Wednesday, September 26, 2018
Umno bertanggungjawab 'bunuh' Utusan
Oleh HAIZIR OTHMAN
Menyingkap sejarah Utusan Melayu (kini Utusan Malaysia), pastinya kita tak dapat lari dari melihat kisah tokoh pengarang terkemukanya, Said Zahari dan perjuangan beliau dalam peristiwa Mogok Utusan pada tahun 1961 selama 93 hari di perkarangan bangunan pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Utusan Melayu lahir pada 29 Mei 1939 di tengah-tengah maraknya semangat menentang penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Presiden Umno pertama, Dato' Onn Jaafar malah menyifatkannya sebagai pencetus penubuhan parti Melayu itu pada tahun 1946, hasil seruan perubahan lewat tulisan-tulisannya yang penuh semangat.
Pengasasnya, Yusof Ishak dan lain-lain sangat instrumental dalam perjuangan menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan. Utusan jadi penyambung lidah bangsa, membakar semangat nasionalisme, selain jadi simbol kebangkitan orang Melayu yang terperosok dalam kancah kemiskinan dan rasa rendah diri.
Sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, hala tuju perjuangan Utusan mula dialihkan bermula dengan pengambilalihan akhbar tersebut oleh Umno pada tahun 1961.
Protes 115 orang pekerja dan wartawannya diketuai Said Zahari dengan mendirikan khemah-khemah tempat mereka tidur dan makan sepanjang mogok berjalan walaubagaimanapun gagal menghalang pengambilalihan itu.
Sejak itu sehingga kini, Utusan Melayu jadi 'Utusan Umno'. Suara-suara lantang dari Said Zahari sendiri selain A Samad Ismail, Pak Sako (Ishak Haji Muhammad), Ahmad Boestamam dan pejuang nasionalis lain tidak lagi didengari, melainkan jika ada, ia dilaraskan mengikut gaya bahasa baru ala-Umno dan Barisan Nasional.
Dikuasai Umno yang menguasai kerajaan, perjuangan Utusan sekira-kira jauh lebih mudah jika mahu dibandingkan dengan zaman Yusof Ishak dulu yang terpaksa menggunakan duit sendiri untuk menerbitkan akhbar.
Sebagai contoh, mereka tidak perlu gusar jika akhbar tidak mencatat jualan memberangsangkan kerana punya jaminan besar di pihak kerajaan lewat pembelian wajib iklan berjumlah kira-kira RM12 juta setahun.
Wajib beli iklan
Dakwaan tersebut dibuat bekas menteri, Dr Rais Yatim yang berkata kementeriannya pada zaman Najib Razak sebagai Perdana Menteri diarah membeli iklan dalam penerbitan syarikat itu, seperti dipetik The Malaysian Insight.
"Tahun 2010, 2011, dan 2012 ketika itu sebagai menteri penerangan, (saya) terpaksa mengeluarkan bantuan menerusi pengiklanan kepada Utusan."
"Usaha seperti itu tidak seharusnya berlaku tetapi kerajaan arahkan saya bertindak sedemikian,” beliau dipetik sebagai berkata.
Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad juga beroleh kontrak kerajaan membekalkan 182,712 unit tablet komputer kepada guru-guru sekolah di seluruh Malaysia, yang bertujuan membantu kaedah pengajaran dan pembelajaran.
Pemberian kontrak ini pernah dikritik ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim (kini Timbalan Menteri Belia dan Sukan) tahun lalu yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat lantaran kosnya yang tinggi.
Jelas Sim, projek tersebut sepatutnya melalui proses tender terbuka supaya Kementerian Pendidikan boleh mendapat harga lebih rendah, bukannya dengan menganugerah secara terus kepada Utusan. Lebih mencolok mata, syarikat penerbitan itu mencatat kerugian setiap suku tahun sebelum ini berikutan penurunan pembaca.
Kontrak yang diperuntukkan dalam Bajet 2017 itu menelan kos sebanyak RM152 juta, setakat Disember lalu.
Gagal bayar gaji
Utusan juga malah terkenal dengan kekerapannya disaman terutama oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) lantaran laporan beritanya yang didakwa mengandungi fitnah.
Namun, jika semua saman, kecaman terhadap akhbar ini tak berupaya menjatuhkannya, suara rakyat pada 9 Mei lalu barangkali akan berjaya mengubah haluan perjuangan Utusan buat kali kedua selepas 57 tahun.
Bermula dengan penutupan kilangnya di Jalan Shamelin, Utusan terus dirundung malang apabila dimasukkan ke status syarikat Nota Amalan (PN17), dan berisiko dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia disebabkan kekangan kewangan. 10 Ogos lalu, Utusan Melayu mengumumkan ia gagal membayar RM530,121 kepada Bank Muamalat dan RM654,750 kepada Maybank Islamic.
Kerugian terkumpul syarikat itu pula dilaporkan berjumlah lebih RM70 juta berakhir Jun tahun ini, manakala laporan tahunannya menyatakan tanggungan hutang berada pada paras RM328.17 juta setakat 31 Disember tahun lalu.
Akhbar milik Umno itu juga dilaporkan gagal membayar gaji pekerjanya bulan lalu, selain elaun, bayaran tuntutan pengangkutan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tuntutan perubatan.
Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dalam kenyataannya mengkritik cara Pengerusi Eksekutif baru Utusan, Aziz Sheikh Fadzir mengendalikan keadaan dengan "mengabaikan kebajikan dan nasib 1,400 kakitangan Utusan."
Terbaru, syarikat itu menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada kira-kira 800 orang pekerjanya dalam usaha mengurangkan kos keseluruhan.
*Disiarkan di Suara Keadilan 393
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment