Wednesday, September 12, 2018

Latiff Mohidin: Sang genius, putera bangsa pelonjak tamadun lewat karya agungnya



Oleh HAIZIR OTHMAN

"Tuhan barangkali adalah pelukis yang baik. Sebab itulah manusia ada banyak 'warna'," kata Alicia Larde (lakonan Jennifer Connelly) dalam A Beautiful Mind (2001), pada temujanji pertamanya dengan Dr John Nash (lakonan Russel Crowe) di rumah gabenor, melihat lukisan-lukisan yang banyak tergantung di sana.

Seni visual seperti lukisan, arca, fotografi dan lain-lain seperti juga seni lisan dan tulisan berperanan menjadi medium komunikasi antara penghasilnya dengan orang ramai. Menurut pensyarah Seni Visual, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Baharuddin Arus, medium sebegini lebih mudah dicerap fikiran lantaran sifat tampaknya.

Manakala sasterawan Indonesia dari Angkatan 45, Trisno Sumardjo punya interpretasi agak berbeza tentang karya seni ini namun penting, iaitu sebuah lukisan adalah pengucapan batin pelukisnya, maka untuk membacanya haruslah dengan penglihatan batin juga, selain dari penglihatan mata kasar.

Seni dan budaya adalah manifestasi lahiriah sesuatu bangsa yang merdeka. Sesuatu bangsa bertamadun punya produk budayanya sendiri yang tidak mampu diimport dari bangsa lain, sebagai lambang kewujudannya di dunia ini.

Penulis lirik dan skrip, Hasmi Hashim melihat pentingnya kebudayaan dalam melahirkan insan kamil, tugas yang tidak dapat dilaksanakan sains dan teknologi, walau secanggih mana pun ia.

"Bangsa ini sendiri harus melahir dan mengembangkan sendiri segala aspek kebudayaan dirinya. Hanya dengan cara itu, maka aspek kemanusiaan seperti sopan santun, adab, beramanah dan ihsan dapat diwujudkan."

Penanda aras tamadun

"Tidak ada ertinya kalau kita dapat melahirkan doktor, tetapi doktor yang tidak ada timbang rasa. Tidak ada gunanya kalau kita dapat melahirkan jurutera, ahli perbankan, ahli korporat, pentadbir atau apa pun golongan cerdik pandai kalau mereka mati hati nurani dan menjadi orang kasar," kata bekas ketua cabang KEADILAN Parit Sulong itu.

Adalah sesuatu yang melegakan apabila hakikat penting ini diberi perhatian oleh Perdana Menteri sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan ulang tahun ke-60 Balai Seni Negara minggu lalu, beliau berkata "tiada negara yang boleh mengaku sudah menjadi sebuah negara bertamadun tanpa ada nilai seni tersendiri".

Beliau mengaitkan betapa pembangunan ketamadunan sesebuah negara dipengaruhi oleh peningkatan seni dan tahap seni dalam sesebuah masyarakat.

"Nilai seni jadi kayu pengukur ketinggian tamadun sesebuah negara dan harus diterjemahkan ke dalam bentuk karya untuk dihargai setiap rakyat," katanya.

Pago Pago 1966

Pada masa ini sedang berlangsung Pameran Latiff Mohidin: Pago Pago (1960-1969) di Galeri Ilham, Kuala Lumpur, menghimpunkan lebih 70 buah karya catan, arca, cetakan seni, penulisan dan bahan arkib, diikuti simposium umum yang memperhalusi pembacaan terhadap karya sasterawan berasal dari Negeri Sembilan ini, dan sumbangannya kepada modenisme global.

Untuk rekod, Pago Pago dipamerkan di Centre Pompidou, Paris Februari lalu di mana Latiff seniman Asia Tenggara pertama diberi penghormatan mengadakan pameran solo di sana. Lewat pameran ini, Latiff Mohidin menempatkan dirinya dalam dialog pelukis-pelukis Eropah setaraf.

Cabar modenisme Barat

Kurator pameran ini, Shabbir Hussain Mustafa menyifatkan Latiff mencabar dominasi modenisme Barat pada tahun-tahun 1960-an, ketika Asia Tenggara sedang membebaskan diri dari cengkaman kolonialisme, dan situasi politik serantau berupaya sama ada membina atau membinasa kemanusiaan.

"Latiff bergabung dengan Goenawan Mohamad (Jakarta), Thawan Duchanee (Bangkok) dan Salleh Ben Joned (Kuala Lumpur) bertujuan melawan corak pemikiran responsif generasi terdahulu terhadap modenisme Eropah melalui karya seni."

"Maka Pago Pago hadir di tengah-tengahnya, memandu Asia Tenggara ke kedudukan setaraf sebagai sumber idea-idea baru seni moden," katanya.

Sejarawan seni TK Sabapathy menyifatkan Pago Pago bukan sahaja dilihat, malah ditulis dan dibaca dalam banyak penerbitan. Di Galeri Ilham, ia dibincangkan dalam pelbagai disiplin termasuk sejarah, senibina, linguistik dan lain-lain lewat syarahan tokoh-tokoh terkemuka.

Pago Pago 1969

Pago Pago terhasil dari pemerhatian Latiff di Berlin dan negara-negara Eropah, sehingga pulang ke rantau Asia Tenggara dalam julat masa tahun 1960 -1969.

"Pago Pago adalah suatu pertemuan dengan masa dalam kepelbagaiannya. Memahami masa mengikut pilihan sendiri. Kita cuba melampaui masa kerana sering kita anggap ia progresif, linear. Namun wujud juga penguncupan, pengunduran, atau barangkali masa hanyalah siri kitaran peristiwa yang berulang?", tanya Latiff.

Pameran Pago Pago berlangsung dari 12 Ogos hingga 30 Disember 2018.


*Disiarkan di Suara Keadilan 391

No comments: