Wednesday, December 04, 2019

#MalaysiaKerja pendekatan holistik atasi pengangguran


Disusun oleh HAIZIR OTHMAN


Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) selepas mendapat sokongan majoriti anggota parlimen melalui undian suara. 

Keputusannya diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof kira-kira jam 6.40 petang selepas dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan disokong Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan Lim Guan Eng pada 11 Oktober lalu memperuntukkan RM297 bilion, tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion. RM241 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala bakinya RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Selepas mengambil-alih pentadbiran kerajaan pada Mei 2018, Belanjawan 2020 merupakan belanjawan kedua Pakatan Harapan. Bertemakan "Kemakmuran Bersama", satu elemen menarik dalam belanjawan kali ini adalah inisiatif #MalaysiaKerja yang diperkenalkan kerajaan buat kali pertama dalam sejarah negara.


Kos penggajian lebih rendah

Apakah sebenarnya program #MalaysiaKerja ini? Dibahagikan kepada empat program iaitu #GraduanKerja, #WanitaKerja, #WatanKerja dan #PerantisKerja, program ini dijangka mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat negara ini dalam tempoh lima tahun.

Ia juga bakal mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing sebanyak 130,000 pekerja.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion bagi menjayakan inisiatif yang akan diuruskan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu. 

Lewat inisiatif #GraduanKerja, kerajaan menggalakkan majikan mengambil graduan menganggur melebihi 12 bulan dengan memberi insentif RM500 kepada pekerja yang diambil, dan RM300 kepada majikan.


Insentif ini disalurkan dalam bentuk caruman wajib KWSP pekerja dan majikan. Kelebihan yang diperolehi di pihak pekerja ialah; gaji bersih mereka lebih besar kerana sebahagian caruman (atau kesemuanya, bergantung kepada jumlah gaji) ditanggung oleh kerajaan lewat inisiatif ini.

Manakala di pihak majikan pula, kelebihan mereka ialah kos mengambil pekerja jadi lebih rendah kerana sebahagiannya kini ditanggung kerajaan.

Jika ada lebihan dari jumlah tersebut, ia akan dimasukkan ke Akaun 3 pekerja yang akan diwujudkan KWSP, dan ia boleh dikeluarkan pekerja pada bila-bila masa. 


Tiada negara lain buat

Bercakap kepada media, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias menjelaskan apa yang menarik dalam program ini ialah penglibatan pihak majikan selaku pihak yang menawarkan pekerjaan.

"Kerana kita dapati kita perlu melibatkan majikan dalam penyelesaian ini. Kerana pada akhirnya, merekalah yang mencipta pekerjaan." 

"Jika kita abaikan mereka, mereka akan bertanya kenapa mereka perlu jadi sebahagian daripada program ini?" katanya.

Tunku Alizakri turut menyifatkan inisiatif ini sebagai satu idea yang inovatif dan merupakan satu bentuk penyelesaian holistik.


"Berita baiknya ialah, para graduan baru dan kelompok sasaran lain mempunyai lebih persediaan untuk masa depan (dengan tabungan yang lebih). Mereka juga bakal beroleh gaji bersih yang lebih besar."

"Berita baik kedua ialah lebihan dari insentif tersebut boleh sama ada disimpan atau dikeluarkan oleh pekerja pada bila-bila masa," katanya.

Menyifatkan tiada negara lain di dunia yang menjalankan idea seperti ini, beliau walau bagaimanapun menjelaskan program dengan tempoh dua tahun ini bukanlah tentang menghasilkan pekerjaan, sebaliknya menyediakan peluang untuk bekerja bagi penganggur dan kelompok sasaran.

Menggunakan kaedah yang sama, inisiatif #WanitaKerja mensasarkan golongan wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 55 tahun untuk kembali bekerja selepas meninggalkan alam pekerjaan atas pelbagai sebab, antaranya memberi tumpuan kepada rumah tangga.


Elak jadi Hong Kong

Lewat inisiatif #WatanKerja pula yang bermatlamat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, kerajaan akan menyalurkan sejumlah RM500 sebulan kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing, dan RM250 sebulan kepada majikan terbabit.

Untuk program terakhir, #PerantisKerja menyaksikan penyaluran elaun tambahan sebanyak RM100 kepada pelajar TVET selain potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai program.

Melihat dari perspektif lebih luas, isu pekerjaan terutama dalam kalangan generasi muda amat kritikal kerana jika tidak diurus dengan baik, kesannya bukan sahaja kepada kehidupan mereka bahkan kepada keselamatan negara.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucapan berkaitan program ini mengambil contoh tempat-tempat seperti Hong Kong, Beirut dan Santiago di mana anak muda mereka tiada pekerjaan mengakibatkan timbul keresahan sehingga menjerumuskan negara ke kancah konflik.

Jelasnya, inisiatif #MalaysiaKerja merupakan jawapan Malaysia kepada cabaran 

"Semua pihak punya peranan dalam mendepani cabaran disebabkan oleh pengangguran kerana jika dibiarkan, ia akan membarah dan menjejaskan setiap lapisan masyarakat."

"Dan ia memerlukan penyelesaian Malaysia, dan pasukan Malaysia untuk menyelesaikan masalah Malaysia ini," katanya.


*Disiarkan di Suara Keadilan 431

No comments: