Oleh HAIZIR OTHMAN
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) kurang dua bulan dari sekarang, kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya punya tugas besar memastikan sasaran 30 juta pelancong asing tercapai. Namun apa yang lebih penting daripada itu adalah bagaimana acara besar ini dapat memberi manfaat kepada lebih 32 juta rakyat Malaysia dari sudut pulangan ekonomi dan pembinaan imej negara yang baik di mata dunia. Bercakap kepada Suara Keadilan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menceritakan harapannya dengan penganjuran TMM2020 tahun depan. Ikuti wawancara eksklusif beliau dengan sub-editor, Haizir Othman dan jurugambar, Yuisriah Yusuf dengan Ahli Parlimen Balik Pulau ini di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
SK: Bagaimana persiapan TMM2020? Apa manfaat bakal rakyat perolehi daripada penganjurannya?
Bakhtiar: Pada bulan Julai lalu kita lancarkan logo, dan lancarkan lagu bulan selepas itu. Kita sasarkan seramai 30 juta orang pelancong asing dan RM100 bilion pendapatan pelancongan. Walaupun kita bermula agak lambat, tapi Tourism Malaysia sudah memulakan kempen sejak awal 2018 lagi, dengan mengadakan pameran di luar negara seperti di Arab Travel Mart, Berlin, World Travel Mart dan lain-lain. Kita bekerjasama dengan beberapa syarikat swasta seperti Sharp yang berikan TV LED di pasar raya Harvey Norman untuk siarkan logo dan tempat-tempat menarik di Malaysia.
Dari segi persiapan rakyat, kita bukan sahaja untuk TMM2020. Kita perlu tunjuk keramahan kita terutama bagi mereka yang bekerja di sektor pelancongan seperti pemandu bas, pemandu pelancong, pekerja hotel dan mereka yang berinteraksi - front liner dengan senyum, ceria, eye contact dan sebagainya. Ini yang kita tawarkan latihan kepada pemain industri ini.
Kedua, akan ada banyak peluang dengan penganjuran acara-acara besar akan terpencar ke kawasan luar bandar. Penduduk boleh dapat manfaat daripada penyewaan inap-inap desa, perkhidmatan pemandu pelancong dan lain-lain.
Sekarang kita ada platform, XTVT untuk mempromosi tempat-tempat "hidden gem" ini yang orang kurang tahu. Contohnya, jika kita mahu "caving" (jelajah gua) atau "diving" (menyelam dasar laut), aplikasi seperti TripAdvisor atau Klook cuma tunjuk dua-tiga tempat, tapi XTVT mampu tunjuk lebih banyak tempat menarik.
Yang menariknya, ia dibangunkan anak tempatan. Walau bagaimanapun kita masih mahu mereka bekerjasama dengan platform seperti TripAdvisor dan Klook yang lebih awal dalam pemasaran digital ini. Kita mahu mereka promosikan tempat-tempat menarik, makanan, gastronomi dan lain-lain.
Kita fokus kepada pelancongan budaya dan eko-pelancongan kali ini kerana kedua-duanya boleh beri manfaat kepada penduduk tempatan, berbanding promosikan tempat seperti KLCC, pasar raya, Pavillion dan sebagainya. Malah dalam kawasan bandar pun kita boleh tayangkan pertunjukan kebudayaan seperti dikir barat, boria, zapin dan lain-lain kerana inilah yang ingin dilihat oleh pelancong asing.
Perdana Menteri sebut TMM2020 sebagai misi nasional. Maka ia libatkan semua kementerian, agensi, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, termasuklah rakyat, harus main peranan. Bukan hanya terletak di bahu Tourism Malaysia.
SK: Kedatangan pelancong ke Malaysia catat peningkatan tapi walaupun begitu, industri perhotelan catat penurunan akibat terpaksa bersaing dengan AirBnb. Bagaimana kerajaan kawal fenomena baru ekonomi gig ini bagi memastikan nasib pekerja hotel tidak terjejas?
Bakhtiar: Dari data terakhir kita, ada kira-kira 55,000 pengusaha AirBnb. Syarikat ini tidak terletak di Malaysia (beroperasi di Amerika Syarikat - editor). Orang Malaysia yang guna perkhidmatan ini di Malaysia pun perlu bayar komisen kepada AirBnb. Dia untunglah dan tidak bayar cukai pelancongan kepada kita.
Tapi, AirBnb ada berjumpa dengan kita beberapa kali. Kita ada MPC (Malaysia Productivity Corporation) dan Nexus Group yang objektif mereka adalah untuk kuatkuasa undang-undang "home-sharing economy". Pada masa sama kita perlu bekerjasama dengan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan PBT (pihak berkuasa tempatan). Sebenarnya kami hanya daftarkan hotel, tapi lesen dikeluarkan PBT. Tujuan pendaftaran hanya untuk penarafan bintang.
Kita perlu satu mekanisme bagaimana PBT mahu keluarkan lesen kepada pengusaha "home-sharing economy" ini dengan syarat-syarat tertentu kerana kediaman ini berkonsepkan komuniti. Fenomena AirBnb mengubah konsep ini apabila dalam satu komuniti, tiba-tiba ada satu-dua penghuni "asing", rupa-rupanya dia pengguna AirBnb. Jadi PBT perlu kuatkuasa undang-undang untuk mengawal.
Sesetengah PBT cukup proaktif, mereka tak benarkan AirBnb beroperasi. Sesetengah pula ambil tindakan jika ada aduan. Kita perlu tahu ada pembahagian zon iaitu zon kediaman dan zon komersil. Jika di zon komersil, apartmen-apartmen boleh menjalankan AirBnb tapi kalau di zon kediaman, tak boleh, kerana ia menyalahi Akta Pembangunan Bandar dan Desa, kadar bayaran cukai taksirannya pun lain.
Tapi sedikit masa lagi, kita akan kawal selia AirBnb melalui peruntukan undang-undang. Awal tahun depan kita harap dapat satu mekanisme. Bahagian Dasar Pelancongan dengan KPKT dan beberapa kementerian dalam Nexus Group akan laksanakannya.
SK: Bagaimana menyaingi AirBnb dan platform asing selain penguatkuasaan undang-undang?
Bakhtiar: Sekarang kita ada 4,300 pengusaha inap desa yang berdaftar dan berpengalaman, dengan 5,500 unit. Beza inap desa kami ialah mereka kena ada hos (tuan rumah) bukan biar kosong tak berjaga. Kita pergi ke kampung-kampung dan minta XTVT bantu promosikan inap desa ini, jadi kita tak perlukan platform asing lagi. Ini dapat elak pengaliran wang ke luar negara seperti yang berlaku jika pelancong guna AirBnb, atau TripAdvisor dan sebagainya.
Jadi, selain langkah penguatkuasaan, kita ada alternatif walaupun tidaklah secanggih platform asing, tapi kita perlu bersaing. XTVT ini walaupun baru dalam dua-tiga bulan, sudah ada 25,000 download (muat turun). Kita mahu kalau boleh, kita "kahwinkan" ia dengan AirBnb, Klook lewat kerjasama.
Apa yang perlu dibuat XTVT ialah dapatkan lesen "ticketing" (proses permintaan) agar ia terus dapat komisen apabila pelancong memilih satu-satu lokasi. Kita sudah dapatkan hotel-hotel untuk bekerjasama dengan mereka, contohnya Hotel Impiana, penerbangan FireFlyz, dan lain-lain. Ini produk tempatan, kita masih mencuba tapi perlu ada alternatif.
Pada masa sama, kita perlu ikut trend semasa juga. Misalnya, begini. Di Singapura, AirBnb tidak dibenarkan beroperasi walaupun syarikat itu bertapak di sana. Oleh itu kita kena cari jalan agar platform-platform pelancongan ini bertapak di Malaysia. Agoda bertapak di Bangkok, Traveloka di Indonesia, Booking.com juga di luar. Mungkin kita perlu satu insentif untuk tarik syarikat-syarikat ini datang ke Malaysia dan kita dapat keuntungan, dan kurangkan kadar pengeluaran wang negara.
Trend (resam) penempahan sekarang ini, 50 peratus dibuat atas platform digital. Pelancong asing, (FIT) "free independent traveler" yang datang ke Malaysia rata-rata belum buat keputusan mahu pergi ke mana. Hanya apabila tiba ke sini, baru buat keputusan. Sebab itu di lapangan terbang, di pintu masuk negara, kita letak platform pemasaran pelancongan ini. Di sinilah letaknya kepentingan platform seperti XTVT ini. Dari sini juga kita boleh dapat "big data" (data raya) kecenderungan pelancong dari negara tertentu untuk ke destinasi tertentu.
Data raya ini amat penting bagi melihat trend dan merancang pembangunan kawasan tertentu. "Profiling" (pemprofilan) pelancong dapat dibina melalui teknologi "facial recognition" (pengecaman wajah) malah di negara tertentu teknologi ini digunakan untuk mengesan kehadiran pengganas di lapangan terbang mereka.
SK: Wujudkah konflik antara pelancongan dan seni budaya kerana kadangkala dalam menarik pelancong, warisan seni dan budaya penduduk tempatan dikorbankan. Contohnya, Jonker Street di Melaka yang dipenuhi elemen komersil sehingga menenggelamkan bangunan lama warisan. Komen YB?
Bakhtiar: Sebenarnya pelancongan dan seni budaya saling lengkap-melengkapi. Kerana pelancongan adalah promosi manakala seni budaya adalah produknya. Kalau kita cuma bangunkan pelancongan, mana produknya? Di sinilah pentingnya seni budaya.
Dalam pelancongan ada "tourism dollar". Kalau ada permintaan untuk tonton dikir barat, atau mak yong misalnya, maka pelancongan boleh lestarikannya dengan beri pendapatan kepada para aktivis seni.
Melaka dan Georgetown secara bersama diiktiraf Unesco sebagai "World Heritage Site" (Tapak Warisan Dunia) kerana memiliki nilai "outstanding universal value" (OUV) dengan kriteria tertentu seperti aktiviti, bangunan dan sebagainya yang dipelihara.
"Facade" (muka bangunan) pun kita perlu pelihara termasuk pemilihan warna cat, cara bangun binaan baru dan sebagainya.
Selagi OUV dipelihara kita tidak risau, tapi aktiviti kita tak boleh kawal sangat kerana ia berubah mengikut peredaran zaman. Di Georgetown, kita ada longkang yang tak boleh ditutup demi patuhi OUV Unesco. Begitu juga bangunan tidak boleh dibina melebihi 18 meter dalam zon Unesco dan zon penampan.
SK: Apa kesan jika OUV ini dilanggar?
Bakhtiar: Jika ini dilanggar, Unesco boleh tarik balik status tersebut. Sebab itu ada negara seperti Singapura tak mahu ada status ini kerana mereka tak boleh buat apa-apa (pembangunan). Kita ada empat tapak Unesco; Georgetown, Melaka, Taman Kinabalu, Gua Mulu Sarawak, dan Lenggong.
Unesco World Heritage Site ini duduki ranking paling tinggi. Selepas itu di bawahnya kita ada Unesco Geopark, seperti Langkawi. Selepas itu kita ada "Intangible Cultural Heritage" iaitu dondang sayang, dan makyong. Kemudian Disember ini kita tunggu keputusan untuk pantun.
Sebenarnya banyak lagi seperti dikir barat, boria dan lain-lain. Ini semua bergantung kepada kuasa pengaruh dan lobi di peringkat antarabangsa. Sebab itu Singapura bawa "street food" mereka untuk dicalonkan ke Intangible Cultural Heritage bagi kategori Humanity. Walhal, kita barangkali lebih kaya dengan kepelbagaian makanan jalanan daripada mereka.
Kenapa kita kaya dengan budaya dan warisan? Sebab kita ada "diversity" (kepelbagaian) yang kaya dengan bangsa Melayu, Cina, India, Orang Asli Mah Meri, Sakai, Negrito. Di Sabah, Sarawak sahaja ada lebih 40 etnik dengan cara hidup, muzik, tarian, adat resam berbeza.
Sebenarnya TMM ini bukan hanya untuk pelancong asing. Sepatutnya kita guna untuk orang tempatan bercuti di Malaysia berbanding melancong ke luar. Sekarang pelancongan bukan hanya "sight-seeing" (melihat-lihat) tapi memperolehi pengalaman.
SK: Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 akan digantikan dengan Dasar Kebudayaan Negara tahun depan. Adakah perubahan ini akan jadikan kebudayaan sebagai peneraju kemajuan negara seperti dilakukan Korea?
Bakhtiar: Kenapa Korea berjaya ialah mereka bukan sahaja bangunkan teknologi tetapi juga kebudayaan mereka. Walaupun budaya mereka homogenous, berbanding kita yang rencam. Inilah cabaran kepada kita untuk bangunkan satu budaya dan jati diri atas nama Bangsa Malaysia.
Dalam Dasar Kebudayaan Negara, salah satu objektif utama adalah bagaimana mengangkat isu ini. Bagaimana membina satu kebudayaan tinggi dalam jati diri Bangsa Malaysia.
Dulu dalam DKK 1971, kita banyak tumpu kepada budaya Melayu. Tapi sekarang kita mahu lebih inklusif. Saya berjumpa para pemain industri di Sarawak, di mana mereka kata mereka sering dilupakan.
Dalam Dasar Kebudayaan Negara, kita ada kerangka besar untuk kita bangunkan kebudayaan kita. Tapi secara realistiknya, kebudayaan selalu diletak nombor dua dalam kementerian sebab pelancongan dulu. Bajet pun sikit
Bagi saya kita kena bangunkan budaya kita walaupun ambil masa kerana tanpanya kita tiada jiwa. Ada sebuah sekolah di England, pelajarnya tidak berdisiplin sebelum mereka perkenalkan muzik sebagai salah satu mata pelajaran dan ko-kurikulum.
Diringkaskan cerita, kadar ponteng sekolah menurun dan disiplin meningkat kerana ada pengisian jiwa. Jadi kalau negara yang tak ada seni budaya, itu adalah negara yang kosong jiwanya.
Ini yang penting dimasukkan dalam DKN. Juga perantisan. Bagi menangani hegemoni budaya asing. Sekarang skim perantisan dikendalikan JKKN di sekolah-sekolah seperti dengan pertandingan teater, seni tari, koir, muzik tradisional dan lain-lain bagi memastikan budaya kita tidak dilupakan sebaliknya diwarisi. Penggerak-penggerak seni kena pastikan generasi muda tahu budaya kita dengan pendekatan menarik dan berbeza.
Contohnya, di Pulau Pinang sudah ada gendang Cina dan tarian naga yang dimainkan orang Melayu dan India. Begitu juga ada Cina dan India yang menari zapin dan joget. Kita mahu asimilasikan benda ini. Penyatuan rakyat Malaysia boleh berlaku melalui seni dan budaya, seperti juga sukan.
Sebab itu kita selalu perjuangkan untuk dapat peruntukan kewangan. Baru-baru ini, Kementerian Kewangan setuju menaikkan pengecualian cukai dari RM 700,000 kepada RM 1 juta bagi mana-mana syarikat yang ingin menaja program seni, budaya dan warisan.
*Disiarkan di Suara Keadilan 431
No comments:
Post a Comment