulis dalam kalangan yang rapat dengan pengurusan mereka sahaja, tanpa mengira ia benar-benar layak diterbitkan atau tidak.

Penyanyi dan penggubah lagu, Meor Aziddin Yusof atau dikenali sebagai Meor Pesta Jiwa yang bersetuju dengan kenyataan ini mempersoalkan peranan sebenar ITBM, selain mengakui buku "kawan-kawan" itu juga tidak begitu mendapat sambutan.

"Begitu juga dengan ITBM, berapa banyak buku yang diterjemahkan? Berapa banyak buku kawan-kawan yang diterbitkan? Yang jadi tukang urusnya kawan baik, yang jadi penulisnya kawan baik. Jadi ia hanya berlegar di sekitar kawan-kawan."

"Pernah saya tanya, ingat buku baru saya nak minta diorang (mereka) terbitkan, awal-awal lagi dah cakap "tak cukup budget", sebab setakat kenal tak cukup, kena betul-betul kenal."

"Masalahnya buku kawan-kawan yang diterbitkan tak jual sangat pun. Lebih kepada meraikan kawan-kawan saja," jelasnya lewat media sosial baru-baru ini.

Tak carum KWSP?

Masalah pengurusan ITBM walau bagaimanapun tidak berakhir di situ. Sumber mendakwa pekerja institut itu tidak dicarum dalam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak dua tahun lalu. Dakwanya, pekerja tidak diberitahu akan hal ini dan sebilangan mereka hanya menyedarinya apabila mahu membuat pinjaman bank.

Suara Keadilan menghubungi pengarah urusan ITBM lewat sistem pesanan WhatsApp bagi mengesahkan dakwaan ini namun sehingga rencana ini ditulis, beliau tidak memberi respon.

Seterusnya dakwa sumber, pengaliran wang keluar dalam satu pesta buku antarabangsa di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu juga tidak diperhatikan sehingga melebihi kadar sewajarnya.

"Terutamanya sejak tiga-empat tahun kebelakangan. Contohnya jika jualan sekitar RM200,000, perbelanjaannya jauh lebih besar."

"Pembaziran berlaku apabila penulis diberi layanan berlebih-lebihan. Contohnya apabila ada sesi tanda tangan buku penulis (book signing), penulis tersebut diberi hotel, dilayan sangat mewah."

"(Belanja) minum, rokok sahaja sudah sampai RM100 lebih dan macam-macam lagi," jelasnya.

Sepanjang sepuluh hari pesta buku tersebut berlangsung juga dakwanya, seorang bekas "orang besar" ITBM menyewa hotel mewah berhampiran lokasi hanya untuk menukar pakaian.

Dilawat SPRM

Pada masa sama, staf terpaksa datang awal dan balik lewat, berulang-alik dari rumah ke lokasi tanpa diberi kemudahan serupa atas alasan mahu menjimatkan kos. Jelasnya, walaupun ada disediakan inap desa, ia tidak mencukupi untuk menampung kesemua staf terlibat.

Pemilihan syarikat percetakan, malah stor penyimpanan turut menimbulkan tanda tanya apabila kadar sewa stor baru didapati lebih mahal sehingga dikatakan mencecah RM30,000 sebulan.

Ketika ditanya jika tidak berlaku audit dalam organisasi ini, beliau mendedahkan satu rekod kewangan atau perbelanjaan syarikat pada tahun tertentu pernah dihapuskan pihak pengurusan.

Lebih jauh dakwanya, premis syarikat ini pernah dikunjungi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan penyiasatan namun tiada sebarang bukti dijumpai. Latar belakang undang-undang yang dimiliki bekas "orang besar" ITBM itu menyulitkan sebarang usaha pendedahan dibuat.

Ia juga didakwa menjadi sebab staf organisasi ini tidak berani tampil mendedahkan apa-apa. Menutup pertemuan pada hari itu, sumber berharap pengecilan operasi ITBM tidak dipolitikkan dengan meletakkan kesalahan di bahu kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang melihat isu ini dari perspektif untung-rugi.

Sebaliknya, pengembalian peranan ITBM kepada kerja menterjemah sepenuhnya harus disambut dengan hasrat menyemarakkan bidang penterjemahan ilmu bagi membawa masuk ilmu dan kebijakan luar bagi manfaat rakyat dan negara.


*Disiar di Suara Keadilan 431

No comments: