Oleh HAIZIR OTHMAN, SYAZWANI SUFIAN
Masalah kesihatan mental di negara ini bukanlah satu hal yang mampu kita pandang sebelah mata, lebih-lebih lagi setelah ia mencatat peningkatan signifikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Jika sepuluh atau dua puluh tahun lalu isu ini kurang mendapat perhatian awam lantaran keterpencilannya, sikap serupa tidak boleh diambil masyarakat pada masa kini.
Manakan tidak, tahun lalu sahaja, dilaporkan seramai 18,336 individu menderita tekanan perasaan berdasarkan imbasan kesihatan ke atas 273,203 individu.
Kajian dilakukan Kementerian Kesihatan itu mendapati seramai 11,811 daripadanya menderita tekanan perasaan ringan, 3,680 sederhana dan 1,682 lagi menghadapi tekanan perasaan teruk.
Penyakit kedua terbesar
Angka ini mungkin kecil jika ditukarkan kepada bentuk peratusan atau statistik, namun hakikatnya tiada angka terlalu kecil jika ia melibatkan kualiti hidup seseorang manusia kerana nilai setiap individu tidak boleh diwakili nombor mahupun angka.
Tanpa langkah pencegahan, isu kesihatan mental akan jadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung menjelang 2020 dan dijangka menjadi salah satu masalah utama dalam era digital.
Melihat situasi itu tidak mustahil berlaku, Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia tidak boleh diambil ringan kerana Kajian Sistem Kesihatan Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan masalah kesihatan mental akan memberikan impak besar terhadap ekonomi.
"Malah, kesihatan mental di tempat kerja juga perlu diberi perhatian kerana dijangka menjadi salah satu masalah utama masa depan yang akan menjejaskan produktiviti kakitangan mana-mana organisasi," tegas beliau.
Terdedah lakukan jenayah
Tambahan lagi stigma terhadap penyakit mental masih wujud, dan kajian menunjukkan 40 peratus rakyat akan atau telah mengalami masalah kesihatan mental dan mengganggu kehidupan.
Melihat kepada kes-kes bunuh diri, dera anak, bunuh anggota keluarga dan lain-lain, adalah penting untuk kita mengetahui ancaman yang boleh dibawa penyakit mental dalam mempengaruhi tindakan seseorang.
Ahli psikologi klinikal dan pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Azizah Othman berkata seseorang yang mengidap sakit mental tetapi tidak dirawat atau tidak dikawal simptomnya, boleh terjebak dengan jenayah luar jangka seperti yang disebut di atas.
Selain itu, akibat tidak mendapat sokongan sekeliling, sebaliknya terdedah dengan cabaran kehidupan yang mendesak dalam jangka masa yang lama juga jadi faktor pendorongnya.
Klinik tak cukup?
Bercakap ketika merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dianggarkan 2,500 kes bunuh diri dicatatkan setiap tahun, atau secara purata tujuh kes setiap hari.
Di sinilah pentingnya peranan ahli keluarga dalam memberi sokongan sama ada dalam bentuk psikologi, kewangan, bimbingan agama atau menyelesai masalah dan menggalak gaya hidup sihat bagi mengekal kesihatan fizikal dan mental.
Manakala Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata 48 buah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 22 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) disediakan di seluruh negara menawar khidmat psikiatri dan rehabilitasi.
Mengakui kemudahan di klinik dan hospital masih tidak mencukupi bagi menampung bilangan pesakit mental yang semakin bertambah, Dr Azizah mencadangkan pendekatan pelbagai disiplin (multidisciplinary) dengan menempatkan pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal, dan kaunselor di hospital berkaitan.
*Disiar di Suara Keadilan 403

No comments:
Post a Comment