Wednesday, September 19, 2018

Dekad Bahasa Kebangsaan: Mampukah DBP kembalikan kegemilangan bahasa Melayu?



Oleh HAIZIR OTHMAN

Antara langkah awal Dr Maszlee Malik selepas dipilih menjadi Menteri Pendidikan adalah melancarkan program Dekad Bahasa Kebangsaan yang menurutnya, dicadangkan bagi melakar pelan komprehensif menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pilihan utama di negara ini.

Punya cita-cita besar, program ini dilaporkan mahu memartabatkan bahasa kebangsaan bukan sahaja di tanah air bahkan melangkaui peringkat serantau dan global. Dr Maszlee juga malah berkata hasratnya adalah meletakkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) setaraf dengan British Council, Goethe Institute dan Nippon Institute yang terkenal dalam memperjuangkan bahasa di negara masing-masing.

DBP yang diamanahkan dengan tanggungjawab besar ini, pada 6 September lalu telah memanggil kira-kira 30 orang peserta di kalangan penulis, pensyarah, wartawan dan lain-lain dalam dialog tertutup bertujuan mengumpul cadangan-cadangan untuk melaksanakan Dekad Bahasa Kebangsaan tersebut.



Pertemuan yang dikendalikan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Hajah Padilah Ali itu bukan sahaja mendapat saranan-saranan penting malah kritikan dari peserta yang rata-rata punya tanggapan tinggi terhadap peranan DBP terutamanya selepas berlakunya perubahan tampuk kepimpinan negara pasca PRU-14 lalu.

Penulis muda, Abdul Muhaimin Hamzah, misalnya, mahu perubahan menyeluruh dalam DBP dengan melaksanakan reformasi struktur selari dengan semangat Malaysia Baru. Ujarnya penubuhan Majlis Bahasa Melayu seperti dicadang menteri hanya akan menambah tingkatan pentadbiran di mana pada setiap tingkatan berpotensi berlaku keborosan dan korupsi.

Pendekatan DBP dalam Malaysia Baru juga tidak perlu bersifat 'top-down' (dari atas ke bawah) seperti pentadbiran lalu, sebaliknya perlu mengupaya pemain-pemain dalam pasaran selain berperanan sebagai badan perancang, penyelia dan pemantau, tanpa perlu melaksanakan semua perkara dalam satu masa, ujar graduan perubatan Universiti Sains dan Teknologi Jordan (JUST) itu.

Menyentuh penggunaan dana kerajaan, pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia, Dr Hani Salwah Yaakup mahu DBP menghantar peserta ke program Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dengan mengutamakan penulis berbanding pegawai-pegawai mereka sendiri. Untuk rekod, MASTERA setiap tahun sejak 1997 mengadakan program penulisan bagi pembinaan dan pengembangan persuratan Melayu antara negara-negara anggota iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.

Terjemah konsep IR 4.0

Berdepan era baru teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) kini, konsep-konsep yang dibawanya perlu mampu diungkapkan dalam bahasa Melayu, dan jadi tugas DBP untuk menterjemahkan segala istilah yang mengiringinya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata DBP perlu terkehadapan menanggapi realiti semasa dengan membantu masyarakat memahami pelbagai konsep baru melalui penciptaan istilah dalam bahasa Melayu agar perkembangan teknologi yang pantas ini dapat dicapai rakyat.

Kelemahan DBP dalam aspek ini begitu ketara, ia diakui Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Zainal Abidin Borhan yang berkata jawatankuasa istilah DBP ‘mati’, sehingga tidak lagi mencipta istilah-istilah baru terutama dalam bidang sains dan matematik menyebabkan bahasa Melayu dilihat tidak mampu mengikuti perkembangan semasa.

Masalah sistemik ini turut melibatkan dasar kerajaan terdahulu yang memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2005 sebelum digantikan dengan dasar Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada 2011.

Melihat sejarah, tahun-tahun 1970-an masih dan akan terus dikenang sebagai era kegemilangan perkembangan bahasa Melayu di negara ini. Dekad tersebut menyaksikan penubuhan institusi penting, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tanggal 18 Mei 1970, dengan kata kuncinya adalah "kebangsaan" yang menjadi nama tengah universiti tersebut.

Bermula dengan tiga fakulti; Fakulti Sains, Fakulti Sastera, dan Fakulti Pengajian Islam, UKM lahir dari mimpi para cendekiawan Melayu, antaranya Za'ba seawal 1917 untuk mengangkat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dalam sebuah negara merdeka selepas ditindas penjajah sejak lebih 400 tahun sebelum itu.

Penubuhan UKM melahirkan satu angkatan pejuang bahasa dalam persalinan ahli sains. Yang paling dikenali dalam tempoh tersebut antaranya Prof Dr Shaharir Mohamad Zain, seorang genius, anak Melayu pertama memperolehi PhD dalam bidang matematik.

Semangat tinggi

Bahagian Penyelidikan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dalam  Jurnal Rampak Serantau Bil 8 2001 menjelaskan antara kumpulan terawal diberi tanggungjawab membentuk istilah sains ialah Jawatankuasa Istilah Kajihayat (1965), Jawatankuasa Istilah Perhutanan (1958), dan Jawatankuasa Istilah Pertanian dan Tanaman (1958) sebelum dikembangkan kepada bidang kimia, matematik, fizik, biologi, geologi, kejuruteraan dan perubatan.

DBP, bersama-sama para pensyarah dan saintis UKM pada waktu itu mengambil tugas membentuk istilah baru dalam bahasa Melayu, menyediakan korpus untuk digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Mereka adalah para pahlawan tidak didendang yang berusaha sedaya-upaya membumikan bahasa Melayu dalam kelompok awal pelajar di UKM.

Pesara kerajaan yang merupakan bekas pelajar ijazah pertama mikrobiologi Fakulti Sains UKM tahun 1978, Siti Khadijah Othman mengakui usaha gigih para pensyarahnya mengajar mata pelajaran seperti matematik dalam bahasa Melayu.

"Para pensyarah muda ini kebanyakannya baru habis PhD pada waktu itu, antaranya Dr Shaharir Mohamad Zain dan Dr Baharuddin Yatim."

"Semangat mereka tinggi. Selepas waktu pejabat, mereka akan bermesyuarat, membincang istilah-istilah baru sains dalam bahasa Melayu," katanya ketika dihubungi.

Sinergi antara DBP dan universiti tempatan dilihat mampu menyuntik nafas segar kepada usaha pemartabatan bahasa Melayu menerusi usaha agresif menterjemahkan istilah-istilah saintifik seperti yang pernah dilakukan pada tahun-tahun 1970-an.


*Disiarkan di Suara Keadilan 392

No comments: