Oleh HAIZIR OTHMAN
Pendedahan media antarabangsa minggu lalu bahawa China membuka 'kem tahanan' untuk etnik Uyghur di wilayah Xinjiang menandakan satu lagi episod baru penindasan Beijing terhadap minoriti Muslim di negara itu.
Menggunakan alasan klise, "mengatasi ancaman puak pemisah dan ekstremis agama", hampir satu juta etnik Uyghur kini terkepung di sebalik palang elektronik apabila pengawasan ketat dilaksanakan terhadap mereka termasuklah dengan memasang kod QR di luar rumah.
Akhbar United Kingdom, The Independent melaporkan kod QR ini digunakan penguasa untuk melihat butiran penghuni rumah dan mereka bakal boleh mengesan jika ada orang lain menduduki rumah tersebut. Lebih jauh, ia juga mengandungi butiran peralatan dapur yang perlu didaftarkan.
Tindakan ini lanjutan dari siri kekejaman pemerintahan Xi Jinping terhadap warga wilayah barat China itu selepas meruntuhkan masjid, memaksa gadis Uyghur berkahwin dengan lelaki warga Han yang bukan Islam, larangan membaca al-Quran, menyimpan jambang, memberi nama Islam kepada anak sehinggalah menafikan peluang pekerjaan.
Tidak keterlaluan apabila ada penganalisis mengaitkan tragedi ini dengan peristiwa penghapusan etnik Yahudi di Jerman pada Perang Dunia Kedua.
Ahli parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta kerajaan Malaysia, negara anggota ASEAN dan badan-badan antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan China agar menghentikan kekejaman tersebut.
Nazmi dalam kenyataannya memetik laporan majalah antarabangsa, Atlantik bahawa etnik Uyghur yang dihantar ke kem dilayan seolah-olah kepercayaan agama mereka adalah satu penyakit mental yang hanya boleh dirawat melalui pendekatan keras.
Tuduhan itu tidak boleh diterima dan merupakan jenayah kemanusiaan, jelas Nazmi yang meminta China menghormati kebebasan beragama, dan menghukum pencabul hak asasi manusia di sana.
Anwar selar China
Sementara itu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan kejam Beijing yang menganggap isu tersebut hanya sebagai isu dalaman mereka dan tidak perlu campur tangan pihak lain.
| Saudara Anwar Ibrahim |
"Ia sudah dilapor media arus perdana sebagai satu isu besar, saya percaya kita seharusnya menggunakan forum yang sesuai untuk mula melihat isu ini dan meminta pertimbangan sewajarnya dari pihak berwenang di China," katanya yang bakal merintis jalan menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan.
Komen Anwar itu walaubagaimanapun tidak dikongsi pemimpin-pemimpin negara Islam lain seperti Arab Saudi dan Indonesia yang masih membisu terhadap pelanggaran hak asasi manusia oleh China itu.
"Mereka takut. Tiada sesiapa mahu bercakap mengenainya," kata Anwar mengulas sikap berdiam diri kerajaan Islam seluruh dunia yang rata-rata punya kepentingan ekonomi dengan negara kuasa besar dunia itu.
Anwar turut menyelar pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang membiarkan Muslim Rohingya dibunuh junta tentera, menyifatkan penerima anugerah Nobel itu sebagai 'jijik' dan 'menyedihkan'.
Pandangan serupa dikongsi Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Rais Hussin yang menyelar sikap pemimpin pembangkang Pas dan Umno yang berdegar-degar mengangkat isu Palestin dan Rohingya, tapi tidak isu umat Islam di China.
Dr Rais turut mengkritik dasar pentadbiran kerajaan terdahulu yang tunduk kepada China dengan menghantar pulang Muslim Uyghur walaupun sepatutnya Malaysia yang memiliki program basmi keganasan terbaik, memulihkan mereka di sini terlebih dahulu.
Menurutnya, Malaysia tidak perlu menyambut idea pemisahan dari Uyghur atau sesiapa tapi kegagalan melindungi Muslim tidak berdosa dari penyeksaan dan kematian dengan menghantar mereka pulang ke China menunjukkan sikap tidak bertimbang-rasa terhadap manusia sejagat.
Minta perlindungan Malaysia
Sebelum ini, sebelas orang etnik Uyghur ditahan Februari lalu di Penjara Sungai Buloh kerana memasuki Malaysia selepas meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Thailand.
Kerajaan China telah meminta Malaysia memulangkan kesemua mereka, dan untuk rekod, Malaysia antara negara yang menghantar pulang etnik Uyghur ke China sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri sebelum PRU-14, Ahmad Zahid Hamidi pada tahun lalu berkata Malaysia menahan 29 "militan Uighur" yang terlibat dengan ISIS. Zahid malah berkata China memuji Malaysia atas penangkapan itu dan menjalinkan kerjasama dua hala dalam keselamatan sejak hubungan diperkuatkan.
Dalam kes ini, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya berkata, Malaysia terikat kepada undang-undang antarabangsa.
"Tuntutan mereka untuk perlindungan suaka mestilah diproses dan jika jelas mereka adalah pencari suaka, mereka harus dilepaskan dan diberi perlindungan, tidak dipenjara atau dituduh atas kesalahan memasuki negara secara haram," katanya seperti dipetik media.
Julai lalu, pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana tidak tunduk kepada tekanan India yang mahu dia dihantar pulang atas dakwaan keganasan dan pengubahan wang haram.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Dr Zakir yang memegang taraf penduduk tetap Malaysia tidak perlu dihantar pulang "selagi beliau tidak menimbulkan masalah" di sini.
*Disiarkan di Suara Keadilan 392


No comments:
Post a Comment