Wednesday, October 31, 2018
Mengenang Rustam Sani, idea Bangsa Malaysia, dan Negara Hasrat
Oleh HAIZIR OTHMAN
Jika Rustam Sani masih hidup, seharusnya beliau gembira dengan peristiwa bersejarah pada 9 Mei lalu. Sebagai seorang idealis yang berpegang teguh dengan prinsip-prinsip keadilan sosial, kelahiran Malaysia Baru mengalahkan idea lapuk faham perkauman sempit tajaan Umno-BN di pentas pilihan raya lalu pastinya mampu menguntum senyum di bibir tokoh politik dan intelektual hebat itu, jika beliau masih ada.
Ini kerana beliau antara individu yang memimpin idea-idea perubahan sejak usia muda, lewat pelbagai medium penulisan termasuklah rencana-rencana eceran, dan buku-buku ilmiah.
Bermulanya Reformasi pada September 1998 yang ditandai penahanan Saudara Anwar Ibrahim, tulisan-tulisan Rustam tampil 'mengisi' kantung ideologi gerakan baru ini, menjadi 'otak' kepada pergerakan politik rakyat, bersama-sama parti pembangkang pada ketika itu, berdepan rejim pemerintahan yang semakin mengeluarkan kukunya.
Penglibatan beliau dalam politik terutama sebagai Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) amat kritikal pada waktu itu terutama apabila Barisan Alternatif digagaskan bersama-sama Parti Keadilan Nasional, DAP dan Pas. Malah Rustam amat instrumental dalam pembentukan manifesto Barisan Alternatif dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum 1999, "Ke Arah Malaysia Yang Adil".
Pemergian beliau meninggalkan satu ruang kosong kepada budaya intelektual dalam arena politik negara khasnya, apabila kita tidak lagi dapat membaca tulisan kritis lewat kolum-kolum beliau dalam Suara Keadilan, Siasah, Harakah, Oriental Daily, The Edge dan lain-lain.
Seorang ideolog penting
Mengingati pemergian beliau pada tanggal 23 April sepuluh tahun lalu, rakan-rakan lamanya diketuai pengasas rumah penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin (atau dikenali sebagai Pak Chong) menganjurkan satu majlis ringkas mengenang tokoh besar politik-intelektual ini Ahad lalu.
Mengumpulkan barisan pimpinan awal parti dan tokoh akademik seperti Dr Syed Husin Ali, Dr Sanusi Osman, Dr Abdul Rahman Embong, Dr Halim Ali dan lain-lain, program tersebut menghimpunkan anekdot-anekdot penting pengalaman mereka sepanjang bersama-sama anak tokoh pejuang kemerdekaan negara Ahmad Boestamam itu.
"Seorang ideolog penting," rumus bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dr Syed Husin Ali dalam memerikan sifat Rustam Sani yang pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan KEADILAN itu.
Jelas bekas profesor antropologi dan sosiologi Universiti Malaya (UM) itu, Rustam terlibat dalam banyak perbincangan dan penulisan dokumen-dokumen penting dalam parti, termasuklah manifesto Barisan Alternatif bersama-sama pakar ekonomi, Prof Dr Jomo KS (kini ahli Majlis Penasihat kerajaan) dan Dr Syed Husin sendiri.
Namun katanya, yang menurunkan segala perbincangan tersebut dalam bentuk dokumen bertulis adalah Rustam yang dikenali teliti, kreatif dan mempunyai kekuatan berbahasa sendiri selain punya latar belakang menulis puisi; antaranya dua buah sajak dalam antologi puisi Teluk Gong susunan Usman Awang pada tahun 1967.
Rustam juga individu penting di sebalik pembentukan dokumen penggabungan parti PRM dengan KEADILAN pada tahun 2001, selain Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar. Malah, tambah bekas gurunya di UM itu, Rustam punya pandangan jelas tentang ideologi politik dan isu semasa, juga tidak dogmatik dalam sikap dan fikirannya.
Bela kaum tertindas
Idea Rustam malah tidak terperangkap sekitar tulisannya semata-mata. Pemegang ijazah sarjana dari dua universiti (Universiti Kent dan Universiti Yale) ini tidak mahu dikenali sebagai intelektual yang menggunakan pendidikan tinggi hanya untuk kepentingan peribadi dan kerjaya, sebaliknya sama-sama mendukung idea tersebut untuk dilaksanakan.
Sifat berani adalah satu lagi kualiti yang ada pada Rustam selain kritikal, analitikal dan mampu menyuarakan pandangan dengan tepat.
Seorang lagi rakan almarhum, bekas Setiausaha Agung PRM, Dr Sanusi Osman membayangkan sifat berani Rustam pada zaman mahasiswa lewat sajak Lidah Kami Lidah Keramat yang ditulis sebagai membantah kekejaman kerajaan pada tahun 1967 merampas tanah dan menghancur tanaman para petani di Teluk Gong, Klang.
Mendeklamasikan sebahagian dari sajak tersebut, Dr Sanusi menyifatkan Rustam punya kecintaan tinggi dalam membela orang tertindas, selari dengan ideologi 'marhaenisme' yang diperjuangkannya.
Marilah turun, hai pak menteri!
kami mahu berkata-kata
kerana hari ini lidah kami lidah keramat
jika lantang suaranya bukanlah kerana loud hailer
tapi kerana yang disambungnya
jerit rakyat yang gempita
Penulis Wawasan 2020
Prof Emeritus dari UKM, Dr Abdul Rahman Embong yang turut berkongsi, memetik kandungan Wawasan 2020 diperkenalkan Tun Dr Mahathir pada tahun 1991, yang menurutnya ditulis Rustam, terutama dalam Cabaran Pertama: Membina bangsa Malaysia yang bersatu.
Idea ini walaubagaimanapun gagal direalisasi antaranya disebabkan krisis cendekiawan dalam dunia akademik, selain kewujudan kelas menengah Melayu yang tidak mendukung aspirasi pembinaan bangsa Malaysia akibat tamak dengan kemewahan, jelasnya.
Lebih jauh, idea Bangsa Malaysia Rustam telah dimodifikasi sedemikian rupa oleh Umno dan rejim kerajaan lama sehingga menyempitkannya kepada konsep politik perkauman, berbeza dengan idea pembinaan negara bangsa idaman Rustam.
Dr Halim Ali menyebut idea Negara Hasrat (nation-of-intent) Rustam berasas konsep Melayu Raya dipelopori golongan kiri Melayu seawal Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang mahu membebaskan rakyat negara ini (Melayu dan bukan Melayu) dari peranan yang ditentukan British.
Hasrat ini tergambar lewat Perlembagaan Rakyat 1947 digagaskan PUTERA-AMCJA yang bukan sahaja jadi alternatif kepada Malayan Union malah punya pandangan jauh menyatukan rakyat negara ini sebagai satu bangsa dalam sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Menghampiri 2020 (tambahan dalam era Malaysia Baru), idea bangsa Malaysia Rustam perlu dilihat semula dalam konteks sebenar bagi memacu negara keluar dari kekangan-kekangan yang menghalang kita untuk maju.
*Disiarkan di Suara Keadilan 398
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment