Wednesday, September 19, 2018
One Two Jaga keluar dari kepompong lama perfileman Malaysia
Tidak seperti filem-filem Bollywood yang sering memaparkan sisi gelap pihak berkuasa termasuk politikus dan pegawai tinggi polis, pengusaha filem kita nampak masih belum berani menuju ke arah itu.
Kongkongan minda, budaya takut yang ditanam sejak sekian lama mungkin antara faktornya, selain peranan ketara badan penjaga seperti Lembaga Penapis Filem (LPF) yang tidak akan teragak-agak memotong babak-babak penting tanpa mengira jika ia akan mencacatkan keseluruhan perjalanan cerita.
Tetapi dalam sejarah, akan ada yang berani menongkah arus, seperti kata penyair Indonesia, Rendra, "perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata".
Atas semangat itu agaknya, Bront Palarae, Nam Ron, dan rakan-rakan yang selama ini dikenali dengan mutu lakonan mereka, menerbitkan filem One Two Jaga yang dengan berterus-terang menceritakan kisah hidup segmen-segmen masyarakat yang jarang mahu dikongsikan.
Dibikin pada tahun 2014, One Two Jaga mengangkat realiti masyarakat sekitar isu pemerdagangan manusia, pendatang asing tanpa izin, dan rasuah di kalangan anggota polis dan usahawan berpangkat Datuk.
Pengarah filem, penulis dan pelakon, Nasir Jani yang terkenal dengan filem arahannya Kembara Seniman Jalanan (1986) berkata One Two Jaga ditayangkan pada waktu yang tepat, iaitu selepas berlaku perubahan kerajaan.
"Sebelum filem ini dibawa ke Festival Filem New York, saya ada berjumpa Namron dan maklumkan kepada beliau untuk menanti waktu yang sesuai untuk tayangkan filem berkenaan.
"Sebab itulah filem ini diangkat sebagai mendahului masa. Jika pada zaman kerajaan terdahulu, ia bakal alami banyak masalah untuk ditayangkan pada khalayak umum," ujarnya.
Era baru filem
Pengarah kelahiran Melaka itu berkata sekarang adalah waktu terbaik bagi pengusaha filem untuk menghasilkan karya-karya berani sejajar dengan keterbukaan kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN).
"Saya bangga dengan filem ini kerana ia telah memulakan era kerajaan baru dengan penghasilan filem yang menceritakan sosiopolitik dan kehidupan sebenar."
"Kerajaan HARAPAN berbeza dengan kerajaan Umno-BN dahulu dan kiranya ini waktu yang tepat untuk pengarah dan penerbit filem membongkarkan segala salah laku yang berlaku sejak 60 tahun lalu. Sila ambil peluang ini untuk menerbitkan filem yang bermutu," tegasnya.
Bagi Presiden Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS), Alfie Palermo, skrip dan peranan setiap pelakon dalam One Two Jaga memperlihatkan fenomena baru dalam industri filem negara.
"Skripnya amat baik kerana ia memainkan peranan tepat dengan watak. Setiap watak dibina berdasarkan tema yang menentukan jalan ceritanya," katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, rakyat Malaysia kini telah berganjak melalui satu era baru dalam pemikiran, dan filem berkualiti seperti ini harus diperbanyakkan.
Para pemimpin kerajaan termasuk di kalangan menteri antara yang tidak ketinggalan menonton filem ini di pawagam, antaranya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang berkata ia punya unsur pendidikan yang kuat.
Rasuah wujud
"Ia mengandungi unsur subliminal (bawah sedar) yang mampu mencorak pemikiran untuk didik anak bangsa menjauhi perkara buruk, seiring dengan hasrat kementerian. Saya sarankan guru menontonnya," katanya lewat media sosial.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pula menyifatkan filem tersebut secara kreatif meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat untuk memerangi rasuah.
Sementara itu, filem ini tidak terlepas dari kontroversi apabila dikatakan ia diboikot warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) rentetan isu yang diangkatnya.
Mengulas desas-desus itu, pengarah One Two Jaga, Nam Ron berkata filemnya tidak anti-polis. Manakala penerbitnya, Bront Palarae berkata mereka amat mengambil berat kefahaman PDRM terhadap niat mereka.
"Kami tidak mengatakan keseluruhan organisasi bermasalah. Rasuah wujud dalam semua organisasi, cuma dalam filem ini kami menceritakan rasuah yang berlaku dalam pasukan polis," katanya seperti dipetik media.
One Two Jaga dilakonkan Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Chew Kin Wah, Amerul Affendi dan pelakon Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail.
Ia dicalonkan di Festival Filem Asia New York (NYAFF) pada 29 Jun selain bakal mewakili Malaysia ke Festival Filem Asia Lima Perisa Ke-12 di Warsaw, Poland November nanti. April lalu, ia ditayangkan di Festival Filem Timur Jauh Ke-20 di Udine, Itali.
*Disiarkan di Suara Keadilan 392
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment